16 November 2008

10 Langkah Praktik Untuk Melahirkan Anak Soleh

10 Langkah Praktik Untuk Melahirkan Anak Soleh

1. Didik anak-anak kita mengenali Allah.


2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadat wajib yang lain.

3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita.

4. Hidupkan dalam rumah kita suasana Islami (suasana keislaman). Antara perkara yang dapat kita lakukan untuk tujuan itu ialah selalu membaca al-Quran di rumah, membiasakan solat sunat di rumah, hidupkan budaya memberi salam dan mempraktikkan adab-adab Islam dalam rumah.

5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, musalla atau surau.

6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita.

7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu.

8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.

9. Mohon sentiasa dari Allah supaya dikurniakan anak yang soleh.

10. Sentiasa memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita

Kewajiban didalam Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasullallah

Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah (s.a.w). Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (al-baqarah 3:31) Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah atau kesan akan adanya perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w), perasaan taat kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda kerana Allah memuji akan baginda didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4) Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain.


Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya."Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri." Dan Sayyidina 'Umar berkata,"Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku sendiri.


Kesempurnaan iman seseorang itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah (s.a.w) .Mengapa kita menyambut Isnin sebagai hari Kelahiran Baginda? Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah (s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul." Daripada Mutawalli Sha'rawi:"Banyak peristiwa yang ajaib telah berlaku pada hari baginda (s.a.w) dilahirkan sebagai bukti bagi hadith dan sejarah bahawa malam Rasulullah (s.a.w) dilahirkan tidak seperti malam-malam manusia lain dilahirkan.Daripada Kitab al-Madhkal oleh Ibnu al-Hajj (jilid 1, ms. 261) "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan salam. Apabila baginda ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda bersabda,"Hari itu adalah hari kelahiranku".


Oleh kerana itu, hari tersebut telah memberi satu 'penghormatan' kepada bulan tersebut, kerana hari itu merupakan hari Rasulullah (s.a.w) dan baginda bersabda,"Aku merupakan penghulu bagi anak cucu Adam dan aku tidak mengatakan ini kerana kesombongan …dan baginda bersabda: Adam dan anak cucunya akan bernaung dibawah panji-panjiku pada hari pembalasan kelak. Hadith-hadith ini merupakan riwayat 'Shaikhayn' Bukhari dan Muslim. Dan Muslim menulis didalam Sahih nya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku."


Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith. Ini bermakna, Rasulullah (s.a.w) telah melahirkan dan menzahirkan perasaan gembira baginda dengan berpuasa pada hari tersebut - salah satu daripada bentuk ibadah khusus. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w) sendiri mengutamakan hari tersebut, jadi sebagai mencontohi baginda, sambutan atau ibadah yang selaras dengan syariah adalah dibolehkan - walaupun mungkin kaedah menyambutnya mungkin boleh berubah mengikut keadaan dan tempat tetapi dzat/intipati sambutan itu tetap sama. Dan kerana itu, berpuasa, memberi makanan kepada orang fakir miskin, bersama-sama berselawat kepada Nabi (s.a.w), ataupun bersama-sama mengingati dan merenung akan akhlaq baginda yang terpuji lagi mulia - semuanya merupakan kaedah ataupun cara yang boleh dilakukan untuk mengutamakan dan menyambut hari tersebut.


Apakah Kesan Memperingati Maulid untuk Orang Kafir?Apabila seseorang yang tidak beriman, bersama-sama menyatakan kegembiraan dan menyambut Maulidurrasul (s.a.w), atas rahmat dan kemurahan Allah, orang itu akan dapat manfaatnya. Perkara ini ada dinyatakan didalam sahih Bukhari. Bukhari meriwayatkan bahawa setiap Isnin, Abu Lahab akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w).Hadith ini terkandung didalam kitab Nikah oleh Bukhari dan Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi telah menulis didalam kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi : "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya" "hancur tangan-tangannya"; (surat 111) diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? - [tentu lebih lagi ganjarannya - penterjemah]


Kenapakah Menjadi Kewajiban Mengetahui Sirah dan Mencontohi Asas-asas Akhlaq Baginda?Kita disuruh untuk mengenali Nabi kita, tahu akan kehidupan baginda, mengenai mukjizat baginda, kelahirannya , akhlaqnya, keimanan baginda, tanda-tanda kenabian beliau (ayat wa dala'il), khalwat yang baginda lalui, ibadah baginda lagipun bukankah perkara-perkara ini sepatutnya diketahui oleh setiap Muslim? Apakah cara yang lebih baik lagi selain daripada meraikan hari kelahiran baginda, iaitu hari permulaan kehidupan baginda, dan seterunya supaya kita terdorong untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam lagi.


Memperingati hari kelahiran baginda akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.Wallah hu aklam.

09 November 2008

Apa itu YOGA?

YOGA, satu istilah yang sinonim dengan gaya senaman tersendiri mutakhir ini. Jika dulu ia terbatas kepada kaum tertentu, kini pelbagai pihak cuba mengamalkannya kerana dikatakan mendapat ketenangan melalui senaman itu.

Faktor kesihatan dan ketenangan yang diperoleh melalui senaman yoga menyebabkan masyarakat berbilang agama termasuk umat Islam tertarik dan melakukan aktiviti terbabit. Tetapi apa sebenarnya yoga?
Kamus Dewan (Edisi Keempat) menyatakan yoga ialah sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran (seperti dengan bertafakur) melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran.

Ia juga membawa maksud senaman pelbagai cara untuk menenangkan fikiran, seperti bertafakur, terutama satu siri senaman gerak badan yang bertujuan mewujudkan keadaan badan dan fikiran yang sihat.

Menurut sebuah ensiklopedia, yoga merujuk kepada disiplin tradisional berkaitan fizikal dan mental yang berasal dari India; matlamat yang dicapai melalui disiplin ini; dan satu dari enam fahaman ortodoks (astika) dalam falsafah Hindu.

Istilah yoga dalam bahasa Sanskrit, berasal dari kata yuj, memberikan banyak makna seperti mengawal, menggalas dan menyatukan. Terjemahannya termasuk bergabung, bersatu, kesatuan, penghubung, jalan atau cara.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, berkata Yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa kerana percaya yoga boleh menyatukan mereka dengan tuhan.

Yoga dikatakan mempunyai beberapa cabang, antaranya Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga dan Hatha Yoga.

Raja Yoga disusun dalam Sutra Yoga Patanjali dan dikenali sebagai yoga dalam konteks falsafah Hindu adalah sebahagian tradisi Samkhya.

Banyak teks Hindu membincangkan aspek yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.

Di luar India, istilah yoga sering disamakan dengan Hatha Yoga dan gaya posisi tubuh (asana) atau suatu bentuk senaman. Seorang pengamal Yoga dipanggil Yogi (uniseks) atau Yogini (perempuan).

Senaman yoga yang diperkenalkan sekitar 3,300 Sebelum Masihi dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Bagaimanapun, kebanyakan pergerakannya berdasarkan unsur dalam agama Hindu, dikhuatiri boleh memesongkan akidah bagi mereka beragama Islam yang mengamalkannya.

“Mengapa kita perlu mencari alternatif lain untuk bersenam dan ketenangan? Jika silap cara, yoga boleh memesongkan akidah kerana pergerakannya mengikut gaya dan tradisi agama Hindu,” kata Zakaria.

Ketika kebanyakan amalan mistik kuno secara samar-samar diisyaratkan dalam Veda, amalan pertapaan dirujuk dalam Brahmaas.

Rig Veda, teks Hindu paling awal menyatakan amalan terbabit. Pengawalan minda dan pernafasan dipercayai diamal sejak zaman Vedic (zaman Vedic ialah zaman dalam sejarah India sepanjang Veda, teks Hindu yang paling lama digubah).

Penulis popular mengenai yoga, Georg Feuerstein mempercayai yoga menjadi asas kepada upacara Vedic, khususnya untuk ratib zikir suci.

Dalam Upanishad, rujukan yang awal terhadap meditasi dibuat dalam Brihadaranyaka Upanishad, satu daripada Upanishad yang terawal.

Sumber naskhah utama bagi mengembangkan konsep yoga adalah pertengahan Upanishad, Mahabharata, termasuk Bhagavad Gita dan Sutra Yoga Patanjali.

Beberapa pengesahan ditemui di kawasan Peradaban Lembah Indus memaparkan gambaran dalam yoga atau meditasi seperti gaya posisi tubuh, ‘satu bentuk disiplin ritual, yang mencadangkan yoga’ iaitu titik kepada pemujaan Harappan kepada ‘disiplin ritual dan konsentrasi’, menurut ahli arkeologi Gregory Possehl.

Bhagavad Gita (Nyanyian Tuhan), menggunakan terma yoga dengan meluas dalam pelbagai cara. Sebagai sesuatu yang ditambah kepada seluruh bab (ch 6) mendedikasikan kepada amalan yoga tradisional, termasuk meditasi, ia memperkenalkan tiga jenis yoga yang menonjol, iaitu Karma yoga (yoga tindakan/aksi), Bhakti yoga (yoga pemujaan) dan Jnana yoga (yoga pengetahuan).

Madhusudana Sarasvati, seorang ahli falsafah India dalam tradisi Advaita Vedanta (aliran falsafah Hindu) membahagikan Gita kepada tiga seksyen, dengan enam bab pertama berkaitan Karma yoga, enam pertengahannya dengan Bhakti yoga dan enam yang terakhir dengan Jnana.

Pengkritik lain menyifatkan yoga yang berbeza pada setiap bab, dengan menggariskan lapan belas yoga berbeza.

Hatha Yoga adalah sistem yoga khusus digambarkan oleh Yogi Swatmarama, penyusun Hatha Yoga Pradipika pada kurun ke-15 India.

Hatha Yoga berbeza dari yoga Raja Patanjali kerana ia memfokus terhadap shatkarma (merujuk kepada amalan yoga membabitkan penyucian tubuh badan) penyucian fizikal badan sebagai peneraju kepada penyucian minda (ha) dan pernafasan (prana) atau tenaga yang penting (tha).

Dibandingkan dengan gaya posisi tubuh yang duduk atau berdiri, yoga Raja Patanjali, ia menandakan pembangunan gaya posisi tubuh sebagai gaya sepenuh badan yang kini menjadi popular.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, ketika mengkritik persoalan ini membabitkan umat Islam, berkata senaman yoga perlu diharamkan kerana bercanggah dengan akidah, syariat serta akhlak Islam dan wajib ditinggalkan individu yang sudah mengamalkannya.

Bahkan menurutnya, mereka yang terbabit dengan aktiviti itu perlu segera bertaubat kepada Allah kerana sudah melakukan perkara yang salah di sisi Islam.

“Bukan saja pengamal yoga, malah pengusaha pusat kecergasan yang beragama Islam juga perlu menghentikan perkhidmatan senaman ini kerana ia bercanggah dengan Islam dan boleh memesongkan akidah.

“Keputusan mengharamkan senaman ini juga tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia bertujuan menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam,” katanya.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ada mengeluarkan fatwa mengenai yoga, dengan mengklasifikasikannya sebagai perkara bidaah yang menyesatkan.

“Yoga adalah antara perkara bidaah yang digolongkan ke dalam bidaah dhalalah. la mengandungi unsur agama Hindu.

Segala perkara yang mengandungi unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan (iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram.”

28 Oktober 2008

PURDAH...ANTARA HUKUM DAN PERBANDINGANNYA

Ulama ada berpendapat wajib dan ada juga yang berpendapat harus. Kadangkala ketidakmampuan kita menguasai al quran dan as sunah terpaksa merujuk kepada tulisan ulama’. Maka ada yang berpendapat wajib dan juga harus. Penilaian kita selaku golongan muttabi’, iaitu golongan yang mengikut dalil, bukan individu tertentu seperti muqallid.

Ada dua pendapat: pertama " menyatakan bahawa purdah ini adalah satu rekaan yang dimasukkan ke dalam Islam. Bagi mereka purdah ini adalah bid’ah, iaitu setiap perkara yang tidak datang dari Allah dan Rasul SAW. Berlawanan dengan pendapat ini, ada yang mengatakan sesungguhnya purdah adalah dari Islam sendiri. Menutup muka adalah kewajipan agama yang tidak harus dianggap sambil lewa. Jangan kita musykil, saya akan terus perbahaskan benda furuk ini. Yang penting, metodologi kita bersumberkan Al Quran dan As Sunah. Mengimbangi antara nas yang cabang dan maqasid kulli, tujuan syarak yang menyeluruh. Kita harus berfikiran lapang dalam menerima dan melihat dalil setiap ulama’.

Ulama secara asas, berpendapat masalah ini merupakan masalah khilafiah, menimbulkan keraguan dan pertikaian yang tidak mempunyai nas yang tepat. Ulama’ berselisih dari zaman silam hingga ke hari ini.

Asal masalah adalah dari Firman Allah yang bermaksud ” Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya” Surah An Nur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, yang dikatakan dengan perkataan ‘ma zahara minha’ ialah pakaian dan tudung. Sebelum itu, jilbab menurut bahasa arab ada 3 pengertian:

1. baju yang menutup seluruh tubuh.
2. pakaian perempuan bahagian luar jika dipakai 2 lapis.
3. tudung yang dipakai oleh perempuan.
(lihat mu’jam asasi arab)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas menafsirkan ‘ma zahara minha’ dengan makna celak dan cincin. Ibnu Abbas juga mengatakan bahawa bahagian muka dan tapak tangan. Begitu juga dengan riwayat Aisyah dan Anas b Malik berpendapat begitu.

Mereka juga berselisih dengan pendapat apa yang dikehendaki ‘melabuhkan pakaian’ sebagaimana dalam surah ahzab ayat 59. Apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah berlawanan berkenaan dengan penafsiran ayat ‘ma zahara minha’ tadi. Beliau menafsirkan bahawa maksud melabuhkan pakaian adalah dengan praktikal, iaitu menutup muka dan kepala dan mendedahkan mata kiri!

Ikrimah menyanggah pendapat ini. Beliau menyatakan maksud adalah menutup bahagian lekuk dibahagian atas dada, tempat dimana rantai dipakai dengan tudungnya dan melabuhkan sehingga menutup bahagian lekuk tersebut.

Said b Jubair menyatakan tidak harus bagi wanita Islam dilihat oleh lelaki asing melainkan ia memakai tudung kepala yang disertai dengan kain penutup muka, purdah.

Antara ulama’ yang bersependapat muka dan tangan bukan aurat dan tidak wajib menutupnya adalah Dr, Yusuf Qhardawi, Syeikh Nasirudin Al Bani, kebanyakan ulama di Universiti Al Azhar dan ulama’ kebanyakan tempat.

Ulama Arab saudi dan sebahagian negara teluk tidak sependapat dengan pendapat di atas (wajib menutup muka) antaranya Syeikh Abd Aziz b Baaz. Juga ulama dari Pakistan yang terkenal, Ustaz Abu Al A’la Al Maududi serta Prof Dr, Muhamad Said Ramadhan Al Buuti. Juag terdapat risalah yang dan fatwa dikeluarkan dari masa ke semasa yang menentang dan menyebut keaiban mendedahkan muka. Mereka menyeru memakai purdah dengan nama iman dan agama.

Maka apabila seseorang perempuan mengambil pendapat ini, serta mewajibkan dikalangan mereka menutup muka, maka bagaimana kita mahukan wajib beramal dengan pendapat lain yang dianggap silap(tidak wajib menutup muka) sedangkan kita mengetahui perkara ini merupakan khilafiah. Mereka menghukum golongan yang tidak beramal dengan pendapat lain sebagai berdosa dan fasik sedangkan ia adalah perkara furuk! Menjadi kewajipan kita adalah bersikap berhati-hati dalam perkara agama dan apakah elok jika seseorang mempertikaikan pendapat lain sedangkan ia bukannya perkara usul. Lainlah jika seseorang tidak memakai tudung, itulah yang sepatutnya ditentang!

Tiada ulama mengatakan memakai purdah adalah haram, maka harus seseorang memakainya tanpa ada prasangka buruk ke atas individu tersebut. Menjadi hak seseorang untuk memakai purdah atau sebaliknya. Memakai purdah tidak melanggar kewajipan dan tidak memudaratkan orang lain. Adakah kita menyebut kesalahan mereka yang memakai purdah sedangkan terdapat sekeliling kita yang tidak menutup aurat? Sedangkan kita mengetahui bahawa menampakkan tubuh badan, tidak menutup selain muka dan tapak tangan adalah pengharaman secara ijmak menurut syariat.

Adakah purdah wajib?

Perselisihan ini memang tidak dinafikan wujud. Kadangkala bersikap syadid dalam perkara agama menjadi keruncingan perselisihan. Tetapi secara mudah, kenapa kita mempertikaikan orang yang memaki purdah, kita mengata sedangkan ia adalah khilafiah dan hak individu, maka mungkin kita mendapat dosa. Tetapi jika kita menegur orang tidak memakai tudung, ia adalah perkara disepakati dan usul, mungkin kita mendapat pahala dengan menegur.

Jumhur Mazhab dan ulama’ bersependapat aurat adalah keseluruhan badan kecuali muka dan tangan. Kedua perkara ini adalah bukan aurat. Ibnu Marzuk berpendapat bagi mereka yang cantik dan boleh menimbulkan syahwat, sunat menutup muka. Ini bersandarkan perselisihan sama ada wajib wanita menutup atau wajib lelaki menutup penglihatan, menghindarinya. Kesimpulan, jumhur mengatakan aurat wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.


Dalil : Surah An Nur ayat 30 dan 31.

: Hadis Rasul SAW yang bermaksud ” Tidak harus bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melainkan bahagian ini,sambil Rasul SAW memegang bahagian tengah lengan ( had aurat dalam hadis ini menunjukkan dari tengah lengan tangan hingga jari bukannya dari pergelangan tangan).

: Dalil yang menyuruh menutup belahan leher bukan menutup muka. Surah An Nur ayat 31.

: Dalil perintah supaya lelaki menyekat pandangan mata An Nur ayat 114.

dan beberapa hadis yang berkaitan dengan tidak wajib menutup muka.

Dalil mereka yang mengatakan purdah adalah wajib.

1. Surah Al Ahzab ayat 59 berkaitan ayat jilbab.
2. Tafsir Ibnu Mas’ud berkenaan firman Allah dalam surah An Nur 31. Yang menyatakan wajib.
3. Surah Al Ahzab ayat 53 berkaitan belakang tabir. Termasuk bagi mereka memakai purdah.
4. Hadis Aisyah yang mengatakan melabuhkan tudung hingga menutup muka.
5. Saddu Zaraii’ah. Menyekat jalan yang mengundang dosa.
6. Uruf sesuatu tempat. Wajib bagi mereka menutup aurat.


Secara akhirnya, jumhur ulama’ yang menyatakan menutup muka bukan wajib adalah diterima namun disana tidak memperkecilkan golongan yang mewajibkan memakai purdah. Namun ada beberapa perkara penting yang perlu diingat:

1. Mendedahkan muka tidak semestinya seseorang wanita memenuhinya dengan make up atau berbedak-bedak.
2. Pendapat tidak wajib tidak semestinya purdah tidak harus. Sesiapa yang ingin berpurdah, tidak menjadi kesalahan bahkan digalakkan apabila ia adalah cantik dan boleh menimbulkan fitnah.
3. Antara menutup dan harus melihat bukan seiringan. Pandangan pertama sahaja yang diharuskan sekali pintas. Tidak ada pandangan kedua dan seterusnya.

Kesimpulannya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Hukum mendedahkan dan menutup muka adalah perkara khilafiah. Perkara khilafiah tidak boleh diperbesarkan dengan golongan pertama menyalahkan yang kedua dan sebaliknya. Tidak salah seseorang wanita ingin mendedahkan mukanya dan dan begitu juga menutupnya. Tetapi menjadi kesalahan golongan yang berpurdah menyalahkan golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya dengan alasan ‘tidak boleh masuk dengan masyarakat’. Menjadi titik penting dan benda yang sangat perlu difahami oleh seluruh masyarakat agar tidak memperlekehkan sesebuah golongan yang lain.

Lebih menjadi kesalahan apabila golongan yang berpurdah memaksa golongan bertudung tidak berpurdah supaya berpurdah. Dan lebih menjadi kesalahan dan amat malang sekali, apabila sesetengah pihak memaksa golongan berpurdah supaya menanggalkan purdah dengan alasan memudahkan urusan, menyesuaikan dengan suasana dan lain lagi.

Memaksa dan meminggirkan golongan yang berpurdah oleh golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya adalah dua perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bahkan memaksa golongan yang berpurdah menanggalkan purdah terpengaruh dengan fahaman sekular! Kenapa tidak dipaksa golongan yang tidak menutup aurat, adakah mereka ada kebebasan individu? Golongan berpurdah dan menutup aurat tidak ada kebebasan? Dimana timbangan keadilan?

Secara rawak, mereka yang mengatakan aurat tidak wajib adalah menyimpang dari perbahasan usul sedangkan purdah sudah khilaf, inikan pula benda yang sudah menjadi nas syar’i di dalam AL Quran dan As Sunah hendak diperlekehkan dan dipermainkan. Adakah kita menyokong golongan ini?

15 Oktober 2008

Nama-nama Kaabah:

Dalam bahasa Arab, Kaabah bermakna sebuah tempat tinggi yang dihormati dan penuh kebesaran. Perkataan Kaabah boleh juga bermakna kiub.

Nama-nama lain adalah:
• Bait ul Ateeq - bermakna paling awal dan lama. Ia juga bermakna bebas dan merdeka. Kedua-dua makna boleh diterima.
• Bayt ul Haram - rumah dihormati.
Kaabah dibina semula 12 kali.

Para akademik dan sejarahwan berkata Kaabah dibina semula antara lima hingga 12 kali.

Pembinaan pertama Kaabah dilakukan oleh Nabi Adam (as). Allah SWT menyatakan dalam al-Quran Kaabah adalah rumah pertama dibina untuk manusia menyembah Allah SWT.
Selepas itu, Nabi Ibrahim (as) dan Ismail (as) membina semula Kaabah. Ukuran Kaabah diasaskan oleh Ibrahim adalah seperti berikut:
- Dinding Timur adalah 48 kaki dan 6 inci
- Dinding Hatim adalah 33 kaki
- Dinding antara hajar aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki
- Dinding Barat adalah 46.5 kaki

Selepas ini berlaku beberapa pembinaan semula sebelum masa Rasulullah (SAW). Nama-nama Kaabah:
Dalam bahasa Arab, Kaabah bermakna sebuah tempat tinggi yang dihormati dan penuh kebesaran. Perkataan Kaabah boleh juga bermakna kiub.

Nama-nama lain adalah:
• Bait ul Ateeq - bermakna paling awal dan lama. Ia juga bermakna bebas dan merdeka. Kedua-dua makna boleh diterima.
• Bayt ul Haram - rumah dihormati.
Kaabah dibina semula 12 kali.

Para akademik dan sejarahwan berkata Kaabah dibina semula antara lima hingga 12 kali.

Pembinaan pertama Kaabah dilakukan oleh Nabi Adam (as). Allah SWT menyatakan dalam al-Quran Kaabah adalah rumah pertama dibina untuk manusia menyembah Allah SWT.
Selepas itu, Nabi Ibrahim (as) dan Ismail (as) membina semula Kaabah. Ukuran Kaabah diasaskan oleh Ibrahim adalah seperti berikut:
- Dinding Timur adalah 48 kaki dan 6 inci
- Dinding Hatim adalah 33 kaki
- Dinding antara hajar aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki
- Dinding Barat adalah 46.5 kaki

Selepas ini berlaku beberapa pembinaan semula sebelum masa Rasulullah (SAW).

Pembinaan semula Kaabah oleh kaum Quraish

Rasulullah mengambil bahagian dalam salah satu daripada pembinaan semula ini sebelum baginda menjadi Rasul. Selepas satu banjir kilat, Kaabah mengalami kerosakan dan dindingnya retak. Ia perlu dibina semula. Tugas ini dibahagikan antara empat puak Quraish. Rasulullah turut membantu dalam usaha pembinaan semula ini. Setelah dinding-dindingnya dibina semula, tiba masanya batu hajar aswad diletak semula di tempatnya di dinding Timur Kaabah.

Pertelingkahan berlaku apabila tiba masa untuk menentukan siapa mendapat penghormatan meletakkan batu hajar aswad itu. Apabila pertelingkahan hampir bertukar menjadi pergaduhan, Abu Umayyah, penduduk tertua Makkah, mencadangkan agar lelaki pertama yang memasuki pagar masjid pagi keesokkannya akan menentukan perkara berkenaan. Lelaki itu ialah Rasulullah. Penduduk Makkah bergembira. "Ia adalah al-Amin. Ia adalah Muhammad," jerit mereka. Baginda menghampiri mereka lalu mereka memintanya supaya memutuskan perkara itu. Baginda bersetuju.

Rasulullah mencadangkan agar batu hitam itu diletak di atas sehelai kain, setiap bucu kain dipegang oleh seorang pemimpin puak. Kain itu diangkat ke tempat batu itu hendak diletak. Rasulullah kemudian mengambil batu itu dan meletakkannya di tempatnya di dinding Kaabah.

13 Oktober 2008

Insan..Ingatlah

Rasulullah s.a.w. mengakui bahawa umat manusia mempunyai banyak kelemahan, antara kelemahan yang paling ketara ialah tidak sepi dari sifat lalai dan lupa. Justeru insan amat memerlukan bimbingan dan peringatan, kerananyalah Allah Taala telah memutuskan para rasul a.s. bagi menerima wahyu, kerana wahyu itulah yang diperlukan oleh manusia sebagai petunjuk dan peringatan bagi membantu mengatasi kelemahan sifat manusia seperti yang disebut di atas.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Adz-Dzariat ayat 55)

Lantaran para rasul itu sebagai peneriman wahyu yang mengandungi petunjuk dan peringatan, maka manusia perlu mendampinginya dan beriman dengannya, kerana petunjuk dan juga peringatan dari wahyu Allah itu hanya akan berguna kepada mereka yang beriman sahaja, sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat 55 surah adz-Dzariyat itu tadi.

Petunjuk dan peringatan wahyu Allah SWT itu laksana air yang akan menyuburkan tanaman, air akan mendatangkan faedah hanya kepada tanah yang subur, jika air disiram ke atas batu pejal pasti tidak akan mendatangkan sebarang kesan. Demikian juga petunjuk dan peringatan Allah SWT, ia hanya akan berguna apabila segala nasihat dan peringatan itu jatuh ke lembah hati yang lembut. Hati yang keras sama dengan batu pejal yang tidak mungkin diresapi air, oleh itu hati yang keras tidak mungkin dapat manfaat dari petunjuk dan peringatan wahyu itu.

Batu pejal terlalu keras tetapi hati yang keras ada kalanya lebih keras dari batu yang pejal, batu yang keras lama-kelamaan akan lekuk jika dititis air terus menerus, tetapi hati yang keras kadangkala tidak mendapat manfaat dari kehadiran para rasul a.s., sekalipun rasul itu didatangkan dari kaum keluarganya sendiri sebagaimana Fir'aun tidak mendapat faedah dari kenabian Musa a.s. walaupun Nabi Allah itu dibesarkan di dalam istana Fir'aun itu sendiri. Begitu juga Abu Jahal walaupun Nabi Muhammad dari kaum kerabatnya sendiri namun hati Abu Jahal tetap berkeras dan menolak wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Hati memainkan peranan penting dalam menentukan keperibadian seseorang, sama ada ia akan menjadi insan yang baik dan berguna atau sebaliknya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam diri seseorang itu ada seketul daging, jika baik ia maka baiklah seluruh anggota, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa ia adalah hati."

Hati manusia telah dicipta oleh Allah Taala mempunyai keupayaan untuk memiliki sifat-sifat yang baik iaitu sifat 'mahmudah', seperti lemah-lembut, sabar, insaf, simpati, pemurah, penyayang, belas kasihan dan seumpamanya. Bagaimanapun ia perlu diasuh dengan bersungguh-sungguh untuk menyubur dan merawat sifat-sifat mahmudah itu, kerana hati manusia itu sering menjadi sasaran makhluk jahat iaitu iblis. Jika dibiarkan makhluk jahat itu menguasai hati, pasti akan rosak binasa, jika hati sudah rosak maka rosaklah seluruh anggota sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. itu.

Hati boleh dipimpin dan disedarkan hanya dengan ilmu yang berteraskan wahyu, kerana hanya ilmu tersebut sahaja yang bersumberkan tauhid iman dan aqidah. Tanpa wahyu Allah Taala pasti manusia tidak akan mengetahui hal-hal yang abstrak iaitu perkara-perkara ghaib, seperti rahsia di sebalik kematian, alam barzakh dan juga hari qiamat.

Setiap muslim yang sentiasa mendalami wahyu Allah Taala pasti mempunyai keyakinan bahawa setiap insan pasti menghadapi saat kematiannya, mereka tidak ragu bahawa setiap insan akan dihidup dan dibangkitkan semula, mereka akan menghadapi suatu rangkaian hidup yang abadi. Bermula dengan datangnya ajal dan diikuti babak peristiwa alam barzakh, iaitu suatu kehidupan di alam kubur yang penuh dengan berbagai pancaroba, hingga menemui hari kebangkitan di Mahsyar dan alam akhirat, bagi menentukan kesudahan hidup seseorang sama ada akan menjadi ahli syurga atau neraka.

Peristiwa di alam barzakh bagi orang-orang yang beriman dan berbekalkan amal yang soleh dan ketaqwaan yang unggul, akan merasai suatu kerehatan yang damai, sementara menunggu datangnya hari kebangkitan. Tetapi bagi manusia yang ingkar yang sarat dengan beban dosa, maka alam barzakh itu merupakan episod ngeri yang dipenuhi azab sengsara, menjelang suatu kesengsaraan dan azab yang lebih besar akan dirasai ketika di mahsyar kelak.

Oleh kerana iktiqad orang yang beriman meyakini adanya kehidupan selepas mati itu, maka tidak dapat tidak manusia mesti mengetahui hal-hal yang berkait dengannya. Rasulullah telah memberitahu melalui mutiara sabdanya mengenai alam barzakh dan alam akhirat, yang semua itu mesti difahami dan diambil pengertian secara bersungguh-sungguh. Apabila tiba saatnya melalui alam tersebut, maka tidaklah terlalu terkejut dan terpinga-pinga seperti seorang yang terjebak dalam mimpi ngeri.

Terutama di akhir zaman ini semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam barzakh dan seterusnya hari mahsyar. Kerana manusia sedang membangun dunianya, kebanyakan mereka dilalaikan oleh kesenangan, keindahan dan kelazatan dunia yang sementara. Sesungguhnya mereka yang memburu kesenangan duniawi ini bagaikan memburu bayang yang bergerak, sehingga kehabisan umur dan kematian pun tiba. Akhirnya mereka terkejut besar apabila Malaikat maut datang dengan mengejut untuk mencabut nyawanya, kerana tiada sebarang persiapan atau bekalan untuk menghadapi suatu perjalanan yang jauh.

Saiyidian Ali r.a. pernah berkata: "Bahawa manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya." Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam lalai atau bagaikan orang yang tertidur lena, dia akan terkejut ketika kematian tiba secara mendadak.

Berbeza dengan orang yang hatinya sentiasa mengingati mati atau tazkiratul maut, maka kematian itu bagi mereka ibarat sebuah jambatan untuk menuju kepada suatu pertemuan dengan Allah SWT yang sering disebut dan mengingatinya. Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim Khalilullah yang didatangi oleh malaikat maut.

"Apakah ana hendak mengambil nyawaku?" tanya Nabi Ibrahim kepada Izrael.

"Benar", jawab malaikat maut.

"Tidakkah anda tahu bahawa aku adalah Khalilullah (kekasih Allah), yang selalu didampingi dan mendampingi-Nya? Adakah menasabah seorang kekasih hendak mengambil nyawa kekasihnya?"

Dengan kata-kata Nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula mengadap Allah SWT, lalu Allah perintah Izrael supaya menemui Nabi Ibrahim dengan membawa pesanan dari Allah. Malaikat maut pun berkata kepada Nabi Ibrahim: "Justeru dengan kematian itu, bererti Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput kekasih-Nya agar datang menemui-Nya." Dengan penjelasan malaikat maut itu maka Nabi Ibrahim a.s. amat gembira menghadapi kematian itu.

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup," bertanya Abu Hurairah: "Apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?" Jawab Rasulullah: "Zikrul maut" iaitu mengingati akan mati.

Kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar terhadap sifat lalai manusia, lalai dalam solat juga berpunca dari kelazatan dunia, dan manusia yang sedang diuliti oleh kesenangan dan kelazatan dunia pasti tidak ingin didatangi maut, kerana baginya maut adalah noktah kepada kesenangan yang sedang dikecapi di dunia ini.

Kematian menyebabkan dia rugi besar, segala kekayaan dan pangkat kebesaran akan berakhir secara mendadak, isteri atau suami disayangi terpaksa ditinggalkan, kemewahan yang melazatkan hidup akan berpindah milik kepada para waris, orng akan bersenang lenang mendapat harta pusaka tetapi dia kesepian di dalam kubur. Lantaran itu dia tidak ingin mati malah sesetengahnya ada yang benci akan kematian.

Sesungguhnya mencintai kelazatan dunia itu boleh menyebabkan manusia tidak ingat akan kematian, padahal kematian itu pasti datang sama ada dia ingat atau lupa kepadanya, sama ada dia benci atau suka kepada mati. Justeru kematian adalah suatu permulaan kepada kehidupan yang sebenar, iaitu hidup yang tidak akan disudahi dengan kematian.

Oleh kerana kehidupan selepas mati ibarat suatu perjalanan yang jauh yang memakan masa lama. Menyedari hakikat itu pasti insan memerlukan suatu persiapan yang mencukupi dan sempurna, orang yang lalai tidak pernah memikirkan persiapan menghadapi mati. Bayangkan jika secara tiba-tiba seseorang itu terlantar di padang pasir yang tandus, bila dahaga telah mencekik kerongkongnya lantas diapun terbayang mustahaknya air, tetapi baru dia sedar bahawa sedikitpun dia tidak mempunyai bekalan air itu.

Orang sering bercakap tentang rakan atau sahabat mereka yang telah kembali menyahut seruan Ilahi, si pulan telah mati dan si anu telah mati, tetapi sayangnya jarang sekali dia memikirkan bilakah kematian itu akan sampai kepada giliran dirinya. Sebelum mati itu datang, apakah persiapan yang telah dibuat?

Justeru, mati itu adalah suatu peringatan yang berguna kepada manusia.

09 Oktober 2008

Hakikat Iman

Dalam menjelaskan definisi akidah ada disebut perkataan kepercayaan atau keimanan. Ini disebabkan Iman merupakan unsur utama kepada akidah. Iman ialah perkataan Arab yang bererti percaya yang merangkumi ikrar (pengakuan) dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mempraktikkan dengan perbuatan. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud :"Iman itu ialah mengaku dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan beramal dengan anggota".

(al-Hadis)

Walaupun iman itu merupakan peranan hati yang tidak diketahui oleh orang lain selain dari dirinya sendiri dan Allah swt namun dapat diketahui oleh orang melalui bukti-bukti amalan. Iman tidak pernah berkompromi atau bersekongkol dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya iman yang mantap di dada merupakan pendorong ke arah kerja-kerja yang sesuai dan secucuk dengan kehendak dan tuntutan iman itu sendiri.

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah swt dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu?.

(al-Hujurat : 15)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah swt maka terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah swt, bertambahlah iman mereka dan kepada tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan solat, membelanjakan daripada apa yang kami beri rezki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya".

(al-Anfal : 2-4)

Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam juga dikenali sebagai rukun-rukun Iman iaitu sebanyak enam perkara :

Pertama : Beriman kepada Allah swt.

Kedua : Beriman kepada Malaikat.

Ketiga : Beriman kepada kitab-kitab.

Keempat : Beriman kepada Rasul-Rasul.

Kelima : Beriman kepada Hari Kiamat.

Keenam : Beriman kepada Qada? dan Qadar.

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud :

"Iman itu bahawa kamu mempercayai kepada Allah swt, malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari kumudian dan kamu beriman kepada takdir baik dan buruknya".

(Riwayat Muslim)

Hubungan Iman dan Islam

Iman dengan makna tasdiq juga dinamakan akidah di mana rahsianya tidak diketahui sesiapa melainkan orang berkenaan dan Allah swt. Namun demikian manusia mempunyai sifat-sifat lahiriah yang dapat dilihat melalui tingkah laku manusia sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Inilah yang menjadi ukuran keimanan seseorang. Adapun segala yang tersirat di dalam hatinya terserah kepada Allah swt.

Iman yang melahirkan penyerahan diri kepada Allah itu juga disebut sebagai Islam. Ini bermaksud seseorang yang beriman hendaklah menyerah diri kepada Allah swt dengan menerima segala hukum dan syariat yang diturunkan Ilahi. Penyerahan dan penerimaan ini berlaku dengan dua perkara iaitu (i) dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan Iman (akidah) dan (ii) melalui sifat-sifat lahiriah iaitu melalui perkataan dan perbuatan (amalan) dinamakan Islam.

Nabi Muhammad saw telah juga menunjukkan penggunaan kalimah Iman dalam pengertian amal sebagaimana sabdanya yang bermaksud :
"Iman terbahagi lebih enam puluh bahagian, yang paling tinggi ialah mengucap kalimah ?Lailahaillallah? dan yang paling rendah ialah membunag benda-benda yang boleh menyakitkan orang di jalan".

(Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian jelas di sini Iman dan Islam mempunyai hubungan yang rapat dan tidak mungkin dipisahkan. Islam umpama pohon sementara Iman umpama akar sesepohon kayu. Kesuburan dan kekuatan akar pokok tersebut dapat dilihat dengan kesuburan pokok pada daun, ranting dan dahannya.

Dalam menjelaskan tentang hubungan Iman dan Islam ini kita petik sebuah hadis sabda Nabi saw kepada rombongan Abdul Qias yang bermaksud:

Aku menyuruh kamu beriman kepada Allah swt yang Maha Esa. Apakah kamu mengerti apa dia yang dikatakan beriman kepada Allah swt yang Maha Esa ?. Iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah swt yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan satu perlima daripada harta rampasan perang?.

(Muttafaqun ?alaih)



Hadis di atas menjelaskan betapa adanya hubungan yang erat di antara iman dan Islam di mana Islam itu menjadi salah satu daripada perinsip Iman dan Iman pula dilahirkan melalui Islam secara amali, dengan iqrar syahadah dan melaksanakan hukum syariat dalam segala amalan.

Sekiranya berlaku iqrar syahadah dan menunaikan fardhu sedangkan hatinya tidak yakin atau tidak percaya serta ragu-ragu terhadap hukum hakam Allah swt maka seseorang itu dihukum tidak beriman walaupun masih dinamakan Islam sebagaimana yang berlaku kepada sesetengah orang-orang Badwi di zaman Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud :
"Orang Arab berkata : Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) : Kamu belum beriman (janganlah berkata demikian, tetapi sementara Iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja : Kami telah Islam?.

(al-Hujurat : 14)



Kesimpulannya Iman itu melambangkan sesuatu yang batin sementara Islam melambangkan sesuatu yang zahir. Oleh itu iman dan Islam tidak boleh dipisahkan. Islam umpama pokok sementara Iman umpama akar. Ibadat solat merupakan batang kepada pokok itu sementara beriman kepada Allah swt merupakan akar tunjangnya di mana ia menjadi teras keimanan seseorang. Pemisahan Iman dan Islam samalah kita memisahkan pokok dari akarnya.