25 November 2008

JaLaN-JaLaN CaRi MaKaN(PeNaNG)

SeKiTaR KuRSuS InDukSi KhuSuS Bil.1 2008

ZULHIJJAH DAN AIDILADHA ANTARA PERSOALAN HUKUM

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW : "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman : "Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1). Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim). Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28). In Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim). Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat bertentanglah jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Nabi SW pula menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)"

Potong Kuku, Rambut & Hukum QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih.

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan.

Justeru, harus memotong kuku tersebut dalam keadaan ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain.

Tidak harus juga berqorban hanya dengan mengeluarkan harganya atau daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain (Al-Majmu, 8/425 ; AL-Mughni, 9/436)

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah : "Tiadalah Allah menginginkan daging dan darah binatang sembelihan itu tetapi (Allah SWT inginkan) ketaqwaan yang di dalam hati. (Al-Hajj : 37)

Harus menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

Binatang Terbaik Untuk Kurban

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

Pembahagian Daging

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah di bahagikan sepertiganya kepada tuan rumah yang berqurban, sepertiga kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan sepertiga lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT : Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah : Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36) Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a.

Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Tidak harus juga secara sepakat ulama bagi orang yang berqurban menjual samada daging, kulit, tulang dan lain-lain dari hasil qurbannya.

Berkorban atau Membayar Hutang

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?. Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini . Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terangcang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki ‘excess', tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia adamat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkurban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN' , hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

Korban Oleh Organisasi & Syarikat?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya, tidak boleh ! ini adalah kerana ibdaha korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara specifik UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu mberbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga penagarahnya secara specific juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

Apakah Haji Akbar ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab: "Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi) dan menurut Ulama itulah yang dimaskudkan dalam ayat surat Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah. (Ahkam al-Quran, Jassas). Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-sihah, bagaimanapun Imam al-Munawi menolak hadith itu dengan hujah "tiada asalnya".

Kesimpulannya : terdapat sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam

rujuk:www.zaharuddin.net

24 November 2008

10 Perkara di wasiatkan oleh Imam As-Syafi'e


SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."
PERTAMA:
HAK KEPADA DIRI. Iaitu: Mengurangkan tidur,mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
KEDUA:
HAK KEPADA MALAIKAT MAUT. Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
KETIGA:
HAK KEPADA KUBUR. Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
KEEMPAT:
HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR. Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
KELIMA:
HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT). Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.
KEENAM:
HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT). Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
KETUJUH:
HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA). Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.
KELAPAN:
HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA). Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.
KESEMBILAN:
HAK KEPADA NABI S.A.W. Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
KESEPULUH:
HAK KEPADA ALLAH SWT. Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.
Sampaikan kepada semua mereka yang kita kenali agar ilmu ini tersebar dan kita dapat bersama-sama mengamalkannya.
"Ya Allah... berilah petunjuk kepada kami agar kami sentiasa berada lurus di jalan Mu...Amin.."

Sekitar Majlis Minggu Mesra Mahasiswa 2008

20 November 2008

63 Rahsia untuk Kebahagiaan Suami Isteri

TANPA sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan.

Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.

Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr Fadzilah Kamsah memberi 63 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan bercinta atau mereka yang melayari rumah tangga

1. Doa yang berterusan.
2. Patuh ajaran agama.
3. Murah dengan pujian.
4. Murah dengan khidmat.
5. Murah dengan belaian kasih sayang.
6. Murah dengan sentuhan.
7. Mencari kebaikan pasangan.
8. Cari masa berkomunikasi, berbual atau bergurau senda.
9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran.
10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan.
11. Menilai diri daripada perspektif pasangan.
12. Berfikiran terbuka - boleh tegur menegur.
13. Berani mengambil risiko emosi - tegur/perubahan/berpisah sementara.
14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan.
15. Tolak-ansur.
16. Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) perempuan.
17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata.
18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.
19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan.
20. Sanggup berkorban buat pasangan.
21. Menghormati pasangan.
22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada.
23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai.
24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan.
25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur.
26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan.
27. Meletakkan hak kepada pasangan.
28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan.
29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan.
30. Mengawal marah. Buat perjanjian.
31. Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.
32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah.
33. Menghormati sifat semula jadi pasangan.
34. Memahami peranan ‘pasangan’.
35. Hubungan perasaan sesama pasangan.
36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati.
37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu.
38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri.
39. Tujuh kali puji dan satu teguran.
40. Sebut ‘I love you’ sepanjang masa.
41. Banyakkan bergurau dan bermesra.
42. Sentiasa berterus terang.
43. Beri masa untuk perubahan berlaku - sabar.
44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran.
45. Elakkan salah pasangan.
46. Cari titik pertemuan.
47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga.
48. Lebih banyak memberi daripada menerima.
49. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan.
50. Sentiasa bersemangat - bangun tidur, pergi kerja, balik kerja dan sebagainya.
51. Seimbangkan hubungan dari segi:
(a) Mental, pendidikan dan ilmu
(b) Emosi
(c) Fizikal dan ekonomi
(d) Sosial
(e) Spiritual
52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa).
53. Tidak terlalu mengongkong.
54. Tidak bertindak bersendirian.
55. Memberi peluang untuk berbeza:
(a) Pendapat atau pandangan
(b) Hobi
(c) Kegemaran
(d) Makanan
(e) Cita rasa
(f) Warna pilihan dan pelbagai

56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa.
57. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negatif.
58. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa).
59. Tidak meminta yang bukan-bukan.
60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga.
61. Mencari kelainan dan perubahan positif.
62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.
63. Reda, syukur dan tawakal kepada Allah s.w.t

CELAAN ALLAH TERHADAP MEREKA YANG BERMUKA-MUKA

يَسْتَخْفُونَ مِنَ النَّاسِ وَلاَ يَسْتَخْفُونَ مِنَ اللّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ إِذْ يُبَيِّتُونَ مَا لاَ يَرْضَى مِنَ الْقَوْلِ وَكَانَ اللّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطًا


Firman Allah Taala: Mereka dapat bersembunyi daripada manusia, (tetapi) mereka tidak dapat bersembunyi daripada Allah, padahal Allah sentiasa bersama mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak sukai. Dan Allah itu Maha Meliputi (ilmuNya) terhadap apa yang mereka kerjakan.

[ Surah al-Nisaa’ ayat 108-109 ]


Hadis-Hadis Yang Berkaitan

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ قال: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَجِدُونَ النَّاسَ مَعَادِنَ, خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقِهُوا وَتَجِدُونَ خَيْرَ النَّاسِ فِي هَذَا الشَّأْنِ أَشَدَّهُمْ لَهُ كَرَاهِيَةً وَتَجِدُونَ شَرَّ النَّاسِ ذَا الْوَجْهَيْنِ الَّذِي يَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ وَيَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.


1541/1- Daripada Abu Hurairah r.a.katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu akan dapati ada manusia (ibarat) logam (iaitu yang mempunyai keturunan yang baik yang mereka bangga dengannya). Orang-orang yang baik pada zaman jahiliyyah, mereka jugalah orang yang baik pada zaman Islam jika mereka memahami (mereka memeluk Islam dan betul-betul faham agama). Dan kamu akan dapati orang yang terbaik dalam hal ini (pemerintahan) adalah orang yang sangat benci kepadanya (tidak suka menjawatnya). Dan kamu juga akan dapati sejahat-jahat manusia ialah orang yang mempunyai dua muka iaitu yang datang kepada satu golongan dengan muka yang lain dan datang kepada golongan yang lain pula dengan muka yang lain.


Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.



Pengajaran Daripada Hadis

1. Orang yang berketurunan mulia akan bertambah kemulian mereka dengan memeluk agama Islam dan mengetahui secara mendalam hukum-hukum syarak.

2. Orang terbaik yang menjawat tampuk pemerintahan ialah orang yang mampu dan tidak tamak untuk menjawatnya. Ini kerana bila mereka diberi kepercayaan, mereka akan menunaikan tugas dengan baik dan mengikut kehendak Allah s.w.t., berlainan dengan orang yang tamak dan haloba untuk menjawat jawatan, mereka akan menganggap jawatan sebagai kemegahan dan kemewahan, kerana itu mereka mudah menyeleweng.

3. Orang yang datang kepada satu kumpulan dan menyatakan sokongan kepada mereka dan datang kepada kumpulan yang lain dan menyatakan pula sokongan kepada mereka, adalah orang yang bermuka dua yang dicela dalam hadis tadi.

4. Orang yang datang kepada dua kumpulan yang bertelagah untuk mendamaikan mereka adalah tidak dilarang bahkan disuruh dan digalakkan.


وَعَنْ مُحَمَّدِ بْنِ زَيْدٍ, أنَّ نَاسًا قَالُوْا لِجَدِّهِ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا: إِنَّا نَدْخُلُ عَلَى سَلاطِيْنِنَا, فَنَقُولُ لَهُمْ بِخِلَافِ مَا نَتَكَلَّمُ إِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِهِمْ, قَالَ: كُنَّا نَعُدُّ هذا نِفَاقًا عَلى عَهْدِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عليهِ وَسَلَّمَ. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.


1542/2- Daripada Muhammmad bin Zaid (katanya), ada beberapa orang yang datang menemui datuknya Abdullah bin Umar r.a. dan berkata: Sesungguhnya kami datang menemui pembesar-pembesar kami dan kami bercakap dengan mereka berlainan dengan percakapan kami semasa kami keluar dari tempat mereka. Beliau (Ibnu Umar r.a.) berkata: Kami (para sahabat) menganggap perkara itu adalah kemunafiqan pada hayat Rasulullah s.a.w..


Hadis riwayat Bukhari.


Pengajaran Daripada Hadis

1. Agongnya sifat para sahabat Nabi s.a.w., kerana itulah meeka mendapat kemuliaan daripada Allah Taala.

2. Para sahabat Nabi s.a.w. adalah orang yang berani menyatakan kebenaran dan mereka bukanlah daripada jenis pengampu.

3. Memuji para pemimpin di hadapan mereka dan mencela mereka di belakang adalah sikap orang munafik yang pengecut dan dayus.

4. Orang beriman yang sebenar tidak takut untuk menasihati pemimpin-pemimpin yang menyeleweng dan mereka tidak takut hilang tempat di sisi pemimpin asalkan mereka mendapat tempat dan diredai di sisi Allah.