24 September 2008

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih
________________________________________

Pertama: Perselisihan pendapat ulama` yang disebutkan oleh Imam Termizi selepas mengemukakan hadith berkenaan qiyam Ramadhan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. iaitu:

وَاخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي قِيَامِ رَمَضَانَ فَرَأَى بَعْضُهُمْ أَنْ يُصَلِّيَ إِحْدَى وَأَرْبَعِينَ رَكْعَةً مَعَ الْوِتْرِ وَهُوَ قَوْلُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَهُمْ بِالْمَدِينَةِ وَأَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ عَلَى مَا رُوِيَ عَنْ عُمَرَ وَعَلِيٍّ وَغَيْرِهِمَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِشْرِينَ رَكْعَةً وَهُوَ قَوْلُ الثَّوْرِيِّ وَابْنِ الْمُبَارَكِ وَالشَّافِعِيِّ و قَالَ الشَّافِعِيُّ وَهَكَذَا أَدْرَكْتُ بِبَلَدِنَا بِمَكَّةَ يُصَلُّونَ عِشْرِينَ رَكْعَةً

Ahli ilmu berselisih pendapat tentang sembahyang tarawih di bulan Ramadhan. Sebahagian mereka berpendapat bahawa seseorang boleh bersembahyang sebanyak empat puluh satu rakaat bersama witir dan ia adalah pendapat penduduk Madinah. Amal beginilah di sisi mereka di Madinah. Kebanyakan ahli ilmu berpegang kepada apa yang diriwayatkan daripada Umar dan ‘Ali r.a. dan sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang lain iaitu sebanyak dua puluh rakaat dan ianya adalah pendapat Thauri, Ibnu Mubarak dan Syafie. Imam Syafie berkata: “Demikianlah kami dapati di negeri kami di Mekah mereka bersembahyang sebanyak dua puluh rakaat.
Imam Termizi menyebutkan bahawa kebanyakan ahli ilmu berpendapat bahawa rakaat sembahyang tarawih adalah sebanyak dua puluh rakaat. Adapun penggunaan lafaz “ruwiya” (diriwayatkan) dengan bina’ majhul bukan bermakna Imam Termizi mahu mengatakan bahawa riwayat dua puluh rakaat daripada sahabat-sahabat r.a. adalah riwayat yang lemah tetapi penggunaan majhul dengan tidak disebutkan fa’il (pelaku) walaupun biasa digunakan untuk menunjukkan lemah tetapi tidak semestinya demikian. Tetapi penggunaan demikian juga digunakan dengan maksud untuk meringkaskan atau disebabkan perkara tersebut sudah diketahui dengan meluas maka tidak perlu lagi untuk menyebutkan pelakunya (periwayatnya).

Kedua: Pendapat Imam Syafi’e sebagaimana yang terdapat di kitab al-Umm:
فأما قيام شهر رمضان فصلاة المنفرد أحب إلى منه ورأيتهم بالمدينة يقومون بتسع وثلاثين وأحب إلى عشرون لانه روى عن عمر وكذلك يقومون بمكة ويوترون بثلاث
Adapun sembahyang tarawih di bulan Ramadhan maka sembahyang secara bersendiri adalah lebih disukai olehku dan aku lihat di Madinah mereka melakukan sebanyak tiga puluh sembilan rakaat dan yang lebih disukai olehku adalah sebanyak dua puluh rakaat kerana ianya diriwayatkan daripada Umar r.a. Demikian jugalah yang mereka amalkan di Makkah dan mereka melakukan sembahyang witir sebanyak tiga rakaat.

Ketiga: Pendapat di dalam mazhab Imam Abu Hanifah:
( الْفَصْلُ الْأَوَّلُ فِي عَدَدِ الرَّكَعَاتِ ) فَإِنَّهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً سِوَى الْوِتْرِ عِنْدِنَا وَقَالَ مَالِكٌ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى السُّنَّةُ فِيهَا سِتَّةٌ وَثَلَاثُونَ
Fasal pertama berkenaan bilangan rakaat, sesungguhnya ianya adalah sebanyak dua puluh rakaat selain witir di sisi kita. Imam Malik berkata, sunnah adalah sebanyak tiga puluh enam rakaat.

Keempat: Di dalam kitab fiqh mazhab Imam Ahmad menyebutkan:
فَصْلٌ : وَالْمُخْتَارُ عِنْدَ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ ، رَحِمَهُ اللَّهُ ، فِيهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً . وَبِهَذَا قَالَ الثَّوْرِيُّ ، وَأَبُو حَنِيفَةَ ، وَالشَّافِعِيُّ . وَقَالَ مَالِكٌ : سِتَّةٌ وَثَلَاثُونَ . وَزَعَمَ أَنَّهُ الْأَمْرُ الْقَدِيمُ ، وَتَعَلَّقَ بِفِعْلِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ ، فَإِنَّ صَالِحًا مَوْلَى التَّوْأَمَةِ ، قَالَ : أَدْرَكْتُ النَّاسَ يَقُومُونَ بِإِحْدَى وَأَرْبَعِينَ رَكْعَةً ، يُوتِرُونَ مِنْهَا بِخَمْسٍ . وَلَنَا ، أَنَّ عُمَرَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَمَّا جَمَعَ النَّاسَ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ، وَكَانَ يُصَلِّي لَهُمْ عِشْرِينَ رَكْعَةً

Ini satu fasal: Pendapat yang terpilih di sisi Abi Abdillah adalah dua puluh rakaat. Pendapat ini juga adalah merupakan pendapat Imam Thauri, Abu Hanifah dan as-Syafie. Imam Malik berkata, tiga puluh enam rakaat.
Kelima: Pengarang Bidayah al-Mujtahid yang merupakan antara kitab rujukan di dalam mazhab Imam Malik menukilkan pendapat ulama` sebagaimana berikut:
واختلفوا في المختار من عدد الركعات التي يقوم بها الناس في رمضان، فاختار مالك في أحد قوليه، وأبو حنيفة، والشافعي، وأحمد، وداود، القيام بعشرين ركعة سوى الوتر.وذكر ابن القاسم عن مالك أنه كان يستحسن ستا وثلاثين ركعة، والوتر ثلاث.

Mereka berselisih pendapat berkenaan pendapat yang terpilih tentang bilangan rakaat yang dilakukan oleh orang ramai di dalam bulan Ramadhan. Imam Malik di dalam salah satu daripada dua pendapatnya, Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad dan Daud memilih dua puluh rakaat selain witir. Ibnul qasim menyebutkan daripada Imam Malik bahawa dia menganggap elok tiga puluh enam rakaat selain witir.

Apa yang dikemukakan di atas daripada kitab-kitab fiqh empat mazhab yang paling meluas pengikutnya di kalangan umat Islam adalah merupakan sebahagian kecil sahaja daripada pendapat ulama` terutamanya ulama` salaf. Bahkan kalaulah diteliti di dalam kitab-kitab yang lain juga inilah pendapat ulama` yang sering dimuatkan iaitu pendapat mereka serta apa yang disaksikan oleh mereka adalah rakaat tarawih sebanyak dua puluh rakaat atau lebih. Berkenaan Imam Malik yang berpegang kepada amal Ahli Madinah iaitu sebanyak tiga puluh enam rakaat, ianya adalah berasal daripada dua puluh rakaat juga.

Tetapi disebabkan mereka tidak dapat melakukan sebagaimana yang diamalkan oleh penduduk Mekah iaitu tawaf setiap kali tarwihah (rehat di dalam setiap empat rakaat) maka mereka menggantikan setiap satu tawaf penduduk Mekah dengan empat rakaat. Kerana itulah jumlah rakaat yang diamalkan mereka menjadi tiga puluh enam.

Beberapa kesimpulan yang dapat dikeluarkan adalah seperti berikut:
Pertama: Tidak ada walaupun satu riwayat daripada Nabi s.a.w. yang jelas serta tidak dapat diperselisihkan berkenaan rakaat tarawih. Adapun hadith ‘Aaisyah r.a. ianya tidak dapat membuktikan bahawa yang dimaksudkan adalah sembahyang tarawih. Penjelasan telahpun diberikan sebelum ini.

Kedua: Terdapat kepelbagaian riwayat yang sahih daripada Sayyidina Umar r.a. Ada yang menyebutkan sebelas, tiga belas,dua puluh satu dan dua puluh tiga rakaat. Namun sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini riwayat rakaat tarawih sebanyak dua puluh mempunyai beberapa jalan periwayatan yang saling menguatkan antara satu sama lain tidak sebagaimana riwayat berkenaan bilangan rakaat yang lain.
Ketiga: Kesaksian daripada tabi’en di zaman Sayyidina Umar, Uthman, Ali r.a. dan seterusnya serta amalan mereka mengimamkan orang ramai di zaman mereka adalah dua puluh sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini. Amalan yang dilakukan oleh mereka adalah kerana mereka mengikut generasi sebelum mereka iaitu generasi sahabat r.a. dan seterusnya sahabat-sahabat r.a. sudah pastinya mengambil sunnah tersebut daripada Nabi s.a.w.

Keempat: Pendapat imam-imam mazhab dan imam-imam yang lain juga apa yang disaksikan oleh mereka pada zaman masing-masing adalah dua puluh bahkan lebih daripada itu. Daripada apa yang telah dikemukakan di atas menunjukkan ianya berterusan daripada zaman sahabat-sahabat r.a. sehingga ke zaman seterusnya umat Islam di zaman tersebut melakukan sebanyak dua puluh rakaat bahkan lebih. Setakat ini penulis tidak menemui pendapat daripada ulama` salaf yang condong kepada pendapat rakaat adalah lapan sebagaimana pendapat dua puluh rakaat. Mungkin ianya kerana kecuaian penulis.
Kelima: Perkataan tarawih itu sendiri menunjukkan kepada lebih daripada lapan rakaat. Perkataan tarawih adalah jamak (plural) kepada perkataan tarwihah atau tarwih yang pada asalnya memberi makna duduk. Kemudian ianya dijadikan istilah duduk rehat selepas setiap kali empat rakaat sembahyang tarawih. Andaikata sembahyang tarawih adalah sebanyak lapan rakaat sahaja maka masa rehatnya adalah sekali atau dua kali sahaja. Maka nama yang sesuai untuknya adalah tarwihah atau tarwihatan. Jadi perkataan tarawih menunjukkan duduk rehat yang tidak kurang dari tiga kali. Dan sudah tentunya ianya sesuai dengan dua puluh rakaat bukan lapan rakaat.

Berdasarkan kepada apa yang telah dikemukakan maka penulis memilih pendapat rakaat tarawih yang paling kuat dan lebih menepati sunnah adalah dua puluh rakaat. Namun bagi yang mahu berpegang kepada pendapat bahawa ianya adalah lapan rakaat adalah tidak salah kerana hujah bagi mereka tetap ada walaupun bagi penulis ianya tidaklah sekuat riwayat-riwayat serta amalan sebanyak dua puluh rakaat yang diwarisi dari salaf. Beginilah perselisihan di dalam masalah furu’ walaupun berlaku perselisihan namun kita mestilah sentiasa hormat menghormati serta tidak akan meruntuhkan apa yang telah dilakukan oleh orang lain sebagaimana yang berlaku dalam perselisihan mazhab-mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Namun begitu bagi orang yang ingin berada di atas landasan sunnah sebaiknya bagi mereka memilih mana yang terkuat berdasarkan nas serta dalil.

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Tiadalah aku akan beroleh taufik melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. (Surah Hud ayat 88)

nota# risalah terakhir
________________________________________
rujukan
.Jami’ Termizi, bab riwayat yang datang berkenaan qiyam bulan Ramadhan.
Al-Umm j. 1 hal. 167
.Al-Mabsuth Imam Sarakhsi j. 3 hal. 170
.Al-Mughni Ibnu Qudamah j. 3 hal. 388
.Bidayah al-Mujtahid j. 1 hal. 167

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih
________________________________________

Tetapi Syeikh Nasiruddin al-Albani mengatakan hadith ini adalah dh’oif kerana ia adalah hadith munkar iaitu riwayat daripada perawi thiqah yang menyalahi riwayat perawi yang lebih thiqah iaitu Muhammad bin Yusof. Beliau mengemukakan beberapa alasan. Alasan pertama adalah kerana seorang perawi iaitu Yazid bin Khusaifah walaupun thiqah tetapi Imam Ahmad mengatakannya sebagai seorang yang meriwayatkan hadith munkar sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Zahabi dalam Mizan al I’tidal.[i]
Marilah kita meneliti apa yang dikemukakan oleh Imam-imam rijal berkenaan Yazid bin Khusaifah ini.
يزيد بن عبدالله بن خصيفة. وقد ينسب إلى جده فيقال: يزيد بن خصيفة. عن السائب بن يزيد، وعروة، ويزيد بن عبدالله بن قسيط.وعنه مالك، وطائفة.وثقه أحمد من رواية الاثرم عنه، وأبو حاتم، وابن معين، والنسائي.وروى أبو داود أن أحمد قال: منكر الحديث.

Yazid bin Abdillah bin Khusaifah. Kadang-kadang dinisbahkan kepada datuknya lalu dikatakan Yazid bin Khusaifah. Beliau meriwayatkan hadith daripada Saib bin Yazid, ‘Urwah, Yazid bin Abdullah bin Qusaith. Imam Malik dan segolongan ulama` mengambil riwayat daripada-Nya.
Imam Ahmad melalui riwayat Athram mengatakan-Nya thiqah. Begitu juga Abu Hatim, Ibnu Ma’ien dan Nasaie juga mengatakan-Nya thiqah. Abu Daud ada meriwayatkan bahawa Imam Ahmad berkata, “dia ada meriwayatkan hadith munkar”.[ii]

Di dalam Mizan al-I’tidal terdapat dua riwayat daripada Imam Ahmad yang bercanggah. Namun begitu yang lebih sesuai adalah riwayat yang mengatakan-Nya thiqah kerana bersesuian dengan pendapat imam-imam jarh wat-ta’dil yang lain. Ada kemungkinan juga riwayat Abu Daud tersebut terdapat kekeliruan padanya.

Untuk memastikan lagi kedudukan Yazid bin Khusaifah ini elok juga diteliti kitab-kitab rijal yang lain. Antaranya:
يزيد بن عبد الله بن خصيفة بمعجمة بن عبد الله بن يزيد الكندي المدني وقد ينسب لجده ثقة
Yazid bin Abdullah bin Khusaifah bin Yazid al-Kindi al-Madani. Kadang-kadang dinisbahkan kepada datuknya. Beliau adalah seorang yang thiqah.[iii]

Di dalam Tahzib al-Kamal ketika Imam al-Mizzi membicarakan tentang perawi Muhammad bin ‘Amr beliau menukilkan:
وقال ابن طهمان: سمعت يحيى بن معين يقول: محمد بن عمرو ثقة. روى عنه يحيى بن سعيد القطان وغيره. وقال ابن محرز: وسمعت يحيى بن معين وسئل عن محمد بن عمرو بن علقمة، فقال: ثقة. وقال ابن محرز أيضا: وسمعت يحيى وقيل له: أيما أحب إليك يزيد بن عبدالله بن خصيفة أو محمد بن عمرو بن علقمة ؟ فقال: يزيد، ويزيد أعلاهما.

Ibnu Thahman berkata, “aku mendengar Yahya bin Ma’ien berkata, “Muhammad bin ‘Amar adalah seorang yang thiqah. Yahya bin Sa’id al-Qattan dan lain-lain meriwayatkan daripadanya”. Ibnu Muhriz berkata, “aku mendengar Yahya bin Ma’ien ditanya tentang Muhammad bin ‘Amar bin ‘Alqamah lalu dia berkata, “thiqah”. Ibnu Muhriz berkata lagi, “aku mendengar Yahya ditanya, “siapakah yang lebih disukai oleh-Mu antara Yazid bin Abdullah bin Khusaifah atau Muhammad bin ‘Amar bin ‘Alqamah? Maka dia menjawab, “Yazid dan Yazid adalah lebih tinggi kedudukan-Nya di antara kedua-Nya”.[iv]

Begitu juga sebagai sokongan tambahan iaitu Yazid bin Khusaifah adalah merupakan seorang perawi Bukhari dan Muslim di mana riwayat beliau diletakkan oleh Imam Bukhari di dalam hadith-hadith musnadaat-Nya serta Imam Muslim meletakkan riwayatnya di dalam hadith-hadith di permulaan bab.

Dengan ini jelaslah berkenaan kedudukan perawi Yazid bin Khusaifah ini. Di samping itu walaupun berkemungkinan bahawa kedudukan beliau lebih rendah lagi daripada Muhammad bin Yusof, tetapi riwayat beliau saling menyokong dengan riwayat Muhammad bin Yusof yang terdapat di dalam Musannaf Abdul Razzak yang menyebutkan dua puluh rakaat tarawih serta disokong juga oleh pengakuan serta amalan daripada tabi’ien yang akan penulis kemukakan nanti. Begitu juga terdapat satu lagi riwayat daripada Saib bin Yazid melalui jalan yang lain yang menyebutkan tarawih dua puluh rakaat bersama dengan witir sebanyak tiga rakaat iaitu:

عبد الرزاق عن الاسلمي عن الحارث بن عبد الرحمن ابن أبي ذباب عن السائب بن يزيد قال : كنا ننصرف من القيام على عهد عمر وقد دنا فروع الفجر ، وكان القيام على عهد عمر ثلاثة وعشرين ركعة.

Abdul Razzak daripada al-Aslami daripada Harith bin Abdul Rahman Ibnu Abi Zibab daripada Saib bin Yazid katanya: “Kami selesai daripada sembahyang di zaman Umar ketikamana hampir subuh, sembahyang (tarawih) di zaman Umar r.a. adalah dua puluh tiga rakaat”.[v]

Athar ini walaupun dho’if kerana Ibnu Abi Zibab adalah seorang yang lemah tetapi lemahnya bukan kerana beliau ditohmah dengan dusta, ahli bid’ah dan sebagainya tetapi lemahnya adalah hanya dari segi hafalan sahaja dan riwayatnya boleh ditulis untuk dijadikan sebagai sokongan.[vi]

Kemudian Syeikh al-Albani mengemukakan alasan yang kedua iaitu berlaku idhtirob kepada Ibnu Khusaifah di dalam meriwayatkan hadith tersebut bilamana beliau (Ibnu Khusaifah) ditanya oleh Isma’il bin Umayyah lalu Yazid bin Khusaifah menjawab dengan syak. Tetapi Syeikh al-Albani tidak mengemukakan sebarang rujukan yang boleh dipertanggungjawabkan.[vii]

Seterusnya riwayat Yazid bin Khusaifah dan Muhammad bin Yusof yang menyebutkan tarawih sebanyak dua puluh rakaat tersebut disokong pula oleh kata-kata penyaksian serta amalan daripada tabi’en. Antaranya:
حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَانِ ، عَنْ حَسَنٍ ، عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ رُفَيْعٍ ، قَالَ : كَانَ أُبَيّ بْنُ كَعْبٍ يُصَلِّي بِالنَّاسِ فِي رَمَضَانَ بِالْمَدِينَةِ عِشْرِينَ رَكْعَةً وَيُوتِرُ بِثَلاَثٍ.

Daripada Abdul Aziz bin Rufai’ katanya, “Ubay bin Ka’ab mengimamkan orang ramai pada bulan Ramadhan di Madinah sebanyak dua puluh rakaat dan berwitir dengan tiga rakaat”.[viii]

عَنْ مَالِك عَنْ يَزِيدَ بْنِ رُومَانَ أَنَّهُ قَالَ كَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي رَمَضَانَ بِثَلَاثٍ وَعِشْرِينَ رَكْعَةً
Daripada Malik daripada Yazid bin Ruman bahawa dia berkata, “orang ramai bersembahyang di zaman Umar bin al-Khattab di bulan Ramadhan sebanyak dua puluh tiga rakaat”.[ix]

Kedua-dua riwayat di atas ditolak oleh setengah ulama`. Penolakan tersebut adalah disebabkan oleh perawi iaitu Abdul Aziz bin Rufai’ dan Yazid bin Ruman tidak sempat dengan zaman Sayyidina Umar r.a.[x]. Ini bermakna riwayat tersebut adalah munqati’. Akan tetapi setengah ulama` menerima riwayat yang seperti ini sebagai penyokong kerana ia adalah riwayat mursal sahabi kerana kedua-dua perawi tersebut adalah merupakan tabi’en yang banyak mengambil riwayat dari sahabat di samping keduanya bahkan kesemua perawi di dalam riwayat tersebut adalah orang yang thiqah. Apatah lagi seperti Yazid bin Ruman yang disebutkan oleh setengah ulama` rijal sering melakukan mursal di dalam riwayat-Nya daripada Abu Hurairah r.a.[xi]. Kerana itu Imam an-Niimwi di dalam ta’liq-Nya kepada kedua hadith ini berkata: “sanadnya adalah mursal yang kuat”.[xii] Kerana kemungkinan besar keduanya mengambil riwayat daripada sahabat yang lain tetapi mereka tidak menyebutkannya kerana sahabat kesemuanya adalah orang-orang yang adil.

Riwayat mursal seterusnya adalah riwayat daripada Yahya bin Sa’id di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah iaitu:
حدثنا وكيع عن مالك بن أنس عن يحيى بن سعيد أن عمر بن الخطاب أمر رجلا يصلي بهم عشرين ركعة.

“Daripada Yahya bin Said bahawa Umar bin Al-Khattab memerintahkan seseorang supaya mengimamkan orang ramai sebanyak dua puluh rakaat”.[xiii]

Imam Niimwi juga mengatakan athar ini adalah mursal yang kuat di samping beliau menyebutkan Yahya bin Said tidak sempat dengan Umar r.a..[xiv]

Riwayat tarawih sebanyak dua puluh rakaat juga disokong oleh riwayat-riwayat yang lain lagi seperti:
حدثنا ابن نمير عن عبد الملك عن عطاء قال أدركت الناس وهم يصلون ثلاثا وعشرين ركعة بالوتر.

Daripada ‘Atha’ bin Abi Rabah katanya: “Aku sempat dengan orang ramai (sahabat-sahabat dan tabi’en) dan mereka bersembahyang sebanyak dua puluh tiga rakaat bersama dengan witir”.[xv]

‘Atha’ sempat dengan zaman Sayyidina Uthman r.a. dan ini menunjukkan pengamalan pada zaman tersebut dengan dua puluh rakaat.


Terdapat juga athar yang tidak jelas menerangkan bahawa rakaat tarawih adalah dua puluh pada zaman seterusnya tetapi menunjukkan kepada lebih daripada lapan rakaat iaitu:

و حَدَّثَنِي عَنْ مَالِك عَنْ دَاوُدَ بْنِ الْحُصَيْنِ أَنَّهُ سَمِعَ الْأَعْرَجَ يَقُولُ مَا أَدْرَكْتُ النَّاسَ إِلَّا وَهُمْ يَلْعَنُونَ الْكَفَرَةَ فِي رَمَضَانَ قَالَ وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْبَقَرَةِ فِي ثَمَانِ رَكَعَاتٍ فَإِذَا قَامَ بِهَا فِي اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً رَأَى النَّاسُ أَنَّهُ قَدْ خَفَّفَ

Daripada Daud bin al-Husain bahawa dia mendengar A’raj berkata: “Aku tidak sempat orang ramai (sahabat dan tabi’en) kecuali mereka akan melaknat orang-orang kafir pada bulan Ramadhan (di dalam qunut)”. Dia berkata lagi “Qari (imam tarawih) membaca surah al-Baqarah dalam lapan rakaat. Apabila dia (imam) mengimamkan mereka untuk rakaat ke 12 orang ramai melihat sesungguhnya dia telah meringankan (bacaan di dalam sembahyangnya)”.[xvi]

Di dalam hadith ini menunjukkan bahawa tarawih pada zaman di mana Abdul Rahman al-A’raj hidup iaitu antara tahun 44 hingga 117 hijrah adalah melebihi daripada lapan rakaat bahkan ianya mengisyaratkan sehingga dua puluh rakaat sebagaimana di dalam riwayat berkenaan tarawih pada zaman sebelumnya. Kerana di dalam riwayat ini menunjukkan bahawa pada lapan rakaat sehingga rakaat kedua belas imam membaca panjang iaitu surah al-Baqarah atau qadarnya dan bila tiba rakaat ke dua belas imam mula meringkaskan bacaannya untuk baki sembahyang lagi.[xvii]


Begitu juga kalau dilihat kepada amalan-amalan tabi’en di zaman permulaan Islam menunjukkan bahawa mereka melakukan sebanyak dua puluh rakaat bahkan lebih. Di antara riwayat tersebut adalah,

حدثنا أبو بكر قال ثنا وكيع عن سفيان عن أبي إسحاق عن عبد الله بن قيس عن شتير بن شكل أنه كان يصلي في رمضان عشرين ركعة والوتر.

Daripada Abdullah b. Qais daripada Syutair bin Syakal bahawa Ia bersembahyang (tarawih) di dalam bulan Ramadhan sebanyak dua puluh rakaat dan witir.[xviii]
Syutair adalah seorang tabi’en yang dikatakan sempat dengan zaman jahiliyyah tapi tidak tergolong dalam golongan sahabat.[xix]
حدثنا وكيع عن نافع عن عمر قال كان ابن أبي مليكة يصلي بنا في رمضان عشرين ركعة ويقرأ بحمد الملائكة في ركعة.

Waki’ menceritakan kami daripada Nafi’ daripada Umar katanya: “Ibnu Abi Mulaikah mengimamkan kami pada bulan Ramadhan sebanyak dua puluh rakaat”.

حدثنا الفضل بن دكين عن سعيد بن عبيد أن علي بن ربيعة كان يصلي بهم في رمضان خمس ترويحات ويوتر بثلاث.

Fadhal bin Dukain menceritakan kepada kami daripada Sa’id bin ‘Ubaid bahawa ‘Ali bin Rabi’ah mengimamkan orang ramai dalam bulan Ramadhan sebanyak lima tarwihah (rehat selepas setiap empat rakaat sembahyang tarawih berjumlah dua puluh rakaat) dan mengerjakan witir sebanyak tiga rakaat

nota# risalah ketiga

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih
________________________________________

Ketiga: Ulama` pengarang kitab-kitab hadith tidak memasukkan hadith ini di dalam bab berkenaan qiyam Ramadhan lebih-lebih lagi sembahyang tarawih. Ini menunjukkan bahawa mereka memahami hadith ini bukan termasuk di dalam bab berkenaan tarawih. Antaranya:

Imam Malik meletakkan hadith ini di dalam ‘Bab Berkenaan Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Witir’ dan beliau tidak memasukkannya di dalam ‘Bab Apa Yang Datang Dari Nabi s.a.w. Berkenaan Qiyam Ramadhan’.

Imam Muslim memasukkan hadith ini di dalam ‘Bab Berkenaan Sembahyang Malam Dan Bilangan Rakaat Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Waktu Malam’ dan tidak memasukkannya di dalam ‘Bab Galakan Qiyam Ramadhan’.

Imam Abu Daud memasukkan hadith ini di dalam ‘Bab Berkenaan Sembahyang Malam’ dan tidak meletakkannya di dalam ‘Bab Berkenaan Qiyam Di Bulan Ramadhan’.

Imam Termizi meletakkan hadith ini di dalam ‘Bab Riwayat Yang Datang Di Dalam Mensifatkan Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Waktu Malam’ dan tidak meletakkannya di dalam ‘Bab Riwayat Yang Datang Berkenaan Qiyam Di Bulan Ramadhan’.

Begitu juga Imam Nasaie meletakkan hadith ini di dalam ‘Kitab Beribadat Pada Waktu Malam Dan Sunat Pada Waktu Siang’ serta tidak memasukkannya ke dalam ‘Bab Berkenaan Beribadat Malam Bulan Ramadhan’.

Tetapi di dalam Jami’ Bukhari ada perbezaan pada naskhahnya. Di dalam naskhah mengikut riwayat Mustamli hadith ini terletak di bawah “bab kelebihan qiyam Ramadhan” dan bab tersebut terletak di bawah “kitab sembahyang tarawih”. Namun begitu ianya hanya terdapat di dalam naskhah melalui riwayat Abu Ishak al-Mustamli sahaja tidak pada naskhah-naskhah melalui riwayat selainnya daripada Muhammad bin Yusof al-Firabri[i]. Di dalam naskhah yang lain tidak terdapat pemisahan “bab kelebihan qiyam Ramadhan” di bawah “kitab sembahyang tarawih” sebaliknya ianya terletak di bawah “kitab berkenaan puasa”.

Kalau dinilai naskhah Mustamli yang mengadakan satu “Bab” atau “Kitab” iaitu “Kitab Berkenaan Sembahyang Tarawih” dengan mengasingkannya daripada “Kitab Berkenaan Puasa” lalu diletakkan di bawahnya bab-bab seperti “Bab Kelebihan Beribadat Pada Malam Ramadhan, Bab Kelebihan Lailatul Qadar, Bab Mencari Lailatul Qadar, Bab Mencarinya Pada Malam Ganjil, Bab Diangkat Pengetahuan Tentang Lailatul Qadar dan seterusnya Bab Beramal Pada Sepuluh Akhir Ramadhan dengan naskhah-naskhah yang lain yang tidak mengasingkan bab-bab tersebut daripada “Kitab Berkenaan Puasa” tetapi sebaliknya meletakkan semua bab tersebut di bawahnya maka kesimpulan yang dapat difahami ialah:

Naskhah yang mengasingkan bab-bab tersebut dari kitab puasa dengan meletakkannya di bawah “Bab” atau “Kitab Sembahyang Tarawih” akan menunjukkan seolah-olah ibadat pada malam Ramadhan, lailatul qadar dan sepuluh akhir Ramadhan hanyalah sembahyang tarawih sahaja kerana ianya terletak di bawah “Kitab” tersebut tetapi sebaliknya naskhah yang tidak mengasingkan bab-bab tersebut dari “Kitab Puasa” menunjukkan ibadat pada malam Ramadhan, lailatul qadar dan sepuluh akhir Ramadhan adalah umum dengan boleh melakukan apa jua ibadat.

Namun begitu bagi pensyarah hadith yang mengatakan maksud “qiyam” pada “Bab Kelebihan Qiyam Ramadhan” yang diadakan oleh Imam Bukhari dengan makna “sembahyang tarawih” maka ada sedikit ruang untuk mengatakan Imam Bukhari maksudkan hadith tersebut berkenaan sembahyang tarawih walaupun mereka tidak menyatakan dengan jelas sedemikian. Tetapi bagi pensyarah yang mengatakan maksud “qiyam” dalam bab yang diadakan oleh Imam Bukhari ini adalah dengan makna umum iaitu mana-mana ibadat di dalam bulan Ramadhan maka lebih jelaslah bagi mereka bahawa Imam Bukhari tidak maksudkan hadith tersebut sebagai sembahyang tarawih.
Keempat: Pertanyaan Abu Salamah kepada ‘Aisyah r.a. adalah tentang suatu amalan yang biasa dilakukan oleh Nabi s.a.w. bukannya amalan yang jarang serta tidak biasa dilakukan oleh Baginda s.a.w.. Adapun sembahyang yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. bersama sahabat-sahabat-Nya selama tiga malam itu adalah suatu sembahyang yang jarang dilakukan serta berlainan daripada yang biasa dilakukan. Ini dapat dibuktikan dengan perbuatan sahabat-sahabat yang saling bercerita berkenaan sembahyang tersebut pada keesokan paginya dan semakin bertambah bilangan mereka untuk bukan sekadar sama-sama hadir tetapi menyaksikan sembahyang tersebut yang berlainan dari apa yang biasa dilakukan-Nya s.a.w.[ii]. Begitu juga kalaulah yang ditanya adalah berkenaan sembahyang yang yang dipanggil tarawih maka tak perlu ditujukan persoalan tersebut kepada ‘Aisyah r.a. kerana Nabi s.a.w. bersembahyang bersama sahabat-sahabat-Nya sebagaimana yang terdapat di dalam hadith. Sudah pastilah sahabat-sahabat sudah mengetahui bilangan rakaat tarawih atau qiyam Ramadhan yang dilakukan Nabi s.aw. atau bagi yang tak hadir bersama Nabi s.a.w. memadai dia bertanyakan kepada sahabat yang hadir.
Kelima: Sebagai tambahan dari penulis (mungkin ada kebenarannya) iaitu kalau begitu benarlah pegangan golongan Syi’ah bahawa tiada sebarang tambahan (sembahyang tarawih) dari Nabi s.a.w. dari segi ibadat sembahyang pada malam Ramadhan kerana Nabi s.a.w. tidak menambahkan walaupun satu rakaat di bulan Ramadhan lebih dari bulan yang lain.
Demikianlah beberapa alasan golongan yang berpendapat bahawa hadith ‘Aisyah r.a. tersebut bukan berkaitan dengan tarawih.

Hadith keempat iaitu berkenaan tarawih yang dilakukan di zaman Sayyidina Umar r.a.
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ يُوسُفَ عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ أَنَّهُ قَالَ أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً قَالَ وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ

Daripada Muhammad bin Yusuf daripada Saib bin Yazid bahawa dia berkata: “Umar bin al-Khattab r.a. memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari supaya mengimamkan orang ramai dengan sembahyang sebanyak sebelas rakaat. Dia (Saib) berkata lagi: “Imam membaca sebanyak dua ratus ayat sehingga kami bertongkat di atas tongkat kerana lama berdiri dan kami selesai ketika hampir menjelang fajar”.[iii]

Riwayat yang sama juga dinukilkan oleh al-Firyabi di dalam kitabnya:

حدثنا قتيبة ، عن مالك بن أنس ، عن محمد بن يوسف ، عن السائب بن يزيد ، أنه قال : « أمر عمر بن الخطاب أبي بن كعب وتميما الداري أن يقوما ، للناس ، بإحدى عشرة ركعة قال : فكان القارئ يقرأ المائتين حتى كنا نعتمد على العصي من طول القيام ، وما كنا ننصرف إلا في فروع الفجر »

Qutaibah menceritakan kepada kami daripada Malik bin Anas daripada Muhammad bin Yusuf daripada Saib bin Yazid bahawa dia berkata: “Umar bin al-Khattab r.a. memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari supaya mengimamkan orang ramai dengan sembahyang sebanyak sebelas rakaat.” Dia (Saib) berkata lagi: “Imam membaca sebanyak dua ratus ayat sehingga kami bertongkat di atas tongkat kerana lama berdiri dan kami selesai ketika hampir menjelang fajar”.[iv]

Riwayat ini juga terdapat di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan lafaz kurang daripada riwayat di atas:

عن محمد بن يوسف أن السائب أخبره أن عمر جمع الناس على أبي وتميم فكانا يصليان إحدى عشرة ركعة يقرآن بالمئين يعني في رمضان.

Daripada Muhammad bin Yusof bahawa Saib menceritakan kepadanya bahawa Umar menghimpunkan orang ramai mengikut Ubay dan Tamim (di dalam sembahyang tarawih). Mereka berdua bersembahyang sebanyak sebelas rakaat membaca dua ratus (ayat) di bulan Ramadhan.[v]

Kesemua riwayat tersebut dan juga riwayat yang terdapat di dalam Sunan Sa’id bin Mansur berpunca dari orang yang sama walaupun melalui beberapa jalan iaitu melalui Muhammad bin Yusof daripada Saib bin Yazid. Tetapi riwayat-riwayat tersebut bercanggah pula dengan apa yang dikemukakan oleh Abdul Razzak di dalam musannafnya iaitu,

عبد الرزاق عن داود بن قيس وغيره عن محمد بن يوسف عن السائب بن يزيد : أن عمر جمع الناس في رمضان على أبي بن كعب ، على تميم الداري ، على إحدى وعشرين ركعة ، يقروون بالمئين وينصرفون عند فروع الفجر

Abdul Razzak daripada Daud bin Qais dan selainnya daripada Muhammad bin Yusuf daripada Saib bin Yazid bahawa Sayydidina Umar r.a. menghimpunkan orang ramai di dalam bulan Ramadhan mengikut Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari dengan sembahyang sebanyak dua puluh satu rakaat, mereka membaca sebanyak dua ratus ayat dan selesai ketika ketika hampir menjelang fajar.[vi]

Namun begitu riwayat ini dipertikaikan. Alasan yang diberikan adalah kitab as-siyam (kitab berkenaan puasa) yang terdapat di dalam Musannaf ini diriwayatkan oleh Ishak bin Ibrahim ad-Dabaree.[vii] Dan ad-Dabaree yang merupakan salah seorang periwayat Musannaf Abdul Razzak adalah merupakan seorang yang banyak melakukan kesilapan ketika mengambil riwayat daripada Abdul Razzak. Beliau bukan sahaja meriwayatkan kitab as-siyam daripada Abdul Razzak tetapi keseluruhan Musannaf ketika akhir umur Abdul Razzak di samping terdapat riwayat beliau yang bercanggah daripada apa yang diriwayatkan oleh orang lain daripada Abdul Razzak.[viii]

Syeikh Nasiruddini al-Albani juga menolak riwayat tersebut dengan alasan bahawa berlaku kecelaruan kepada Abdul Razzak di akhir hayatnya.[ix] Namun begitu beliau tidak dapat membuktikan bahawa hadith yang menyebutkan berkenaan sembahyang tarawih sebanyak dua puluh rakaat ini adalah di antara yang diriwayatkan oleh Abdul Razzak selepas kecelaruannya.
Bila penulis merujuk kepada naskhah Musannaf yang terdapat di dalam maktabah sebuah sekolah Arab di kawasan Kota Bharu ini maka penulis mendapatinya memang ianya adalah naskhah berdasarkan riwayat Ishak bin Ibrahim ad-Dabaree. Kitab as-siyam pula diriwayat oleh penyalin daripada Abu Sa’id Ahmad bin Muhammad bin Ziyad daripada ad-Dabaree. Naskhah dengan cetakan tersebut juga di tahkik oleh pentahkik HabiburRahman A’zhomi. Pentahkik mentahkik dan memberikan komentar kepada mana-mana riwayat yang bercanggah dengan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang lain serta mana-mana riwayat yang terdapat padanya kekeliruan atau kesilapan daripada ad-Dabaree. Tetapi pada riwayat berkenaan rakaat tarawih dua puluh satu ini tidak ada sebarang komen oleh pentahkik.[x] Tiadanya sebarang komen daripada pentahkik terhadap riwayat tersebut menunjukkan kemungkinan ianya tidak termasuk dari kalangan hadith yang diriwayatkan berdasarkan kekeliruan oleh al-Dabaree.
Tetapi riwayat melalui jalan Muhammad bin Yusof yang menyebutkan dua puluh satu rakaat ini mempunyai penyokong melalui jalan periwayatan selain beliau tidak sebagaimana riwayat yang menyebutkan sebelas rakaat yang hanya diriwayatkan melalui-Nya sahaja. Bahkan Imam Malik sendiri yang merupakan penghimpun hadith yang mengemukakan riwayat (sebelas rakaat) tersebut tidak berpegang dengan riwayat itu.
Riwayat yang terdapat di dalam Musannaf ini disokong pula oleh riwayat melalui jalan Yazid bin Khusaifah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Muhammad bin Nasr al-Marwazi iaitu:
عن يزيد بن خصيفة عن السائب بن يزيد قال كانوا يقومون على عهد عمر بن الخطاب رضى الله عنها في شهر رمضان بعشرين ركعة قال وكانوا يقرؤن بالمئين وكانوا يتوكؤن على عصيهم في عهد عثمان بن عفان رضى الله عنه من شدة القيام

Daripada Yazid bin Khusaifah daripada Saib bin Yazid katanya: “Mereka (sahabat) sembahyang (tarawih) di zaman Umar bin al-Khattab r.a. di bulan Ramadhan sebanyak dua puluh rakaat”. Dia (Saib) berkata lagi, “mereka membaca dua ratus ayat dan mereka bertongkat di atas tongkat-tongkat mereka di zaman Uthman bin ‘Affan r.a. kerana lama berdiri”

nota# risalah kedua