20 November 2008

63 Rahsia untuk Kebahagiaan Suami Isteri

TANPA sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan.

Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.

Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr Fadzilah Kamsah memberi 63 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan bercinta atau mereka yang melayari rumah tangga

1. Doa yang berterusan.
2. Patuh ajaran agama.
3. Murah dengan pujian.
4. Murah dengan khidmat.
5. Murah dengan belaian kasih sayang.
6. Murah dengan sentuhan.
7. Mencari kebaikan pasangan.
8. Cari masa berkomunikasi, berbual atau bergurau senda.
9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran.
10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan.
11. Menilai diri daripada perspektif pasangan.
12. Berfikiran terbuka - boleh tegur menegur.
13. Berani mengambil risiko emosi - tegur/perubahan/berpisah sementara.
14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan.
15. Tolak-ansur.
16. Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) perempuan.
17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata.
18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.
19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan.
20. Sanggup berkorban buat pasangan.
21. Menghormati pasangan.
22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada.
23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai.
24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan.
25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur.
26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan.
27. Meletakkan hak kepada pasangan.
28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan.
29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan.
30. Mengawal marah. Buat perjanjian.
31. Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.
32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah.
33. Menghormati sifat semula jadi pasangan.
34. Memahami peranan ‘pasangan’.
35. Hubungan perasaan sesama pasangan.
36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati.
37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu.
38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri.
39. Tujuh kali puji dan satu teguran.
40. Sebut ‘I love you’ sepanjang masa.
41. Banyakkan bergurau dan bermesra.
42. Sentiasa berterus terang.
43. Beri masa untuk perubahan berlaku - sabar.
44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran.
45. Elakkan salah pasangan.
46. Cari titik pertemuan.
47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga.
48. Lebih banyak memberi daripada menerima.
49. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan.
50. Sentiasa bersemangat - bangun tidur, pergi kerja, balik kerja dan sebagainya.
51. Seimbangkan hubungan dari segi:
(a) Mental, pendidikan dan ilmu
(b) Emosi
(c) Fizikal dan ekonomi
(d) Sosial
(e) Spiritual
52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa).
53. Tidak terlalu mengongkong.
54. Tidak bertindak bersendirian.
55. Memberi peluang untuk berbeza:
(a) Pendapat atau pandangan
(b) Hobi
(c) Kegemaran
(d) Makanan
(e) Cita rasa
(f) Warna pilihan dan pelbagai

56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa.
57. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negatif.
58. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa).
59. Tidak meminta yang bukan-bukan.
60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga.
61. Mencari kelainan dan perubahan positif.
62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.
63. Reda, syukur dan tawakal kepada Allah s.w.t

CELAAN ALLAH TERHADAP MEREKA YANG BERMUKA-MUKA

يَسْتَخْفُونَ مِنَ النَّاسِ وَلاَ يَسْتَخْفُونَ مِنَ اللّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ إِذْ يُبَيِّتُونَ مَا لاَ يَرْضَى مِنَ الْقَوْلِ وَكَانَ اللّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطًا


Firman Allah Taala: Mereka dapat bersembunyi daripada manusia, (tetapi) mereka tidak dapat bersembunyi daripada Allah, padahal Allah sentiasa bersama mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak sukai. Dan Allah itu Maha Meliputi (ilmuNya) terhadap apa yang mereka kerjakan.

[ Surah al-Nisaa’ ayat 108-109 ]


Hadis-Hadis Yang Berkaitan

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ قال: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَجِدُونَ النَّاسَ مَعَادِنَ, خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقِهُوا وَتَجِدُونَ خَيْرَ النَّاسِ فِي هَذَا الشَّأْنِ أَشَدَّهُمْ لَهُ كَرَاهِيَةً وَتَجِدُونَ شَرَّ النَّاسِ ذَا الْوَجْهَيْنِ الَّذِي يَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ وَيَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.


1541/1- Daripada Abu Hurairah r.a.katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu akan dapati ada manusia (ibarat) logam (iaitu yang mempunyai keturunan yang baik yang mereka bangga dengannya). Orang-orang yang baik pada zaman jahiliyyah, mereka jugalah orang yang baik pada zaman Islam jika mereka memahami (mereka memeluk Islam dan betul-betul faham agama). Dan kamu akan dapati orang yang terbaik dalam hal ini (pemerintahan) adalah orang yang sangat benci kepadanya (tidak suka menjawatnya). Dan kamu juga akan dapati sejahat-jahat manusia ialah orang yang mempunyai dua muka iaitu yang datang kepada satu golongan dengan muka yang lain dan datang kepada golongan yang lain pula dengan muka yang lain.


Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.



Pengajaran Daripada Hadis

1. Orang yang berketurunan mulia akan bertambah kemulian mereka dengan memeluk agama Islam dan mengetahui secara mendalam hukum-hukum syarak.

2. Orang terbaik yang menjawat tampuk pemerintahan ialah orang yang mampu dan tidak tamak untuk menjawatnya. Ini kerana bila mereka diberi kepercayaan, mereka akan menunaikan tugas dengan baik dan mengikut kehendak Allah s.w.t., berlainan dengan orang yang tamak dan haloba untuk menjawat jawatan, mereka akan menganggap jawatan sebagai kemegahan dan kemewahan, kerana itu mereka mudah menyeleweng.

3. Orang yang datang kepada satu kumpulan dan menyatakan sokongan kepada mereka dan datang kepada kumpulan yang lain dan menyatakan pula sokongan kepada mereka, adalah orang yang bermuka dua yang dicela dalam hadis tadi.

4. Orang yang datang kepada dua kumpulan yang bertelagah untuk mendamaikan mereka adalah tidak dilarang bahkan disuruh dan digalakkan.


وَعَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زَيْدٍ, أنَّ نَاسًا قَالُوْا لِجَدِّهِ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا: إِنَّا نَدْخُلُ عَلَى سَلاطِيْنِنَا, فَنَقُولُ لَهُمْ بِخِلَافِ مَا نَتَكَلَّمُ إِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِهِمْ, قَالَ: كُنَّا نَعُدُّ هذا نِفَاقًا عَلى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عليهِ وَسَلَّمَ. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.


1542/2- Daripada Muhammmad bin Zaid (katanya), ada beberapa orang yang datang menemui datuknya Abdullah bin Umar r.a. dan berkata: Sesungguhnya kami datang menemui pembesar-pembesar kami dan kami bercakap dengan mereka berlainan dengan percakapan kami semasa kami keluar dari tempat mereka. Beliau (Ibnu Umar r.a.) berkata: Kami (para sahabat) menganggap perkara itu adalah kemunafiqan pada hayat Rasulullah s.a.w..


Hadis riwayat Bukhari.


Pengajaran Daripada Hadis

1. Agongnya sifat para sahabat Nabi s.a.w., kerana itulah meeka mendapat kemuliaan daripada Allah Taala.

2. Para sahabat Nabi s.a.w. adalah orang yang berani menyatakan kebenaran dan mereka bukanlah daripada jenis pengampu.

3. Memuji para pemimpin di hadapan mereka dan mencela mereka di belakang adalah sikap orang munafik yang pengecut dan dayus.

4. Orang beriman yang sebenar tidak takut untuk menasihati pemimpin-pemimpin yang menyeleweng dan mereka tidak takut hilang tempat di sisi pemimpin asalkan mereka mendapat tempat dan diredai di sisi Allah.

17 November 2008

Destinasi Roh Selepas Mati

Ulama berbeza pandangan dalam menentukan tempat tinggal Roh selepas mati seperti berikut (Rujuk Syarh Al-‘Aqidah At-Tohawiyah, Tahqiq Syuaib Arnout, 2/613-614, cet Muasassah ar-Risalah) :-

1) Roh Mukmin di dalam Syurga dan Roh Kafir di dalam Neraka.

2) Kedua-duanya di dalam kubur mereka, dan Roh Mukmin di bukakan taman Syurga serta memperolehi nikmatnya dan Kafir di bukakan lubang azab neraka.

3) Roh Mukmin di alam tinggi (‘illiyyin) di langit ketujuh dan Kafir di ‘Sijjin' di dunia yang ketujuh terbawah.

4) Roh para Shuhada' (mati syahid) berada di Syurga dan Roh seluruh Mukmin lain berada di kuburan mereka. (pandangan Imam Ibn Abd Al-Barr)


Antara dalil dalam hal destinasi roh selepas kematian ini ada diterangkan di dalam hadith

" Roh yang Mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di dalam Syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari dibangkitkannya." (Ibn Majah, no 1449 ; Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis; Sohih menurut Ibn Hibban no. 743, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)


Berdasarkan sebuah hadith lain, apabila seorang Mukmin itu mati rohnya akan dibawa naik ke langit sehingga sampai ke langit ke tujuh, maka berkata Allah SWT : Tuliskan buku hambaku ini di ‘illiyyin' (tempat yang tinggi) dan kemudian dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua Malaikat ... (Ringkasan Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)


Manakala Roh si jahat dan Kafir pula juga di bawa naik ke langit dengan bau yang amat busuk dan digelar dengan nama yang terburuk dan apabila sampai di langit, maka tidak dibukakan pintu langit kemudian Nabi SAW membacakan ayat 40 dari Surah al-A'raf . Kemudian Allah SWT mengarahkan agar dtuliskan namanya di dalam ‘Sijjin' (neraka) kemudian di campakkan Rohnya dan Nabi SAW membacakan firman Allah : " Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka adalah seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan ke tempat yang jauh" (Al-A'raf : 31) . Kemudian dikembalikan kepada jasadnya, ...kemudian di datangi Malaikat..lalu dibukakan pintu dari neraka, lalu datanglah kepanasannya dan racunnya, dan kuburnya pula menyempit sehingga bersilang rusuknya. (Ringkasan dari Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)


Berdasarkan ayat Quran juga, ruh si jahat juga akan di azab di dalam alam barzakhnya. Iaitu :

" Api neraka dikenakan kepada mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala di apabila tiba qiyamat mereka di masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan azab" (Ghafir : 40)


Kesimpulannya, Roh tidak mampu kembali ke alam dunia kerana Barzakh adalah tembok yang menghalangnya, dan Roh mukmin di berikan nikmat di alam barzakh manakala Roh di kafir diazab sehingga kiamat

16 November 2008

10 Langkah Praktik Untuk Melahirkan Anak Soleh

10 Langkah Praktik Untuk Melahirkan Anak Soleh

1. Didik anak-anak kita mengenali Allah.


2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadat wajib yang lain.

3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita.

4. Hidupkan dalam rumah kita suasana Islami (suasana keislaman). Antara perkara yang dapat kita lakukan untuk tujuan itu ialah selalu membaca al-Quran di rumah, membiasakan solat sunat di rumah, hidupkan budaya memberi salam dan mempraktikkan adab-adab Islam dalam rumah.

5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, musalla atau surau.

6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita.

7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu.

8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.

9. Mohon sentiasa dari Allah supaya dikurniakan anak yang soleh.

10. Sentiasa memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita

Kewajiban didalam Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasullallah

Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah (s.a.w). Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (al-baqarah 3:31) Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah atau kesan akan adanya perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w), perasaan taat kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda kerana Allah memuji akan baginda didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4) Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain.


Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya."Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri." Dan Sayyidina 'Umar berkata,"Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku sendiri.


Kesempurnaan iman seseorang itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah (s.a.w) .Mengapa kita menyambut Isnin sebagai hari Kelahiran Baginda? Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah (s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul." Daripada Mutawalli Sha'rawi:"Banyak peristiwa yang ajaib telah berlaku pada hari baginda (s.a.w) dilahirkan sebagai bukti bagi hadith dan sejarah bahawa malam Rasulullah (s.a.w) dilahirkan tidak seperti malam-malam manusia lain dilahirkan.Daripada Kitab al-Madhkal oleh Ibnu al-Hajj (jilid 1, ms. 261) "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan salam. Apabila baginda ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda bersabda,"Hari itu adalah hari kelahiranku".


Oleh kerana itu, hari tersebut telah memberi satu 'penghormatan' kepada bulan tersebut, kerana hari itu merupakan hari Rasulullah (s.a.w) dan baginda bersabda,"Aku merupakan penghulu bagi anak cucu Adam dan aku tidak mengatakan ini kerana kesombongan …dan baginda bersabda: Adam dan anak cucunya akan bernaung dibawah panji-panjiku pada hari pembalasan kelak. Hadith-hadith ini merupakan riwayat 'Shaikhayn' Bukhari dan Muslim. Dan Muslim menulis didalam Sahih nya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku."


Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith. Ini bermakna, Rasulullah (s.a.w) telah melahirkan dan menzahirkan perasaan gembira baginda dengan berpuasa pada hari tersebut - salah satu daripada bentuk ibadah khusus. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w) sendiri mengutamakan hari tersebut, jadi sebagai mencontohi baginda, sambutan atau ibadah yang selaras dengan syariah adalah dibolehkan - walaupun mungkin kaedah menyambutnya mungkin boleh berubah mengikut keadaan dan tempat tetapi dzat/intipati sambutan itu tetap sama. Dan kerana itu, berpuasa, memberi makanan kepada orang fakir miskin, bersama-sama berselawat kepada Nabi (s.a.w), ataupun bersama-sama mengingati dan merenung akan akhlaq baginda yang terpuji lagi mulia - semuanya merupakan kaedah ataupun cara yang boleh dilakukan untuk mengutamakan dan menyambut hari tersebut.


Apakah Kesan Memperingati Maulid untuk Orang Kafir?Apabila seseorang yang tidak beriman, bersama-sama menyatakan kegembiraan dan menyambut Maulidurrasul (s.a.w), atas rahmat dan kemurahan Allah, orang itu akan dapat manfaatnya. Perkara ini ada dinyatakan didalam sahih Bukhari. Bukhari meriwayatkan bahawa setiap Isnin, Abu Lahab akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w).Hadith ini terkandung didalam kitab Nikah oleh Bukhari dan Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi telah menulis didalam kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi : "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya" "hancur tangan-tangannya"; (surat 111) diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? - [tentu lebih lagi ganjarannya - penterjemah]


Kenapakah Menjadi Kewajiban Mengetahui Sirah dan Mencontohi Asas-asas Akhlaq Baginda?Kita disuruh untuk mengenali Nabi kita, tahu akan kehidupan baginda, mengenai mukjizat baginda, kelahirannya , akhlaqnya, keimanan baginda, tanda-tanda kenabian beliau (ayat wa dala'il), khalwat yang baginda lalui, ibadah baginda lagipun bukankah perkara-perkara ini sepatutnya diketahui oleh setiap Muslim? Apakah cara yang lebih baik lagi selain daripada meraikan hari kelahiran baginda, iaitu hari permulaan kehidupan baginda, dan seterunya supaya kita terdorong untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam lagi.


Memperingati hari kelahiran baginda akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.Wallah hu aklam.

09 November 2008

Apa itu YOGA?

YOGA, satu istilah yang sinonim dengan gaya senaman tersendiri mutakhir ini. Jika dulu ia terbatas kepada kaum tertentu, kini pelbagai pihak cuba mengamalkannya kerana dikatakan mendapat ketenangan melalui senaman itu.

Faktor kesihatan dan ketenangan yang diperoleh melalui senaman yoga menyebabkan masyarakat berbilang agama termasuk umat Islam tertarik dan melakukan aktiviti terbabit. Tetapi apa sebenarnya yoga?
Kamus Dewan (Edisi Keempat) menyatakan yoga ialah sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran (seperti dengan bertafakur) melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran.

Ia juga membawa maksud senaman pelbagai cara untuk menenangkan fikiran, seperti bertafakur, terutama satu siri senaman gerak badan yang bertujuan mewujudkan keadaan badan dan fikiran yang sihat.

Menurut sebuah ensiklopedia, yoga merujuk kepada disiplin tradisional berkaitan fizikal dan mental yang berasal dari India; matlamat yang dicapai melalui disiplin ini; dan satu dari enam fahaman ortodoks (astika) dalam falsafah Hindu.

Istilah yoga dalam bahasa Sanskrit, berasal dari kata yuj, memberikan banyak makna seperti mengawal, menggalas dan menyatukan. Terjemahannya termasuk bergabung, bersatu, kesatuan, penghubung, jalan atau cara.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, berkata Yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa kerana percaya yoga boleh menyatukan mereka dengan tuhan.

Yoga dikatakan mempunyai beberapa cabang, antaranya Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga dan Hatha Yoga.

Raja Yoga disusun dalam Sutra Yoga Patanjali dan dikenali sebagai yoga dalam konteks falsafah Hindu adalah sebahagian tradisi Samkhya.

Banyak teks Hindu membincangkan aspek yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.

Di luar India, istilah yoga sering disamakan dengan Hatha Yoga dan gaya posisi tubuh (asana) atau suatu bentuk senaman. Seorang pengamal Yoga dipanggil Yogi (uniseks) atau Yogini (perempuan).

Senaman yoga yang diperkenalkan sekitar 3,300 Sebelum Masihi dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Bagaimanapun, kebanyakan pergerakannya berdasarkan unsur dalam agama Hindu, dikhuatiri boleh memesongkan akidah bagi mereka beragama Islam yang mengamalkannya.

“Mengapa kita perlu mencari alternatif lain untuk bersenam dan ketenangan? Jika silap cara, yoga boleh memesongkan akidah kerana pergerakannya mengikut gaya dan tradisi agama Hindu,” kata Zakaria.

Ketika kebanyakan amalan mistik kuno secara samar-samar diisyaratkan dalam Veda, amalan pertapaan dirujuk dalam Brahmaas.

Rig Veda, teks Hindu paling awal menyatakan amalan terbabit. Pengawalan minda dan pernafasan dipercayai diamal sejak zaman Vedic (zaman Vedic ialah zaman dalam sejarah India sepanjang Veda, teks Hindu yang paling lama digubah).

Penulis popular mengenai yoga, Georg Feuerstein mempercayai yoga menjadi asas kepada upacara Vedic, khususnya untuk ratib zikir suci.

Dalam Upanishad, rujukan yang awal terhadap meditasi dibuat dalam Brihadaranyaka Upanishad, satu daripada Upanishad yang terawal.

Sumber naskhah utama bagi mengembangkan konsep yoga adalah pertengahan Upanishad, Mahabharata, termasuk Bhagavad Gita dan Sutra Yoga Patanjali.

Beberapa pengesahan ditemui di kawasan Peradaban Lembah Indus memaparkan gambaran dalam yoga atau meditasi seperti gaya posisi tubuh, ‘satu bentuk disiplin ritual, yang mencadangkan yoga’ iaitu titik kepada pemujaan Harappan kepada ‘disiplin ritual dan konsentrasi’, menurut ahli arkeologi Gregory Possehl.

Bhagavad Gita (Nyanyian Tuhan), menggunakan terma yoga dengan meluas dalam pelbagai cara. Sebagai sesuatu yang ditambah kepada seluruh bab (ch 6) mendedikasikan kepada amalan yoga tradisional, termasuk meditasi, ia memperkenalkan tiga jenis yoga yang menonjol, iaitu Karma yoga (yoga tindakan/aksi), Bhakti yoga (yoga pemujaan) dan Jnana yoga (yoga pengetahuan).

Madhusudana Sarasvati, seorang ahli falsafah India dalam tradisi Advaita Vedanta (aliran falsafah Hindu) membahagikan Gita kepada tiga seksyen, dengan enam bab pertama berkaitan Karma yoga, enam pertengahannya dengan Bhakti yoga dan enam yang terakhir dengan Jnana.

Pengkritik lain menyifatkan yoga yang berbeza pada setiap bab, dengan menggariskan lapan belas yoga berbeza.

Hatha Yoga adalah sistem yoga khusus digambarkan oleh Yogi Swatmarama, penyusun Hatha Yoga Pradipika pada kurun ke-15 India.

Hatha Yoga berbeza dari yoga Raja Patanjali kerana ia memfokus terhadap shatkarma (merujuk kepada amalan yoga membabitkan penyucian tubuh badan) penyucian fizikal badan sebagai peneraju kepada penyucian minda (ha) dan pernafasan (prana) atau tenaga yang penting (tha).

Dibandingkan dengan gaya posisi tubuh yang duduk atau berdiri, yoga Raja Patanjali, ia menandakan pembangunan gaya posisi tubuh sebagai gaya sepenuh badan yang kini menjadi popular.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, ketika mengkritik persoalan ini membabitkan umat Islam, berkata senaman yoga perlu diharamkan kerana bercanggah dengan akidah, syariat serta akhlak Islam dan wajib ditinggalkan individu yang sudah mengamalkannya.

Bahkan menurutnya, mereka yang terbabit dengan aktiviti itu perlu segera bertaubat kepada Allah kerana sudah melakukan perkara yang salah di sisi Islam.

“Bukan saja pengamal yoga, malah pengusaha pusat kecergasan yang beragama Islam juga perlu menghentikan perkhidmatan senaman ini kerana ia bercanggah dengan Islam dan boleh memesongkan akidah.

“Keputusan mengharamkan senaman ini juga tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia bertujuan menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam,” katanya.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ada mengeluarkan fatwa mengenai yoga, dengan mengklasifikasikannya sebagai perkara bidaah yang menyesatkan.

“Yoga adalah antara perkara bidaah yang digolongkan ke dalam bidaah dhalalah. la mengandungi unsur agama Hindu.

Segala perkara yang mengandungi unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan (iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram.”

28 Oktober 2008

PURDAH...ANTARA HUKUM DAN PERBANDINGANNYA

Ulama ada berpendapat wajib dan ada juga yang berpendapat harus. Kadangkala ketidakmampuan kita menguasai al quran dan as sunah terpaksa merujuk kepada tulisan ulama’. Maka ada yang berpendapat wajib dan juga harus. Penilaian kita selaku golongan muttabi’, iaitu golongan yang mengikut dalil, bukan individu tertentu seperti muqallid.

Ada dua pendapat: pertama " menyatakan bahawa purdah ini adalah satu rekaan yang dimasukkan ke dalam Islam. Bagi mereka purdah ini adalah bid’ah, iaitu setiap perkara yang tidak datang dari Allah dan Rasul SAW. Berlawanan dengan pendapat ini, ada yang mengatakan sesungguhnya purdah adalah dari Islam sendiri. Menutup muka adalah kewajipan agama yang tidak harus dianggap sambil lewa. Jangan kita musykil, saya akan terus perbahaskan benda furuk ini. Yang penting, metodologi kita bersumberkan Al Quran dan As Sunah. Mengimbangi antara nas yang cabang dan maqasid kulli, tujuan syarak yang menyeluruh. Kita harus berfikiran lapang dalam menerima dan melihat dalil setiap ulama’.

Ulama secara asas, berpendapat masalah ini merupakan masalah khilafiah, menimbulkan keraguan dan pertikaian yang tidak mempunyai nas yang tepat. Ulama’ berselisih dari zaman silam hingga ke hari ini.

Asal masalah adalah dari Firman Allah yang bermaksud ” Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya” Surah An Nur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, yang dikatakan dengan perkataan ‘ma zahara minha’ ialah pakaian dan tudung. Sebelum itu, jilbab menurut bahasa arab ada 3 pengertian:

1. baju yang menutup seluruh tubuh.
2. pakaian perempuan bahagian luar jika dipakai 2 lapis.
3. tudung yang dipakai oleh perempuan.
(lihat mu’jam asasi arab)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas menafsirkan ‘ma zahara minha’ dengan makna celak dan cincin. Ibnu Abbas juga mengatakan bahawa bahagian muka dan tapak tangan. Begitu juga dengan riwayat Aisyah dan Anas b Malik berpendapat begitu.

Mereka juga berselisih dengan pendapat apa yang dikehendaki ‘melabuhkan pakaian’ sebagaimana dalam surah ahzab ayat 59. Apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah berlawanan berkenaan dengan penafsiran ayat ‘ma zahara minha’ tadi. Beliau menafsirkan bahawa maksud melabuhkan pakaian adalah dengan praktikal, iaitu menutup muka dan kepala dan mendedahkan mata kiri!

Ikrimah menyanggah pendapat ini. Beliau menyatakan maksud adalah menutup bahagian lekuk dibahagian atas dada, tempat dimana rantai dipakai dengan tudungnya dan melabuhkan sehingga menutup bahagian lekuk tersebut.

Said b Jubair menyatakan tidak harus bagi wanita Islam dilihat oleh lelaki asing melainkan ia memakai tudung kepala yang disertai dengan kain penutup muka, purdah.

Antara ulama’ yang bersependapat muka dan tangan bukan aurat dan tidak wajib menutupnya adalah Dr, Yusuf Qhardawi, Syeikh Nasirudin Al Bani, kebanyakan ulama di Universiti Al Azhar dan ulama’ kebanyakan tempat.

Ulama Arab saudi dan sebahagian negara teluk tidak sependapat dengan pendapat di atas (wajib menutup muka) antaranya Syeikh Abd Aziz b Baaz. Juga ulama dari Pakistan yang terkenal, Ustaz Abu Al A’la Al Maududi serta Prof Dr, Muhamad Said Ramadhan Al Buuti. Juag terdapat risalah yang dan fatwa dikeluarkan dari masa ke semasa yang menentang dan menyebut keaiban mendedahkan muka. Mereka menyeru memakai purdah dengan nama iman dan agama.

Maka apabila seseorang perempuan mengambil pendapat ini, serta mewajibkan dikalangan mereka menutup muka, maka bagaimana kita mahukan wajib beramal dengan pendapat lain yang dianggap silap(tidak wajib menutup muka) sedangkan kita mengetahui perkara ini merupakan khilafiah. Mereka menghukum golongan yang tidak beramal dengan pendapat lain sebagai berdosa dan fasik sedangkan ia adalah perkara furuk! Menjadi kewajipan kita adalah bersikap berhati-hati dalam perkara agama dan apakah elok jika seseorang mempertikaikan pendapat lain sedangkan ia bukannya perkara usul. Lainlah jika seseorang tidak memakai tudung, itulah yang sepatutnya ditentang!

Tiada ulama mengatakan memakai purdah adalah haram, maka harus seseorang memakainya tanpa ada prasangka buruk ke atas individu tersebut. Menjadi hak seseorang untuk memakai purdah atau sebaliknya. Memakai purdah tidak melanggar kewajipan dan tidak memudaratkan orang lain. Adakah kita menyebut kesalahan mereka yang memakai purdah sedangkan terdapat sekeliling kita yang tidak menutup aurat? Sedangkan kita mengetahui bahawa menampakkan tubuh badan, tidak menutup selain muka dan tapak tangan adalah pengharaman secara ijmak menurut syariat.

Adakah purdah wajib?

Perselisihan ini memang tidak dinafikan wujud. Kadangkala bersikap syadid dalam perkara agama menjadi keruncingan perselisihan. Tetapi secara mudah, kenapa kita mempertikaikan orang yang memaki purdah, kita mengata sedangkan ia adalah khilafiah dan hak individu, maka mungkin kita mendapat dosa. Tetapi jika kita menegur orang tidak memakai tudung, ia adalah perkara disepakati dan usul, mungkin kita mendapat pahala dengan menegur.

Jumhur Mazhab dan ulama’ bersependapat aurat adalah keseluruhan badan kecuali muka dan tangan. Kedua perkara ini adalah bukan aurat. Ibnu Marzuk berpendapat bagi mereka yang cantik dan boleh menimbulkan syahwat, sunat menutup muka. Ini bersandarkan perselisihan sama ada wajib wanita menutup atau wajib lelaki menutup penglihatan, menghindarinya. Kesimpulan, jumhur mengatakan aurat wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.


Dalil : Surah An Nur ayat 30 dan 31.

: Hadis Rasul SAW yang bermaksud ” Tidak harus bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melainkan bahagian ini,sambil Rasul SAW memegang bahagian tengah lengan ( had aurat dalam hadis ini menunjukkan dari tengah lengan tangan hingga jari bukannya dari pergelangan tangan).

: Dalil yang menyuruh menutup belahan leher bukan menutup muka. Surah An Nur ayat 31.

: Dalil perintah supaya lelaki menyekat pandangan mata An Nur ayat 114.

dan beberapa hadis yang berkaitan dengan tidak wajib menutup muka.

Dalil mereka yang mengatakan purdah adalah wajib.

1. Surah Al Ahzab ayat 59 berkaitan ayat jilbab.
2. Tafsir Ibnu Mas’ud berkenaan firman Allah dalam surah An Nur 31. Yang menyatakan wajib.
3. Surah Al Ahzab ayat 53 berkaitan belakang tabir. Termasuk bagi mereka memakai purdah.
4. Hadis Aisyah yang mengatakan melabuhkan tudung hingga menutup muka.
5. Saddu Zaraii’ah. Menyekat jalan yang mengundang dosa.
6. Uruf sesuatu tempat. Wajib bagi mereka menutup aurat.


Secara akhirnya, jumhur ulama’ yang menyatakan menutup muka bukan wajib adalah diterima namun disana tidak memperkecilkan golongan yang mewajibkan memakai purdah. Namun ada beberapa perkara penting yang perlu diingat:

1. Mendedahkan muka tidak semestinya seseorang wanita memenuhinya dengan make up atau berbedak-bedak.
2. Pendapat tidak wajib tidak semestinya purdah tidak harus. Sesiapa yang ingin berpurdah, tidak menjadi kesalahan bahkan digalakkan apabila ia adalah cantik dan boleh menimbulkan fitnah.
3. Antara menutup dan harus melihat bukan seiringan. Pandangan pertama sahaja yang diharuskan sekali pintas. Tidak ada pandangan kedua dan seterusnya.

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Hukum mendedahkan dan menutup muka adalah perkara khilafiah. Perkara khilafiah tidak boleh diperbesarkan dengan golongan pertama menyalahkan yang kedua dan sebaliknya. Tidak salah seseorang wanita ingin mendedahkan mukanya dan dan begitu juga menutupnya. Tetapi menjadi kesalahan golongan yang berpurdah menyalahkan golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya dengan alasan ‘tidak boleh masuk dengan masyarakat’. Menjadi titik penting dan benda yang sangat perlu difahami oleh seluruh masyarakat agar tidak memperlekehkan sesebuah golongan yang lain.

Lebih menjadi kesalahan apabila golongan yang berpurdah memaksa golongan bertudung tidak berpurdah supaya berpurdah. Dan lebih menjadi kesalahan dan amat malang sekali, apabila sesetengah pihak memaksa golongan berpurdah supaya menanggalkan purdah dengan alasan memudahkan urusan, menyesuaikan dengan suasana dan lain lagi.

Memaksa dan meminggirkan golongan yang berpurdah oleh golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya adalah dua perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bahkan memaksa golongan yang berpurdah menanggalkan purdah terpengaruh dengan fahaman sekular! Kenapa tidak dipaksa golongan yang tidak menutup aurat, adakah mereka ada kebebasan individu? Golongan berpurdah dan menutup aurat tidak ada kebebasan? Dimana timbangan keadilan?

Secara rawak, mereka yang mengatakan aurat tidak wajib adalah menyimpang dari perbahasan usul sedangkan purdah sudah khilaf, inikan pula benda yang sudah menjadi nas syar’i di dalam AL Quran dan As Sunah hendak diperlekehkan dan dipermainkan. Adakah kita menyokong golongan ini?