22 Februari 2009

Pengertian Bulan Safar


Dari segi bahasanya Safar membawa erti kosong dan dari segi istilahnya bulan Safar membawa erti bulan di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang setelah bebas dari bulan-bulan haram yang diharamkan berperang.

Setelah kedatangan Islam, Rasullullah mengekalkan nama bulan ini dengan nama bulan Safar sehinggalah ke hari ini.

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Safar

Ada berbagai peristiwa yang berlaku di dalam bulan Safar. Diantara peristiwa penting yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan wajar dikenang oleh kita ialah;

Persidangan Darul-Nadwah Persidangan Darul-Nadwah adalah persidangan yang dianjurkan oleh pihak Musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah di Mekah. Persidangan ini dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah saw.

Persidangan ini dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad. Keputusan dari persidangan ini ialah Rasulullah saw dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah saw.

Oleh itu keluarga Rasullullah saw dari kabilah Bani Abdul Manaf tidak akan mampu untuk membalas dendam terhadap semua kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu. Maka Allah ta'ala telah memerintahkan Rasullullah saw keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada waktu malam di akhir bulan Safar dan pendapat yang lebih masyhur mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada bulan Rabi'ul Awwal setelah 13 tahun berdakwah di Mekah.


Rasullullah Mula Sakit Satu lagi peristiwa penting yang berlaku di bulan Safar ini ialah pada akhir bulan ini setelah kembalinya Rasullullah dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Rasullullah saw) beliau mula ditimpa sakit.

Beliau wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. Rasullullah mula merasai sakit yang berat sewaktu beliau di rumah isterinya Saidatina Maimunah r.a.

Beliau telah memanggil kesemua isteri-isterinya yang lain untuk meminta izin agar beliau dibenarkan diam di rumah Saidatina Aisyah r.a dan beliau telah wafat di rumah Saidatina Aisyah r.a.


rujuk; www.al-azim.com

04 Februari 2009

Asas-asas yang penting bagi Agama Islam

Perkara Asas penting bagi agama Islam :

1. Iman
2. Islam
3. Ihsan

Erti Iman :

Ialah Keyakinan yang teguh terhadap apa-apa yang dibawa oleh Rasullallah S.a.w baik berupa kepercayaan ataupun undang-undang lahir.

Iman terbahagi kepada 5 bahagian :

1. Iman yang tetap – iaitu iman yang tidak bertambah dan tidak berkurang seperti iman sekalian malaikat.
2. Iman yang sentiasa bertambah iaitu iman para Nabi dan juga Rasul.
3. Iman yang sentiasa berkurangan –iaitu iman orang-orang fasik.
4. Iman yang boleh jadi bertambah dan berkurang iaitu iman segala orang mukmin yang disebabkan mereka taat dan tidak taat kepada perintah Allah.
5. Iman yang ditolak (mardud) iaitu iman orang-orang yang munafik (yang beriman pada lahir sahaja)

Rukun Iman ;

Perkara-perkara yang menjadi asas dalam iman ada enam :

1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada malaikat.
3. Percaya kepada Nabi dan Rasul-rasul.
4. Percaya kepada kitab-kitab yang diutuskan oleh Allah.
5. Percaya kepada hari Akhirat.
6. Percaya kepada Qadha; dan Qadar.

Perkara yang membatalkan Iman;

Iman seseorang itu boleh terbatal dengan perkara-perkara yang boleh merosakkannya baik secara langsung dan tidak langsung.

1. Dengan sebab I’tikad – seperti percaya tidak ada Allah,dan setiap ala mini tiada pencipta.
2. Dengan perkataan – seperti lafaz ‘aku telah keluar dari islam’ atau menghalal ape yang diharamkan.
3. Perbuatan - seperti sembah berhala,pokok,matahari dan sebagainya.

Islam dan Iman


Apa itu islam? Apakah yang dimaksudkan dengan islam? Islam ialah tunduk dan menurut segala perintah Allah dan Rasulnya baik dari segi suruhan dan larangannya.

Islam mempunyai rukun-rukunnya begitu juga rumah memerlukan beberapa tiang untuk menyokongnya.Dalam islam rukun tersebut adalah seperti ;

1. Mengucap dua kalimah syahadat
2. Mendirikan solat 5 waktu sehari semalam
3. Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan
4. Mengeluarkan zakat
5. Menunaikan haji bagi yang mampu.