29 Julai 2008

Jiwa seseorang itu akan tenang sekiranya kusyuk dalam solat


Dalam al-Quran ada lebih 25 tempat ayat yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat manakala perkataan solat itu sendiri lebih 70 kali disebut, menunjukkan betapa pentingnya ibadat berkenaan.“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa': 103)
Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana boleh dikatakan semua tahu bersolat, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.Tinggal lagi, kadang-kadang solat yang dilakukan tidak khusyuk, malah terlewat waktu dan tertinggal disebabkan alpa dengan urusan masing-masing dan kurang prihatin terhadap tuntutan agama.Mungkin disebabkan jahil mengenai hikmah dan keistimewaan solat membuatkan sesetengah pihak memandang ringan tuntutan pelaksanaan ibadat itu, kurang tertarik terhadapnya.Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad, berkata solat sangat dituntut dalam Islam, kerana menjadi tiang agama dan ia membezakan di antara Muslim dan kafir. Malah, ibadat itu amalan pertama disoal di alam kubur dan sekiranya individu itu dapat menjawab dengan baik persoalan solat, dipermudahkan lagi persoalan lain.Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)Syeikh Ismail menegaskan, banyak keistimewaan mereka yang memelihara solat, umpamanya terasa seperti berada dekat dengan Allah dan disayangi-Nya, malah dipermudahkan segala dihajati walaupun tidak dikabulkan segera.“Orang yang mengerjakan solat bukan saja diberikan ganjaran baik, malah mendapat keberkatan dalam kehidupan, berasa lapang dan jika ada isteri, tidak memberikan masalah, malah anak-anak berkelakuan baik.“Tetapi bagi yang tidak solat hati tidak tenteram, diri berasa seperti berhutang, kerana tidak melaksanakan tuntutan Allah,” katanya.Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”Katanya, Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ia sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati. Solat sebenarnya ibadat paling agung yang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah, sebagaimana dijelaskan dalam surah Thaaha, ayat 14, bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”Ibadat itu juga dapat menghapuskan dosa, sebagaimana difahami dalam satu hadis bermaksud: “Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim) Syaikh Ismail berkata, solat dilakukan dengan khusyuk juga mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran. “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45) Katanya, untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.“Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat,” katanya.Beliau menjelaskan, sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.“Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah,” katanya. Katanya, solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.“Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya,” katanya.Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
SOLAT MEMBEZAKAN ORG KAFIR
Saidina Umar, sesiapa memelihara solat dan tetap mengerjakannya bererti dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia-siakannya ia mensia-siakan kewajipan agama yang lain.Solat adalah tiang agama dan semulia-mulia rukun Islam yang lima selepas dua kalimah syahadah. Tanpa solat runtuh agama seseorang itu.
Jika diibaratkan dengan jasad manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak berkepala tidak akan hidup, demikian juga tidak akan hidup agama bagi orang yang tidak mengerjakan solat.Dalam kitab at-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata’illah berkata: Solat amatlah besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat. Kerana itu Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” Rasulullah s.a.w ketika ditanya mengenai amalan paling mulia, katanya: “(Semulia-mulia amal) ialah solat yang dikerjakan pada waktunya.”Baginda juga bersabda maksudnya: “Orang yang mengerjakan solat adalah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya.”Perintah terhadap solat dan gesaan supaya memeliharanya banyak dijelaskan dalam al-Quran. Sudah pasti dengan perintah itu, tiada sesiapa dapat menyangkal kewajipan mengerjakannya, walau dalam keadaan apa sekalipun.Antaranya terkandung dalam surah al-Baqarah, maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu, khasnya solat Wusta (solat Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” (al-Baqarah:238)Solat lima waktu mesti dikerjakan setiap Muslim yang cukup syaratnya, baik lelaki mahupun perempuan, tua dan muda. Tidak mampu berdiri kerana uzur, dikerjakan dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu lagi, dalam keadaan baring, malah jika masih tidak mampu dengan isyarat.Penegasan ini menunjukkan solat adalah perkara yang besar, tidak boleh diringankan, jauh sekali meninggalkannya. Malah, solat juga adalah syiar yang membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Syiar Islam dengan sendirinya terpancar apabila umat Islam mengerjakan solat, lebih-lebih lagi dengan solat berjemaah di masjid.Kita harus berwaspada dengan sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengerjakan solat. Oleh itu sesiapa yang tidak solat, sesungguhnya termasuklah dia dalam hukum orang kafir.”Al-Quran turut memberikan amaran terhadap mereka yang meninggalkan solat, seperti dalam surah Maryam, maksudnya: “Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab di dalam neraka. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.” (Maryam: 59-60)Ibn Abbas berkata, seperti yang disebutkan as-Syams az-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: “Mencuaikan solat yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka meninggalkan solat sama sekali, tetapi maksudnya, mereka mentakhirkan (melengahkan) solat sehingga keluar waktunya.”Perkara itu dijelaskan Said bin Musayib, dengan menyatakan: “Orang itu tidak solat Zuhur melainkan selepas masuk waktu Asar (dan seterusnya mengenai waktu lain).Justeru, sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan dia tidak bertaubat, balasan ditetapkan baginya azab seksa di neraka.“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, mereka itulah orang yang rugi.” (al-Munafiqun:9)Menurut sesetengah ahli tafsir, mengingati Allah (zikir kepada Allah) di sini ialah solat lima waktu. Sesiapa yang cuai kerana harta benda, anak pinak dan segala urusan hidupnya, jadilah dia orang yang rugi.Menjadi tanggungjawab bagi Muslim juga mengambil berat terhadap ahli keluarganya, mengajar dan menyuruh mereka mengerjakan solat, malah menasihati mereka supaya sentiasa memelihara solat fardu yang lima.“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun sabar menunaikannya....” (Taha:132)Nabi sendiri sentiasa mengambil berat dan mengawasi keluarganya khusus berkaitan solat. Baginda dan keluarga apabila menghadapi kesukaran, lazimnya mengerjakan solat sebanyak-banyaknya.Cara seperti ini juga sebenarnya menjadi amalan nabi sebelum Baginda dan ia sewajarnya menjadi sunnah ikutan kita kerana banyak kelebihannya, malah menjadi sebab yang membawa rahmat, murah rezeki dan menolak bala bencana.
: Perkecil solat, iman binasa


GERABAK kehidupan kita akan terbabas tanpa rel. Syariat agama dalam kehidupan ibarat rel kepada kereta api dan tanpanya kereta api tidak akan sampai ke destinasi. Tuhan mengurniakan kepada umat manusia landasan atau rel hidup yang kukuh iaitu al-Quran dan sunnah. Ia dua pusaka penting yang ditinggalkan nabi kepada umat Islam. Al-Quran dan hadis melahirkan peraturan hidup yang dinamakan syariat.
Nabi s.a.w bersabda maksudnya: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh padanya kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitab Allah dan sunnahku."Untuk berada di rel atau landasan hidup yang betul, kita perlu kepada ilmu dan menjadi individu celik syariat, tahu apa suruhan dan larangan Allah, kenal apa itu ibadat, prihatin apa yang terbaik dan utama bagi seorang Muslim dalam kehidupan.Dalam surah Thoha ayat 123 Allah berfirman, maksudnya: "Jika datang kepadamu petunjuk dari-Ku (Allah), sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta."Untuk berjaya dan cemerlang, umat Islam perlu beribadat, malah dalam perancangan hidup, ibadat yang perlu diberikan keutamaan.Ibadat adalah latihan merangkumi minda, hati dan jasad manusia. Disiplin yang ada dalam ibadat menjadikan seseorang itu cemerlang dalam hidupnya. Antara ibadat penting dalam kehidupan seharian umat Islam ialah solat. Untuk berjaya dalam hidup, solat tidak boleh diabaikan sama sekali.Ibadat solat adalah ibarat "tiang" dalam Islam. Sehingga di dalam peperangan pun tidak boleh tinggal solat. Selagi hayat dikandung badan selagi itu mesti solat. Mengerjakan solat dengan berdiri dan jika tidak mampu berdiri, boleh duduk dan jika tidak mampu duduk, boleh dengan cara baring. Jika tidak mampu lagi, terlentang dan tidak mampu lagi, boleh mengiring. Sekiranya masih tiada daya juga dengan isyarat mata dan masih tidak boleh juga, lakukan dengan isyarat hati. Jika tidak dapat juga, sudahlah! Mari kita yang mengerjakan solat pada dia. Matilah tu dan solat itu namanya solat jenazahlah.Hari ini ramai remaja dan segelintir golongan dewasa memperkecilkan solat. Tidak hairanlah timbulnya pelbagai masalah sosial. Gejala dadah, arak, persundalan, penderhakaan kepada ibu bapa, ponteng sekolah, kes bunuh yang menjadi-jadi, ragut, pecah rumah dan kereta, "free sex" dan seribu satu macam masalah sosial. Semua itu berpunca daripada tidak solat. Jika solat pun tidak tahu sah atau batal. Tidak masuk lagi soal khusyuk. Mengenai bacaan dan tajwid semuanya itu memberi erti solat yang tidak sempurna. Apabila solat tidak sempurna, tidak sempurnalah akhlak dan perangai.Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 59, maksudnya: "Maka datanglah selepas mereka yang mensia-siakan solat serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menjadi sesat." Abdullah bin Abbas menyatakan maksud mencuaikan solat bukannya meninggalkan solat tetapi juga melewatkan daripada waktunya.Solat bukan saja menghapuskan dosa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Solat menghapuskan dosa antara satu solat dengan satu solat yang lain kecuali dosa besar.”Imam Abu Aaliayah berkata: "Solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini maka solat itu tidak sempurna dan tidak boleh mencegah dosa. Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas membuatkan seseorang melakukan perkara baik, khusyuk akan mencegah perbuatan jahat, manakala zikrullah (ingat Allah) pula mencegah mungkar (kejahatan) dan menanam makruf (kebaikan).Sesetengah ulama dulu apabila tiba saat hendak menghembuskan nafas terakhir, masih sempat meminta pertolongan orang mengambilkan wuduk untuknya supaya dapat mengerjakan solat. Malah, ada yang minta diusungkan ke masjid kerana hendak mati di tempat solat.Justeru itu, janganlah kita mengabaikan solat dan jadikanlah ia rutin hidup kita. Setiap kali solat, anggaplah mungkin itu adalah solat yang terakhir.
Ibadat fardu usah tunggu usia tua

DI sebalik keajaiban peristiwa Israk Mikraj, tersingkap seribu satu pengertian yang sewajarnya direnung dan diambil pengajaran supaya dapat memperteguhkan lagi keimanan, memupuk ketakwaan dan memotivasikan diri beribadat.Penceramah bebas, Ustaz Daud Che Ngah, berkata peristiwa itu sendiri antara lain memperlihatkan kepada umat Islam mengenai penghijrahan roh.
“Roh pertamanya berada di dalam simpanan Allah, kemudian di dalam rahim ibu dan apabila cukup tempohnya di dalam satu jasad dan lahirlah ke dunia.“Ini menunjukkan badan (jasad) mesti mengikut roh. Jadi, apabila mengucap kalimah syahadah iaitu mengaku diri orang Islam kenalah ikut seperti diakui, melakukan amalan yang difardukannya,” katanya dalam satu siri ceramah di surau The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.Firman Allah dalam surah az-Dzariyaat, ayat 56, bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.” Menurut Daud, ayat itu sangat jelas merujuk kepada tanggungjawab utama manusia iaitu beribadat kepada Allah. “Selepas mengaku Muslim, solat kemudian berpuasa, malam juga digalakkan banyak mengerjakan solat, disuruh bayar zakat, haji dan umrah,” katanya sambil menegaskan kepentingan ibadat solat.“Solat diperintahkan Allah kepada Rasulullah s.a.w melalui Israk Mikraj untuk dilakukan seisi umat Islam, daripada 50 waktu tinggal saja lima waktu, tetapi ganjarannya tetap berganda.“Ibadat solat adalah paling penting bagi Muslim dan janganlah kita meninggalkannya dengan sewenang-wenangnya, kerana bukan mudah untuk menggantikannya, malah amat rugi usia berlalu sia-sia saja.“Apabila sampai umur iaitu baligh, laksanakanlah amal ibadat seperti difardukan, jangan tunggu usia tua atau bagi sesetengah orang sehingga umur 40 tahun baru mahu berubah menjadi rajin,” katanya.Menurutnya, beribadat kepada Allah perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati yang ikhlas, bukannya secara sambil lewa serta bermusim saja kerana semuanya akan dihitung.“Janganlah apabila sudah terlambat baru mahu menyesal dan sedar, ingin melakukan amal ibadat,” katanya.“Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman.” (as-Sajdah: 12)

Tiada ulasan: