19 April 2009

Persoalan Agama: Hukum sentuh terjemahan al-Quran tanpa wuduk



SAYA musykil, apakah perempuan yang didatangi haid boleh memegang dan membaca tafsir al-Quran? Jika boleh, adakah seseorang itu harus mengambil wuduk untuk membaca tafsir berkenaan?

HUSNA,
Perak

WANITA yang didatangi haid tidak boleh memegang mashaf al-Quran dan membaca ayatnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh seseorang yang berjunub dan kedatangan haid membaca sesuatu pun dari ayat-ayat al-Quran” - (Riwayat at- Tirmizi )



Bagaimanapun, sekiranya membaca doa menaiki kenderaan dan sebagainya (di mana doa itu adalah sebahagian daripada al-Quran) yang diniatkan menjadi zikir ia adalah dibolehkan.

Mereka boleh membaca terjemahan atau tafsir ayat al-Quran dan memegangnya tanpa perlu mengambil wuduk. Namun mereka hendaklah memelihara jari jemari daripada tersentuh ayat al-Quran bagi menghormati ayat suci tersebut.

Keikhlasan dalam ibadat


TUJUAN manusia berada di muka bumi ialah untuk beribadat kepada Allah SWT iaitu menunaikan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta bertindak sebagai khalifah yang memakmurkan bumi dengan kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki mereka. "Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku" (Surah al-Dzariyyat: Ayat 51)

Oleh itu, Islam sudah menyatakan sebarang pekerjaan yang menghasilkan pendapatan oleh tangannya sendiri bukan dengan jalan meminta-minta dan sebagainya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya daripada hasil usaha tangannya sendiri". (Riwayat al-Bukhari).

Umat Islam boleh menjadikan pekerjaannya sebagai ibadat dengan menuruti beberapa syarat iaitu antaranya:

1. Niat ikhlas kerana Allah. Ia akan mengangkat manusia kepada kemuncak ketinggian dan kemuliaan insan. Ikhlas juga akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan, membawa kedamaian dan kesejahteraan serta terhindar daripada sifat riak demi mengharapkan reda Allah.

2. Al-Siddiq (Benar), Ia akan menjamin dalam mengembalikan hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara masyarakat tidak kira seorang alim, pemimpin, hakim, saudagar, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa.

Menurut Imam al-Ghazali ada beberapa jenis sifat Siddiq. Antaranya:



Benar pada lidah – menyampaikan sesuatu kenyataan atau berita menepati apa yang sebenarnya.


Benar pada niat – membuat sesuatu amal kebajikan kerana Allah, benar pada azam - membulatkan tekad melakukan kebajikan seperti sudah menjadi azam.


Benar pada janji dan benar pada amal – Berusaha bersungguh-sungguh supaya amalan lahirnya menepati dengan apa yang tersembunyi dalam dirinya.


Amanah – Orang yang amanah akan mendapat kepercayaan orang ramai, sebaliknya orang khianat menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan. Ia asas kepada ketahanan umat, kestabilan negara dan roh kepada keadilan.


Fatanah (Bijaksana) – Bijaksana dalam melaksanakan sesuatu kerja dengan menghindari perkara yang boleh mendatangkan rasa tidak puas hati tidak bertempat, mengagihkan kerja mengikut keupayaan seseorang, menyampaikan arahan serta memelihara aib saudara Muslim yang lain.

Kesimpulannya, Islam membenarkan sebarang pekerjaan asalkan tidak bersalahan dengan landasan dibenarkan syarak. Kejayaan, kebaikan dan pahala dianugerahkan bersandarkan usaha dan amalan seseorang itu seperti firman Allah SWT: "Dan bagi tiap seseorang beberapa darjat tingkatan balasan disebabkan amal yang mereka kerjakan dan ingatlah Tuhan itu tidak lalai daripada apa yang mereka lakukan" (al-An'am: Ayat 132).

Allah SWT juga berfirman di dalam al-Quran untuk menggesa umat manusia merantau dan berusaha mencari rezeki halal dan pada masa sama memelihara maruah dan kehormatan diri serta agama yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan kepada-Nya jugalah dibangkitkan hidup semula" (al-Mulk: Ayat 15)

22 Februari 2009

Pengertian Bulan Safar


Dari segi bahasanya Safar membawa erti kosong dan dari segi istilahnya bulan Safar membawa erti bulan di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang setelah bebas dari bulan-bulan haram yang diharamkan berperang.

Setelah kedatangan Islam, Rasullullah mengekalkan nama bulan ini dengan nama bulan Safar sehinggalah ke hari ini.

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Safar

Ada berbagai peristiwa yang berlaku di dalam bulan Safar. Diantara peristiwa penting yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan wajar dikenang oleh kita ialah;

Persidangan Darul-Nadwah Persidangan Darul-Nadwah adalah persidangan yang dianjurkan oleh pihak Musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah di Mekah. Persidangan ini dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah saw.

Persidangan ini dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad. Keputusan dari persidangan ini ialah Rasulullah saw dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah saw.

Oleh itu keluarga Rasullullah saw dari kabilah Bani Abdul Manaf tidak akan mampu untuk membalas dendam terhadap semua kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu. Maka Allah ta'ala telah memerintahkan Rasullullah saw keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada waktu malam di akhir bulan Safar dan pendapat yang lebih masyhur mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada bulan Rabi'ul Awwal setelah 13 tahun berdakwah di Mekah.


Rasullullah Mula Sakit Satu lagi peristiwa penting yang berlaku di bulan Safar ini ialah pada akhir bulan ini setelah kembalinya Rasullullah dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Rasullullah saw) beliau mula ditimpa sakit.

Beliau wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. Rasullullah mula merasai sakit yang berat sewaktu beliau di rumah isterinya Saidatina Maimunah r.a.

Beliau telah memanggil kesemua isteri-isterinya yang lain untuk meminta izin agar beliau dibenarkan diam di rumah Saidatina Aisyah r.a dan beliau telah wafat di rumah Saidatina Aisyah r.a.


rujuk; www.al-azim.com

04 Februari 2009

Asas-asas yang penting bagi Agama Islam

Perkara Asas penting bagi agama Islam :

1. Iman
2. Islam
3. Ihsan

Erti Iman :

Ialah Keyakinan yang teguh terhadap apa-apa yang dibawa oleh Rasullallah S.a.w baik berupa kepercayaan ataupun undang-undang lahir.

Iman terbahagi kepada 5 bahagian :

1. Iman yang tetap – iaitu iman yang tidak bertambah dan tidak berkurang seperti iman sekalian malaikat.
2. Iman yang sentiasa bertambah iaitu iman para Nabi dan juga Rasul.
3. Iman yang sentiasa berkurangan –iaitu iman orang-orang fasik.
4. Iman yang boleh jadi bertambah dan berkurang iaitu iman segala orang mukmin yang disebabkan mereka taat dan tidak taat kepada perintah Allah.
5. Iman yang ditolak (mardud) iaitu iman orang-orang yang munafik (yang beriman pada lahir sahaja)

Rukun Iman ;

Perkara-perkara yang menjadi asas dalam iman ada enam :

1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada malaikat.
3. Percaya kepada Nabi dan Rasul-rasul.
4. Percaya kepada kitab-kitab yang diutuskan oleh Allah.
5. Percaya kepada hari Akhirat.
6. Percaya kepada Qadha; dan Qadar.

Perkara yang membatalkan Iman;

Iman seseorang itu boleh terbatal dengan perkara-perkara yang boleh merosakkannya baik secara langsung dan tidak langsung.

1. Dengan sebab I’tikad – seperti percaya tidak ada Allah,dan setiap ala mini tiada pencipta.
2. Dengan perkataan – seperti lafaz ‘aku telah keluar dari islam’ atau menghalal ape yang diharamkan.
3. Perbuatan - seperti sembah berhala,pokok,matahari dan sebagainya.

Islam dan Iman


Apa itu islam? Apakah yang dimaksudkan dengan islam? Islam ialah tunduk dan menurut segala perintah Allah dan Rasulnya baik dari segi suruhan dan larangannya.

Islam mempunyai rukun-rukunnya begitu juga rumah memerlukan beberapa tiang untuk menyokongnya.Dalam islam rukun tersebut adalah seperti ;

1. Mengucap dua kalimah syahadat
2. Mendirikan solat 5 waktu sehari semalam
3. Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan
4. Mengeluarkan zakat
5. Menunaikan haji bagi yang mampu.

13 Januari 2009

Khiamat semakin hampir...

Hari Kiamat merupakan Hari Pengakhiran bagi semua makhluk di atas muka bumi ini. Hari kiamat merupakan hari di mana semua manusia dihimpunkan dari seawal-awal kelahiran iaitu manusia semenjak zaman Nabi Adam dan Hawa hinggalah kepada manusia yang paling akhir sekali dijadikan dan dimatikan oleh Allah. Pada hari itu juga manusia dihisab amalannya, Hari Kiamat adalah sesuatu perkara yang benar sebagaimana benarnya bahawa setiap manusia akan mati. Al-Quran banyak menyebut tentang Kiamat itu sebagaimana yang disebut dalam surah al-Hajj:7 bermaksud: “Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti akan datang, tidak ada keraguan padanya…”

Dalam ayat lain Allah berfirman: “Dan tidaklah kami ciptakan langit dan bumi serta apa yang ada pada keduanya, melainkan dengan benar, dan sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang, maka maafkanlah mereka dengan cara yang baik” (al-Hijr:85)

Remaja semua, mari kita fikir sejenak tentang tanda-tanda kecil menunjukkan hampirnya kiamat berdasarkan hadis sahih Nabi s.a.w dengan melihat realiti hidup kita serta kejadian berlaku pada manusia ketika ini.

Antara Tanda-Tanda Kecil Kiamat Berdasarkan Hadis:

Penaklukan Baitulmaqdis
Dari Auf b Malik r.a katanya, “Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Aku menghitung enam perkara menjelang Hari kiamat. “Baginda menyebutkan salah satu diantaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.” (Sahih Bukhari)

Zina Berleluasa
“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang sesuka hatinya melakukan persetubuhan seperti keldai. Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang” (Sahih Muslim)

Alat-Alat Muzik Menjadi kebanggaan dan digilai
Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan pada muka. Ada yang bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah bila hal itu terjadi?” Baginda menjawab: “Apabila telah bermaharajalela muzik (bunyi-bunyian) dan ramainya penyanyi-penyanyi wanita” ( HR Ibnu Majah)

Menghias Masjid dan Membanggakannya
“Diantara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megah dalam mendirikan masjid” ( H.R Nasai)

Munculnya kekejian, Memutuskan Persaudaraan dan Bersikap Buruk Dengan Jiran
“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan bersikap yang buruk dengan jiran” (H.R Ahmad dan Hakim)

Ramai Orang Soleh Meninggal Dunia
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran” ( H.R Ahmad)

Orang Hina Mendapat Kedudukan Terhormat
“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’ (orang yang bodoh dan hina). Maka Orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” (H.R Thabrani)

Mengucapkan salam Kepada Orang Yang Dikenali Sahaja
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalinya sahaja.” (H.R Ahmad)

Ramai Wanita Berpakaian Tetapi hakikatnya telanjang
Diriwayatkan dari Abu Huraira r.a “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang”

Bulan Sabit Kelihatan Besar
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah membesarnya bulan sabit.” (H.R Thabrani)

Banyak Dusta dan Tidak Tepat dalam menyampaikan Berita
“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh ibu bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu.” ( Sahih Muslim)

Banyak Saksi Palsu dan Menyimpan Kesaksian Yang Benar
“Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar.” (Riwayat Ahmad)

Negara Arab menjadi Padang Rumput dan Sungai
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai.” (Sahih Muslim)

Demikianlah sebahagian daripada tanda-tanda kecil akan berlakunya hari kiamat. Marilah kita renungkan sejenak untuk menjadi panduan hidup. Hidup kita hanya sebentar sahaja di muka bumi ini, seharusnya hidup yang singkat ini kita isi dengan sesuatu yang berfaedah sama ada untuk diri sendiri, agama, bangsa mahupun negara. Andai kita seorang remaja, jadilah remaja yang bijak, baik hati, ingat Tuhan dan berbakti.

12 Januari 2009