01 September 2008

Golongan yang berhak menerima Zakat

Zakat akan diagihkan kepada beberapa asnaf. Asnaf-asnaf tersebut ialah:

ASNAF FAKIR - Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.

ASNAF MISKIN - Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

ASNAF AMIL - Orang yang dilantik / ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.

ASNAF MUALLAF - Orang yang baru memeluk Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.

ASNAF RIQAB - Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

ASNAF GHARIMIN - Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan :

Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.

Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.

Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

ASNAF FISABILILLAH - Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untukmenegakkan syiar Islam.

ASNAF IBNI SABIL - Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat:

Ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya.

Pengembaraan diharuskan oleh syarak.

Bahagian-bahagian Zakat

Ada 2 jenis zakat iaitu:

Zakat Fitrah

Zakat Harta

Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:

Zakat Emas dan Perak

Zakat Perniagaan

Zakat Binatang Ternakan

Zakat Pertanian

Zakat Wang

Zakat Ma'adin, Kunuz dan Rikaz *

Zakat Saham

Zakat Pendapatan

***

Ma'adin

Ialah segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut.



Kunuz

Ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).



Rikaz

Ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah)

Syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat

Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:

ISLAM - Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.

MERDEKA - Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.

SEMPURNA MILIK - Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.

HASIL USAHA YANG BAIK SEBAGAI SUMBER ZAKAT - Para Fuqaha' merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai "Mal Mustafad" iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

CUKUP NISAB - Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.

CUKUP HAUL - Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.

ZAKAT FITRAH

PENGERTIAN ZAKAT FITRAH


Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.





SYARAT WAJIB ZAKAT


Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:


Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan