20 November 2008

63 Rahsia untuk Kebahagiaan Suami Isteri

TANPA sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan.

Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.

Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr Fadzilah Kamsah memberi 63 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan bercinta atau mereka yang melayari rumah tangga

1. Doa yang berterusan.
2. Patuh ajaran agama.
3. Murah dengan pujian.
4. Murah dengan khidmat.
5. Murah dengan belaian kasih sayang.
6. Murah dengan sentuhan.
7. Mencari kebaikan pasangan.
8. Cari masa berkomunikasi, berbual atau bergurau senda.
9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran.
10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan.
11. Menilai diri daripada perspektif pasangan.
12. Berfikiran terbuka - boleh tegur menegur.
13. Berani mengambil risiko emosi - tegur/perubahan/berpisah sementara.
14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan.
15. Tolak-ansur.
16. Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) perempuan.
17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata.
18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.
19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan.
20. Sanggup berkorban buat pasangan.
21. Menghormati pasangan.
22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada.
23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai.
24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan.
25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur.
26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan.
27. Meletakkan hak kepada pasangan.
28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan.
29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan.
30. Mengawal marah. Buat perjanjian.
31. Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.
32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah.
33. Menghormati sifat semula jadi pasangan.
34. Memahami peranan ‘pasangan’.
35. Hubungan perasaan sesama pasangan.
36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati.
37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu.
38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri.
39. Tujuh kali puji dan satu teguran.
40. Sebut ‘I love you’ sepanjang masa.
41. Banyakkan bergurau dan bermesra.
42. Sentiasa berterus terang.
43. Beri masa untuk perubahan berlaku - sabar.
44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran.
45. Elakkan salah pasangan.
46. Cari titik pertemuan.
47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga.
48. Lebih banyak memberi daripada menerima.
49. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan.
50. Sentiasa bersemangat - bangun tidur, pergi kerja, balik kerja dan sebagainya.
51. Seimbangkan hubungan dari segi:
(a) Mental, pendidikan dan ilmu
(b) Emosi
(c) Fizikal dan ekonomi
(d) Sosial
(e) Spiritual
52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa).
53. Tidak terlalu mengongkong.
54. Tidak bertindak bersendirian.
55. Memberi peluang untuk berbeza:
(a) Pendapat atau pandangan
(b) Hobi
(c) Kegemaran
(d) Makanan
(e) Cita rasa
(f) Warna pilihan dan pelbagai

56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa.
57. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negatif.
58. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa).
59. Tidak meminta yang bukan-bukan.
60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga.
61. Mencari kelainan dan perubahan positif.
62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.
63. Reda, syukur dan tawakal kepada Allah s.w.t

CELAAN ALLAH TERHADAP MEREKA YANG BERMUKA-MUKA

يَسْتَخْفُونَ مِنَ النَّاسِ وَلاَ يَسْتَخْفُونَ مِنَ اللّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ إِذْ يُبَيِّتُونَ مَا لاَ يَرْضَى مِنَ الْقَوْلِ وَكَانَ اللّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطًا


Firman Allah Taala: Mereka dapat bersembunyi daripada manusia, (tetapi) mereka tidak dapat bersembunyi daripada Allah, padahal Allah sentiasa bersama mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak sukai. Dan Allah itu Maha Meliputi (ilmuNya) terhadap apa yang mereka kerjakan.

[ Surah al-Nisaa’ ayat 108-109 ]


Hadis-Hadis Yang Berkaitan

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ قال: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَجِدُونَ النَّاسَ مَعَادِنَ, خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقِهُوا وَتَجِدُونَ خَيْرَ النَّاسِ فِي هَذَا الشَّأْنِ أَشَدَّهُمْ لَهُ كَرَاهِيَةً وَتَجِدُونَ شَرَّ النَّاسِ ذَا الْوَجْهَيْنِ الَّذِي يَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ وَيَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.


1541/1- Daripada Abu Hurairah r.a.katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu akan dapati ada manusia (ibarat) logam (iaitu yang mempunyai keturunan yang baik yang mereka bangga dengannya). Orang-orang yang baik pada zaman jahiliyyah, mereka jugalah orang yang baik pada zaman Islam jika mereka memahami (mereka memeluk Islam dan betul-betul faham agama). Dan kamu akan dapati orang yang terbaik dalam hal ini (pemerintahan) adalah orang yang sangat benci kepadanya (tidak suka menjawatnya). Dan kamu juga akan dapati sejahat-jahat manusia ialah orang yang mempunyai dua muka iaitu yang datang kepada satu golongan dengan muka yang lain dan datang kepada golongan yang lain pula dengan muka yang lain.


Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.



Pengajaran Daripada Hadis

1. Orang yang berketurunan mulia akan bertambah kemulian mereka dengan memeluk agama Islam dan mengetahui secara mendalam hukum-hukum syarak.

2. Orang terbaik yang menjawat tampuk pemerintahan ialah orang yang mampu dan tidak tamak untuk menjawatnya. Ini kerana bila mereka diberi kepercayaan, mereka akan menunaikan tugas dengan baik dan mengikut kehendak Allah s.w.t., berlainan dengan orang yang tamak dan haloba untuk menjawat jawatan, mereka akan menganggap jawatan sebagai kemegahan dan kemewahan, kerana itu mereka mudah menyeleweng.

3. Orang yang datang kepada satu kumpulan dan menyatakan sokongan kepada mereka dan datang kepada kumpulan yang lain dan menyatakan pula sokongan kepada mereka, adalah orang yang bermuka dua yang dicela dalam hadis tadi.

4. Orang yang datang kepada dua kumpulan yang bertelagah untuk mendamaikan mereka adalah tidak dilarang bahkan disuruh dan digalakkan.


وَعَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زَيْدٍ, أنَّ نَاسًا قَالُوْا لِجَدِّهِ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا: إِنَّا نَدْخُلُ عَلَى سَلاطِيْنِنَا, فَنَقُولُ لَهُمْ بِخِلَافِ مَا نَتَكَلَّمُ إِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِهِمْ, قَالَ: كُنَّا نَعُدُّ هذا نِفَاقًا عَلى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عليهِ وَسَلَّمَ. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.


1542/2- Daripada Muhammmad bin Zaid (katanya), ada beberapa orang yang datang menemui datuknya Abdullah bin Umar r.a. dan berkata: Sesungguhnya kami datang menemui pembesar-pembesar kami dan kami bercakap dengan mereka berlainan dengan percakapan kami semasa kami keluar dari tempat mereka. Beliau (Ibnu Umar r.a.) berkata: Kami (para sahabat) menganggap perkara itu adalah kemunafiqan pada hayat Rasulullah s.a.w..


Hadis riwayat Bukhari.


Pengajaran Daripada Hadis

1. Agongnya sifat para sahabat Nabi s.a.w., kerana itulah meeka mendapat kemuliaan daripada Allah Taala.

2. Para sahabat Nabi s.a.w. adalah orang yang berani menyatakan kebenaran dan mereka bukanlah daripada jenis pengampu.

3. Memuji para pemimpin di hadapan mereka dan mencela mereka di belakang adalah sikap orang munafik yang pengecut dan dayus.

4. Orang beriman yang sebenar tidak takut untuk menasihati pemimpin-pemimpin yang menyeleweng dan mereka tidak takut hilang tempat di sisi pemimpin asalkan mereka mendapat tempat dan diredai di sisi Allah.