29 Julai 2008

Sifat-sifat wanita solehah


Wanita solehah adalah baik akhlaknya serta menjalani segala yang diperintah Allah SWT. Sifat-sifat wanita solehah adalah seperti :


1. TIDAK BANYAK MEMANDANG KEPADA LELAKI"Imam Ghazali mengatakan bahawa wanita yang paling cantik adalah yang baik akhlaknya, cantik wajahnya (fizikalnya), mencintai suaminya, tidak banyak memandang kepada lelaki lain"

2. MURAH MAHARNYA" Emas kahwin wanita yang menepati ciri-ciri solehah adalah ringan dan murah. Sabda Nabi SAW,:"Wanita yang terbaik ialah tercantik mukanya dan yang termurah maharnya."(H.R. Ibnu Hibban)

3. MELAHIRKAN ANAK" Mengahwini wanita yang ramai melahirkan anak digalakkan sebagaimana sabda Nabi SAW,: 'Hendaklah kamu mengahwini wanita yang banyak melahirkan anak dan yang mencintai suaminya' (H.R.Abu Daud dan An-Nasa'i). Kalau wanita itu keadannya belum diketahui, maka hendaklah diperhatikan dari segi kesihatan dan kemudaannya. Kerana bila dua sifat itu ada, biasanya wanita itu boleh melahirkan ramai anak"

4. MENGAHWINI GADIS ATAU PERAWAN" Nabi menggalakkan umatnya agar terlebih dahulu mengahwini gadis atau perawan. Nabi pernah bersabda kepada Jabir, di mana Jabir mengahwini seorang janda: "Mengapa engkau tidak mengahwini seorang gadis, supaya engkau bersenda gurau dengan dia dan dia bersenda gurau dengan engkau."

5. WANITA YANG BERADAB DAN BERBUDAYA"Wanita itu hendaklah yang berbudaya ataupun berpegang kuat kepada tradisi adat yang benar kerana ia akan mendidik anak-anaknya dengan cara yang benar. Kalau ia sendiri tidak beradab dan berbudaya, nescaya tidak akan pandai mendidik anak-anaknya."

6. JAUHI KAHWIN DENGAN KERABAT YANG TERDEKAT"Rasulullah SAW menganjurkan agar tidak mengahwini keluarga yang terdekat kerana yang demikian itu mengurangkan nafsu syahwat. Nabi SAW bersabda : "Janganlah engkau kahwini kerabat yang dekat, kerana anakmu nanti akan menjadi kurus." Syahwat itu akan bangkit dengan memandang dan menyentuh. Sedangkan kekuatan syahwat itu apabila ia memandang sesuatu yang berlainan dari yang biasa nampak. Adapun dari kerabat dekat, yang ia biasanya nampak, adalah melemahkan perasaan dan syahwat."

KEWAJIPAN MENUTUP AURAT BAGI WANITA


Firman Allah s.w.t didalam surah An-Nur ayat 30 dan 31 Surah al-Nur yang bermaksud:”Katakanlah(wahai Muhammad)kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka(daripada memandang yang haram)dan memelihara kehormatan(kemaluan)mereka.Yang demikian itu lebih suci bagi mereka,sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)dan memelihara kehormatan(kemaluan)mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka,dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…”
Kehendak ayat ini adalah jelas, kecuali maksud "perhiasan tubuh yang zahir" itu. Allah tidak menerangkan maksudnya, begitu juga tiada hadis qawli (ucapan Nabi) yang sahih tentangnya. Tetapi hadis iqrari (perakuan Nabi) yang sahih amatlah banyak sekali, iaitu perakuan Nabi terhadap para Sahabiat (sahabat wanita) yang semuanya bertudung setelah turun ayat hijab itu. Pertamanya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah r.a.: "Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya."Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah bint Shaybah katanya:
"Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: "Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka."Dalam mentafsirkan ayat al-Qur’an yang bermaksud “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka”. Prof. Dr. Hamka, dalam buku Tafsir Al-Azhar jld. 7 menjelaskan bahawa : ‘Peringatan kepada perempuan, selain menjaga penglihatan mata dan memelihara kemaluan, ditambah lagi iaitu janganlah dipertontonkan perhiasan mereka kecuali yang nyata sahaja. Cincin di jari, muka dan tangan, itulah perhiasan yang nyata. Ertinya yang sederhana dan tidak menyolok dan menganjurkan. Kemudian diterangkan pula bahawa hendaklah selendang (kudung) yang telah memang tersedia ada di kepala itu ditutupkan ke dada’.Berdasarkan tafsiran ini, makna jilbab yang paling tepat dalam konteks hari ini ialah cadur, seperti yang dipakai oleh wanita Iran itu. Bagaimanapun jilbab yang difahami dan dipakai oleh wanita Islam Melayu sekarang pun telah mencapai maksud ayat tadi, iaitu supaya mereka dikenal sebagai wanita solehah dan tidak berani diganggu oleh lelaki fasiq pada kebiasaannya. Jilbab itu hendaklah labuh sedikit sehingga menutup bentuk dada mereka dan lebih baik lagi sehingga menutup paras punggung mereka. Ini kerana antara tempat yang paling menarik perhatian dan menjadi bualan lelaki-lelaki fasiq ialah dua tempat sensitif itu. Perkara inilah yang wajib difahami oleh wanita-wanita yang mulia, terhormat dan mempunyai harga diri. Adapun wanita yang tidak bercita-cita sedemikian, maka mereka mencipta pelbagai alasan untuk mengharuskan pendedahan aurat atau perhiasan sulit (bukan zahir) mereka. Namun para pendakwah perlulah berhikmah dan beransur-ansur dalam pendekatan mereka. Berilah galakan kepada mereka dan puji-pujilah mereka bahawa mereka kelihatan lebih cantik dan menawan bila mereka menutup aurat. Mudah-mudahan pujian tersebut dapat melembutkan hati mereka untuk bertudung dan menutup aurat dengan sempurna. Namun, pendekatan beransur-ansur itu bukan bermakna mengatakan mendedah rambut tidak berdosa langsung. Ini adalah pernyataan yang salah dan menyeleweng daripada tuntutan syariat Allah dan RasuNya.
Cara menutup aurat seperti yang diterangkan tadi adalah wajib bagi setiap wanita Islam bermula sejak mereka baligh sehingga mencapai usia yang tiada keinginan untuk berkahwin/bersuami lagi (menopaus). Bila mereka telah mencapai usia menopaus dan tiada keinginan lagi, maka ketika itu ada kelonggaran untuk mereka tidak menutup rambut dengan syarat tidak bersolek. Jika mereka masih bersolek dan berpakaian seksi, maka dakwaan bahawa mereka tiada keinginan adalah tidak diterima, kerana lazimnya tujuan solek dan pakaian seksi itu adalah untuk menarik perhatian dan mencari pasangan. Walau bagaimanapun, kekal beriltizam dengan cara menutup aurat yang sempurna itu adalah lebih baik bagi mereka, walaupun sesudah tiada keinginan. Hukum ini berdasarkan ayat 60 Surah al-Nur.

MUZIK:HUKUM DAN KEDUDUKANNYA PADA PANDANGAN SYARAK


Oleh: Ustaz Ridhwan Hj Hashim
BA (Univeristi Al-Azhar), MA (UKM)
Bekas Imam Masjid Subang Jaya, Selangor.

MUQADDIMAH

Muzik pada umumnya merupakan alat-alat tertentu yang timbul daripadanya alunan bunyi dan irama sama ada ia berbentuk yang dipukul atau dipalu seperti gendang, rebana dan lain-lain atau yang ditiup seperti seruling, serunai, trompet dan lain-lain atau yang dipetik seperti gambus, gitar, biola dan seumpamanya. Kedudukan hukum muzik ini bergantung kepada apa jenis alat dan penggunaannya kerana ada diantaranya yang diharamkan oleh syarak dan ada pula diharuskan. Oleh itu kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:




a) Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syarak, maka kedudukan muzik itu adalah haram.

b) Menggunakan alat-alat muzik yang diharuskan oleh syarak, maka kedudukannya adalah harus seperti memukul ghirbal (sejenis rebana) sewaktu perkahwinan.

c) Bermain alat muzik yang harus, namun telah dicampur dengan perkara-perkara yang haram seperti nyanyian-nyanyian oleh golongan wanita dalam keadaan mendedahkan aurat di hadapan golongan lelaki ajnabi atau bukan mahram dengan suara yang merdu, lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur cinta asmara, percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, disertai dengan arak, judi dan sebagainya. Para ulamak telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik dalam keadaan seperti ini adalah haram.

Persoalan yang timbul sekarang ialah yang mana satukah alat muzik yang diharamkan oleh syarak dan mana satu yang diharuskan. Adakah semua alat muzik itu diharamkan atau semuanya diharuskan atau sebahagiannya diharamkan dan sebahagiannya pula diharuskan. Adakah pengharaman itu ke atas alat-alat muzik itu sendiri atau kerana faktor-faktor luar yang beserta dengan alat-alat muzik tersebut. Inilah yang akan kita bahaskan di dalam risalah yang kecil dan ringkas ini.

PANDANGAN ULAMAK MENGENAI ALAT MUZIK

Terdapat pelbagai pandangan di kalangan ulamak mengenai perkara di atas. Mereka tidak sepakat mengenainya disebabkan perbezaan pandangan dalam memahami hadis-hadis yang menyebut mengenai alat-alat muzik dan juga dari segi penentuan kedudukan martabat hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.

Golongan Ulamak Yang Pertama

Sebahagian ulamak mengharamkan hampir semua bentuk alat-alat hiburan atau muzik. Mereka berdalilkan kepada beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak sepertimana berikut:

a) Diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:

Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah ………..( hingga ke akhir hadis ).
( Riwayat Abu Daud al Thoyalisi )

Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam Abu Daud al Thoyalisi dan lafaz hadis ini dari riwayatnya dan juga diriwayatkan oleh al Imam Ahmad bin Hanbal. Ahmad bin Mani’Al Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaz yang bermaksud:

Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekelian alam dan Allah memerintahkan Aku supaya menghapuskan mazamir, ma’azif, arak dan berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah ……..( hingga ke akhir hadis ).

Hadis Abu Umamah ini terdapat pada rawinya Ali bin Yazid al Ilhani dan dia adalah lemah keadaannya, tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibnu Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi kuat. Antara hadis yang menyokong hadis itu juga ialah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas r.a. yang telah berkata:
الكوبة حرام والدن حرام والمعازف حرام والمزامير حرام
Maksudnya: Kubah itu haram, dannu itu haram, ma’azif itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram. (lihat bentuk gambar yang dilampirkan)

Hadis ini diriwayat oleh al Imam Musaddad dan al Imam al Baihaqi dalam al Sunan al Kubra secara mauquf dan diriwayatkan oleh al Bazzar secara marfu’.

b) Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Aku diperintahkan untuk merobohkan alat gendang dan alat hiburan yang ditiup.
Dikeluarkan oleh al Dailami

c) Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: Apabila tiba hari kiamat, Allah Azza wa Jalla berfirman: Mana mereka yang menjauhkan pendengaran dan pemandangan mereka daripada alat-alat permainan syaitan? Asingkan mereka…..(hingga ke akhir hadis)
Dikeluarkan oleh al Dailami

Berkata al Imam Ibnu Hajar, hadis ini jelas menunjukkan pengharaman alat-alat hiburan yang mendatangkan sukaria dan gembira yang membawa kepada kelalaian.


d) Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang berkmasud: Satu kumpulan daripada umatKu pada akhir zaman, ditukarkan mereka menjadi monyet-monyet dan babi-babi. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, adakah mereka orang-orang Islam ? Sabda Baginda: Ya, mereka mengucap dua kalimah syahadah iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Aku adalah pesuruh Allah dan mereka mengerjakan puasa. Para sahabat bertanya: Mengapa mereka menjadi begitu, ya Rasulullah? Sabda Baginda: Mereka bermain dan berhibur dengan alat-alat bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita dan dengan rebana serta mereka minum berbagai jenis arak dan mereka bermalam dengan minuman mereka dan hiburan riuh rendah mereka, maka pada pagi hari mereka telah ditukarkan rupa menjadi monyet dan babi.

Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam al Musaddad dan Ibnu Hibban dengan lafaznya yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam: Tidak berlaku hari kiamat sehingga ada satu kumpulan……..(hingga ke akhir hadis sebagaimana riwayat di atas ).

e) Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Akan berlaku pada umatKu oleh beberapa kumpulan atau kaum menghalalkan zina, sutera (dipakai oleh kaum lelaki), arak dan ma’azif (alat-alat bunyi-bunyian).
(Hadis Riwayat al Bukhari dan Abu Daud)

Demikianlah beberapa hadis yang menjadi dalil kepada sebahagian ulamak yang mengaharamkan alat-alat hiburan (muzik).

Dalam kitab al Muhazzab oleh al Imam Abu Ishak al Syirazi ada menjelaskan bahawa bermain alat-alat muzik itu haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu. Kata al Syirazi:

ويحرم إستعمال الألات التى تطرب من غير غناء كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار
Ertinya: Dan diharamkan menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan tanpa ada lagu seperti gitar, thunbur, ma’zifah, thabl (gendang) dan mizmar.

Adapun dalilnya ialah firman Allah yang bermaksud: Dan ada di antara manusia yang membeli “ Lahwa al Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah..
( Surah Luqman: 6 )

Berkata Ibnu Abbas: “ Lahwa al Hadis ” sesungguhnya itulah alat-alat hiburan.

Al Imam al Nawawi mengatakan dalam kitabnya al Minhaj dalam Kitab al Syahadat:

ويكره الغناء بلا آلة وسماعه ويحرم استعمال آلة من شعار الشربة كطنبور وعود وصنج
ومزمار عراقي واستماعها.
Ertinya: Makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya. Dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti thunbur, gitar, shanj dan mizmar ‘iraqi dan haram mendengarnya.


Demikianlah pandangan beberapa orang ulamak besar dalam mazhab syafi’e mengenai hukum menggunakan muzik dan mendengarnya. Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh beberapa ulamak besar yang lain seperti al Syeikh Ibnu Hajar dalam kitabnya al Zawajir dan juga al Imam al Ramli al Syafi’e sebagaimana tercatat dalam kitab Nihayah al Muhtaj ila Syarh al Minhaj (8/296), yang menggambarkan inilah pandangan umum dan masyhur dalam mazhab syafi’e.

Ulama-ulama dalam mazhab syafi’e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua alat-alat muzik, bahkan didapati mazhab-mazhab yang lain seperti Hanafi dan Hanbali juga berpandangan sedemikian.

Berkata Ibnu al Qayyim dalam kitabnya Ighathah al Luhfan min Masyahid al Syaithan (1/255-256): Ertinya: Mazhab Abu Hanifah dalam perkara ini adalah mazhab yang paling keras dan kata-katanya mengenai perkara ini adalah kata-kata yang paling tegas. Para sahabat Abu Hanifah dengan tegas mengatakan haram mendengar semua jenis alat hiburan seperti seruling, kompang bahkan termasuk memukul-mukulkan tongkat kecil (cota) sekalipun. Mereka dengan tegas menyatakan bahawa ianya adalah maksiat, boleh membawa kepada fasiq dan kesaksian ditolak.

Dalam Mazhab Hanbali, berkata Imam Ibnu Qudamah al Hambali dalam al Mughni yang boleh disimpulkan sebagaimana berikut:

Hiburan itu tiga keadaan:

a) Haram- iaitu memetik tali-tali alat permainan dan alat-alat yang ditiup, memalu gambus,thunbur dan lain-lain alat hiburan. Sesiapa yang sengaja mendengarnya maka ditolak kesaksiannya kerana diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali r.a. bahawa Nabi Sollallahu ‘alaihiwasallam bersabda yang maksudnya: Apabila telah nyata pada umatKu lima belas perkara nescaya bala akan menimpa mereka. Maka Baginda menyebutkan di antaranya: Muncul alat-alat nyanyian dan alat-alat hiburan.

b) Harus- iaitu duff (kompang), kerana Nabi Sollallahu ‘alahi Wasallam telah bersabda yang maksudnya: Zahirkanlah kerja perkahwinan itu kepada orang ramai dan kamu palulah kompang padanya.

c) Makruh- iaitu memalu kayu pada kayu apabila tidak dicampur dengan perkara haram atau makruh.

Berkata al Imam al Sayyid ‘Alwi al Maliki al Husni: Ketahuilah bahawa alat-alat hiburan yang mempunyai tali seperti rabab, gitar dan qanun haram mendengarnya dan haram memainkannya mengikut pendapat yang masyhur dari mazhab yang empat dan wajib mengingkarinya (mendengar alat-alat tersebut) dan memberikan nasihat mengenainya. Adapun memukul rebana tidaklah mengapa dalam majlis pernikahan berdasarkan hadis Nabi Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Iklankanlah pernikahan dan kamu pukullah rebana (al Duff) di atas pernikahan itu. Namun tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur tetapi lawan pendapat yang masyhur, harus memukul (alat rebana) dalam semua upacara majlis kegembiraan orang-orang Islam.

Golongan Ulamak Yang Kedua

Di sana terdapat sebahagian ulamak yang mengharuskan alat-alat nyanyian atau muzik. Antara ulamak-ulamak tersebut ialah Al Syeikh Mahmud Syaltut. Beliau telah menjelaskan dalam fatwanya Al Fatawa Dirasah li Musykilat al Muslim al Mu’asir fi Hayatihi al Yaumiyyah wa al ‘Ammah di mana katanya:

“ Mendengar alat-alat bunyian yang ada irama dan suara yang merdu tiada boleh dihukumkan haram sebagai ia suara alat atau suara manusia atau suara binatang. Hanya haram itu apabila digunakan pada perkara haram atau digunakan untuk tujuan haram atau ia melalaikan daripada perkara yang wajib pada syara’ ”.

Selain itu, Dr. Ahmad al Syarbashi juga menghimpunkan segala fatwa ulamak dalam kitabnya Yas’alunaka ‘an al Din wa al Hayah dalam perkara mendengar muzik dan nyanyian. Daripada perbincangannya itu dapat disimpulkan bahawa beliau berpendapat, fatwa al ‘Allamah al Syeikh Mahmud Syaltut itu adalah pendapat pertengahan yang adil di antara ulamak yang mengharamkan dan ulamak yang mengharuskan dalam perkara muzik dan nyanyian itu.

Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi menegaskan dalam kitabnya Idhoh al Dilalat fi Sama’i al Alat -(Menjelaskan dalil-dalil dalam masalah yang berkait dengan hukum mendengar alat-alat muzik) - bahawa hukum haram segala bentuk alat muzik yang disebutkan di dalam hadis bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau suara dan bunyian yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara burung akan termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulamak telah bersepakat bahawa suara kicauan burung dan seumpamanya itu tidaklah dihukum haram. Bahkan menggunakan dan mendengar alat-alat muzik dihukum haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang haram yang beserta dengannya dan juga yang membawa kepada “ al Lahwu ”. Menurut beliau “ al Lahwu ” ialah perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia lalai daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah serta membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang oleh syariat.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa sesiapa yang memerhatikan semua hadis yang datang daripada Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam mengenai alat-alat muzik ini, dia akan mendapati larangan-larangan tersebut dikaitkan dengan menyebut ‘ al Malahi ’ – iaitu perkara-perkara yang melalaikan- dan juga menyebut tentang arak, penyanyi-penyanyi perempuan yang mendedahkan aurat, perkara-perkara keji dan kefasikan bersamanya. Ini bermakna ia dihukum haram dengan sebab perkara-perkara haram tersebut bukannya alat muzik itu sendiri. Hadis-hadis yang tidak menyebutkan perkara-perkara tersebut adalah hadis-hadis Ahad yang tidak boleh dithabitkan hukum dengannya secara qot’ie (putus dan muktamad). Bahkan hadis-hadis yang bersifat mutlak (umum) ini, dikhususkan oleh hadis-hadis yang menyebut tentang perkara-perkara haram yang mengiringi permainan muzik. Dengan itu, maka hadis-hadis yang menyebut tentang pengharaman alat-alat muzik hendaklah dilihat dalam konteks bahawa ianya disertai dengan perkara-perkara haram dan boleh menyebabkan kelalaian kerana di sana terdapat hadis yang melarang bermain muzik dikaitkan dengan perkara tersebut.


Beliau juga mensyaratkan tujuan dan niat yang baik walaupun tidak disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan ketika bermain muzik dan mendengar nyanyian yang diharuskan. Niat memainkan peranan. Sekiranya dia mempunyai niat atau cita-cita yang tidak baik melalui alat muzik yang dimainkan serta nyanyian harus yang didengarinya seperti bercita-cita atau berkhayal meminum arak, berfoya-berfoya dan berseronok dengan perempuan ketika bermain muzik dan mendengar lagu itu atau dia mahu kalau boleh perkara tersebut ada dalam majlis tersebut, maka hukumnya adalah haram juga. Peranan niat yang membawa kesan kepada hukum harus dan haram ini samalah seperti peranan niat ketika membaca al Quran bagi mereka yang berada dalam keadaan berhadas besar. Jika dia berniat membaca al Quran maka hukumnya adalah haram dan jika berniat zikir maka hukumnya adalah harus. Begitu juga seseorang yang minum air teh dengan niat minum arak dan juga seorang suami yang bersetubuh dengan isteri dalam keadaan dia niat menggauli atau menggambarkan isterinya itu adalah perempuan tertentu yang bukan isterinya maka kedua keadaan tersebut, hukumnya adalah haram.

Pendapat Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi ini turut dipersetujui oleh al Ustaz Mustofa Ahmad al Zarqa sebagaimana tersebut di dalam kitabnya Fatawa Mustofa al Zarqa. Bahkan beliau turut memperakui bahawa kitab karangan Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi tersebut adalah sebagai rujukan terbaik dalam mengetahui hukum yang berkait dengan masalah alat-alat muzik. Dalam kitab Fatawanya juga, al Ustaz Mustofa Ahmad al Zarqa telah menukilkan pandangan al ‘Allamah Ibnu ‘Abidin r.a. di dalam Hasyiahnya, syarah kepada kitab Raddu al Mukhtar di mana nas kata-katanya ialah:

“Aku berpendapat (setelah dikemukakan hujjah dan dalil berkenaan dengan alat-alat muzik): ini semua memberi maksud bahawa alat-alat muzik itu bukanlah haram kerana alat muzik itu sendiri, tetapi ia di sebabkan al lahwu ( iaitu disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan daripada menunaikan tanggunggjawab dan kewajipan kepada Allah). Hukum ini sama sahaja sama ada orang yang mendengarnya atau bermain menggunakannya ”. Beliau seterusnya menegaskan “ Apakah kamu tidak lihat bahawa hukum bermain alat muzik itu, kadang-kadang harus dan kadang-kadang dihukum haram. Ini semua adalah disebabkan perbezaan niat dan tujuan mendengarnya. Dan sesungguhnya setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada tujuan dan niatnya ”.

Di antara ulamak mutakhir di zaman kita ini yang sependapat dengan golongan ulamak yang kedua ini ialah al Syeikh Dr. Yusuf al Qardhowi sebagaimana dijelaskan dan dihuraikan dengan panjang lebar dalam kitabnya Malamih al Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyuduhu - ( Ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang kita idamkan) - dan juga al Halal wa al Haram fi al Islam - ( Halal dan haram dalam Islam ). Dalam huraian tersebut beliau telah menolak hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh golongan yang mengharamkan alat-alat muzik dengan menyatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai alat-alat muzik adalah dipertikaikan akan kesahihannya.


Sekalipun hadis ke v (lihat hadis-hadis yang menjadi hujjah kepada golongan yang mengharamkan alat-alat muzik di atas) di sebutkan di dalam kitab Sahih al Bukhari tetapi ia termasuk dalam kategori “ al Mu’allaqat” bukan termasuk di dalam kategori hadis yang sanadnya bersambung. Pada sanadnya terdapat seorang perawi Hisyam bin Ibn ‘Ammar yang dipersoalkan oleh sebahagian ahli hadis. Abu Daud berkata tentangnya: Beliau meriwayatkan empat ratus hadis yang tidak mempunyai sebarang sandaran. Imam Ahmad berkata: Dia tidak teliti dan lemah akal. Al Hafiz al Zahabi pernah berkata mengenainya: Beliau jujur dan banyak riwayat, namun ada perkara yang tidak disenangi tentangnya. Selain daripada dipertikaikan kesahihannya, pendalilannya juga dipertikaikan. Ini kerana perkataan al ma’azif sebagaimana dalam hadis tersebut belum ada persepakatan tentang maknanya secara tepat. Menurut sebahagian orang ia bermaksud “ permainan-permainan ”. Ini sangat umum. Ada juga yang mengatakan ia bermakna “ alat-alat muzik ”.

Selain itu, hadis itu juga tidak mempunyai makna yang jelas tentang pengharamannya kerana ungkapan ( يستحلون –yang diterjemahkan dengan makna mereka menghalalkan ) dalam hadis itu mempunyai dua makna sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al ‘Arabi. Makna pertama ialah dengan makna hakiki bukan majaz iaitu mereka beriktikad bahawa perkara tersebut adalah halal. Makna kedua: ia adalah kiasan (majaz) yang bermaksud bermudah-mudah menggunakan perkara tersebut. Beliau juga telah menegaskan bahawa hadis ini adalah menjelaskan tentang perilaku sekelompok manusia yang tenggelam dalam kemewahan, kefoyaan dan arak. Mereka dikelilingi oleh arak dan wanita, permainan dan nyanyian serta zina dan sutera. Oleh itu kita dapati Ibn Majah meriwayatkan Hadis ini dari Abu Malik al Asy’ari dengan lafaz yang bermaksud:

“ Akan ada di kalangan umatKu yang akan meminum arak yang dinamakan dengan nama lain. Kepala-kepala mereka dipenuhi dengan alat-alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan memasukkan mereka ke dalam tanah dan akan menggantikan rupa mereka dengan rupa kera dan babi ”.

Perkara yang sama juga telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban di dalam kitab Sahihnya dan al Bukhari di dalam kitab Tarikhnya. Setiap mereka yang meriwayatkan hadis ini bukan melalui Hisyam Ibn ‘Ammar meletakkan ancaman itu ke atas orang yang meminum arak dan bukannya pada alat-alat muzik tersebut.Alat-alat muzik tersebut hanya dijadikan sebagai penyempurna dan yang mengikuti mereka.

Di samping itu beliau juga telah menukilkan beberapa riwayat sebagimana yang disebutkan oleh al Syaukani dalam kitabnya Nailu al Awthor bagi menyokong dan menguatkan pandangan ulamak yang mengharuskan alat-alat muzik. Antaranya ialah:

a) Imam Haramain di dalam kitab al Nihayah dan Ibnu Abu al Dunya telah menyatakan: Para sejarawan telah menukilkan bahawa Abdullah Ibn al Zubair memiliki beberapa hamba wanita yang pandai bermain gitar, dan Ibnu Umar pernah ke rumah beliau serta mendapati al ‘ud (sejenis alat bertali seperti gitar dan seumpamanya) terdapat di sisinya. Ibnu Umar berkata: Apakah ini wahai sahabat Rasulullah?. Abdullah Ibn al Zubair pun memberikannya kepada Ibnu Umar untuk dilihatnya. Ibnu Umar menelitinya dan berkata: Adakah ini mizan syami ( sejenis alat muzik dari Syam)?. Abdullah Ibn al Zubair berkata: Ya, dengannya diukur akal manusia.

b) Pengarang kitab al ‘Aqd, al ‘Allamah al Adib Abu Umar al Andalusi menceritakan: Pada suatu hari Abdullah Ibnu Umar mengunjungi Abdullah Ibnu Ja’far. Beliau mendapati Abdullah Ibnu Ja’far memiliki seorang hamba perempuan yang di dalam biliknya terdapat al ‘ud. Kemudian Abdullah Ibnu Ja’far berkata kepada Ibnu Umar: Adakah kamu rasa ia tidak mengapa?. Katanya: Ia tidak menjadi sebarang kesalahan.

c) Imam al Mawardi telah meriwayatkan daripada Mu’awiyyah dan ‘Amru Ibn al ‘As bahawa mereka berdua pernah mendengar bunyi al ‘ud yang dimainkan di hadapan Abdullah Ibnu Ja’far. Bahkan Abu Fadhl Ibnu Tahir di dalam kitabnya al Sima’ menyatakan: Tiada khilaf di kalangan Ahli Madinah tentang keharusan al ‘ud.

d) Abu al Faraj al Asbahani pernah menyatakan bahawa Hassan bin Thabit pernah mendengar dari ‘Izzah al Mila nyanyian syairnya yang diiringi dengan bunyian alat muzik.

e) Al Rawyani pernah menceritakan dari al Qaffal bahawa Mazhab Malik bin Anas mengharuskan nyanyian yang disertakan alat muzik. Al Ustaz Abu Mansur al Fawrani menukilkan dari Imam Malik bahawa beliau mengharuskan al ‘ud. Manakala Abi Talib al Makkiy telah menyebutkan dalam kitabnya Qutu al Qulub yang dinukilkan dari Syu’bah bahawa beliau pernah mendengar bunyi gendang besar (thonbur) di rumah al Minhal Ibnu ‘Amru iaitu seorang ahli hadis yang masyhur.

f) Imam al Mawardi menceritakan tentang keharusan al ‘ud di kalangan sebahagian ulama mazhab syafi’e. Ia juga diceritakan oleh Abu al Fadhl Ibnu Tahir dari Abu Ishak al Syirazi. Al Asnawi menyebutkannya dalam kitab al Muhimmat dari al Rawyani dan al Mawardi. Ibnu al Nahwi meriwayatkan perkara tersebut dari al Ustaz Abu Mansur. Ibnu al Mulaqqin menceritakannya di dalam kitab al Umdah dari Ibnu Tahir. Al Adfuwi menceritakannya dari al Syeikh ‘Izzuddin Ibnu Abdul Salam. Pengarang kitab al Imta’ menceritakannya daripada Abu Bakar bin al ‘Arabiy. Imam al Adfuwi juga telah menegaskan keharusannya.

Semua mereka itu menyatakan keharusan mendengar nyanyian (yang diharuskan syarak) bersama dengan alat-alat muzik yang dimaklumi.

Selain daripada Dr. Yusuf al Qardhowi, bekas Syeikh al Azhar Fadhilah al Imam al Akbar al Syeikh Ja-du al Haq Ali Ja-du al Haq (telah meninggal dunia pada pertengahan 90 an) juga bersependapat dengan pendapat yang mengharuskan alat-alat muzik sebagaimana yang dapat dilihat dalam kitab himpunan fatwa-fatwanya mengenai persoalan-persoalan semasa yang bernama Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mu’asirah, juzuk ke v. Dalam jawapan atau fatwanya yang panjang lebar mengenai hukum mendengar alat muzik itu, beliau akhirnya membuat kesimpulan dengan berkata: “ sebagai mengambil sikap jalan tengah antara pendapat-pendapat ulamak tersebut, maka kami lebih cenderung untuk berkata bahawa mendengar alat-alat muzik walau apa pun jenis dan bentuknya, menghadiri majlis-majlisnya dan mempelajarinya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang diharuskan. Dengan syarat ia tidak mendorong kepada membangkitkan nafsu syahwat, perlakuan-perlakuan tidak senonoh dan tidak disertai dengan arak, tarian-tarian, perkara-perkara yang buruk dan fasik atau digunakan untuk perkara-perkara haram atau ia digunakan sebagai wasilah atau alat yang membawa kepada berlakunya perkara haram dan mungkar atau ianya boleh melalaikan daripada menunaikan tanggungjawab dan kewajipan.

Golongan Ulamak Yang Ketiga

Golongan ini ialah golongan yang mengharamkan beberapa jenis alat muzik dan mengharuskan selain daripadanya. Alat-alat muzik yang diharamkan itu ialah (al mizmar- المزمار ) seruling atau semua alat yang ditiup seperti serunai dan seumpamanya, (al awtar – الأوتار ) alat muzik bertali dan (Thoblu al Kubah – طبل الكوبة) gendang kecil yang ramping di tengah (lihat gambar-gambar alat tersebut sebagaimana dilampirkan). Inilah pendapat di sisi Imam al Ghazali r.a. dan mereka yang sependapat dengannya. Ini kerana ia menjadi lambang kepada peminum arak dan khunsa. Selain daripada alat-alat muzik tersebut hukumnya masih kekal dengan seperti asalnya iaitu harus. Umpamanya rebana sekalipun terdapat loceng kecil padanya, begitu juga dengan tabuh, syahin dan gendang yang dipukul dengan kayu serta alat-alat lain.

Al Imam al Ghazali berhujjah dengan berkata bahawa syarak tidak mengharamkan alat-alat tersebut kerana kelazatannya. Jikalau ia hanya kerana kelazatannya maka perkara-perkara lazat yang lain turut dilarang. Ia dilarang atas dasar turutan (ittiba’). Apabila arak diharamkan, maka semua amalan peminum arak turut diharamkan bersama iaitu alat muzik bertali dan seruling. Keadaan ini samalah seperti pengharaman berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah kerana ia boleh membawa kepada persetubuhan. Begitu juga dengan pengharaman memandang ke arah peha kerana ia bersambung dengan dua kemaluan. Diharamkan juga arak yang sedikit sekalipun tidak memabukkan kerana ia membawa kepada mabuk. Setiap perkara yang mendorong kepada yang haram mesti diharamkan juga sebagai satu jalan menghalang daripada terjatuh terus ke dalam jurang yang pasti haram. Muzik bertali dan seruling (atau seumpamanya) menjadi haram kerana mengikuti pengharaman arak lantaran tiga alasan:

a) Ia boleh mengakibatkan seseorang itu meminum arak, kerana kelazatan yang ada padanya hanya akan sempurna dengan arak.

b) Alat ini menyebabkan orang-orang yang baru meninggalkan arak mengingati kembali majlis-majlis hiburan yang dihidangkan dengan arak. Ini kerana majlis hiburan tersebut kebiasaannya diserikan dengan alat-alat muzik tersebut. Dengan itu apabila dia bermain dengan muzik tersebut, maka ia akan membawa kepada ingatan terhadap majlis itu. Ingatan akan mendorong kepada kerinduan. Dengan itu alat muzik tersebut menjadi penyebab seseorang yang telah meninggalkan amalan meminum arak kembali melakukannya.
c) Terdapat ijma’ ulamak mengenainya, kerana ia telah menjadi amalan orang-orang fasik. Oleh itu ia dilarang kerana menyerupai mereka. Ini kerana sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk di kalangan kaum tersebut.




KESIMPULAN

Daripada perbincangan di atas kita dapat membuat beberapa kesimpulan sepertimana berikut:-

a) Pada umumnya terdapat tiga pendapat ulamak mengenai kedudukan hukum alat-alat muzik. Mereka itu ialah:

One) Yang mengharamkan semua jenis dan bentuk alat muzik kecuali al dufuf iaitu kompang atau rebana yang dipukul ketika majlis pernikahan kerana terdapat hadis yang sahih mengenai keharusannya. Namun ia tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur. Tetapi lawan pendapat yang masyhur adalah harus memukul alat rebana atau kompang dalam semua upacara majlis kegembiraan umat Islam.

Two) Yang mengharuskan semua jenis dan bentuk alat-alat muzik. Mereka berpendapat bahawa yang haram itu bukalah zat atau ain alat muzik itu sendiri tetapi faktor-faktor luar yang mengiringinya itu yang menentukan sama ada ia menjadi haram atau sebaliknya.

Three) Yang mengaharamkan beberapa jenis alat muzik - iaitu al Mizmar, al Awtar dan Thoblu al Kubah – dan mengharuskan selain daripadanya.

b) Ketiga-tiga golongan ulamak tersebut di atas mempunyai hujjah dan dalil-dalil yang masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Dalam perbincangan ini, penulis tidak berhajat untuk mentarjihkan (menentukan manakah pendapat yang paling kuat dan sahih). Apa yang penting di sini ialah kita dapati bahawa persoalan berkenaan dengan hukum alat muzik ini merupakan satu perkara yang menjadi khilaf (perselisihan pendapat) di kalangan ulamak. Mereka tidak sepakat mengenainya. Ini bermakna ia tidak termasuk dalam perkara ijmak para ulamak. Inilah yang ditegaskan oleh al Syeikh Ja-du al Haq dalam kitab Fatawa beliau. Dalam fatwanya itu beliau telah menolak dakwaan sesetengah golongan yang mendakwa bahawa persoalan muzik dan mendengarnya adalah termasuk dalam perkara ijmak para ulamak. Penolakan beliau itu berdasarkan kepada apa yang dihuraikan oleh al Imam al Syaukani di dalam risalahnya yang bertajuk Ibtol Da’wa al Ijma’ ‘ala Tahrim Mutlak al Sima’ – iaitu Membatalkan Dakwaan Ijma’ Para Ulamak Ke Atas Hukum Haram Mendengar Muzik Secara Mutlak. Dengan ini, maka sewajarnyalah kita saling meraikan dan menghormati pendapat atau pendirian golongan yang mungkin berbeza dengan pendapat atau pendirian kita. Kita tidak boleh menghukum secara muktamad umpamanya mengatakan bahawa dia adalah haram sama sekali dan sesiapa yang menggunakannya maka berdosa, menjadi fasik dan ditolak kesaksiannya. Kita seharusnya berhati-hati apabila mengeluarkan hukum khususnya yang melibatkan halal dan haram. Imam Malik pernah berkata: Tidak pernah menjadi sikap golongan yang telah mendahului kita yang telah menjadi ikutan mengatakan: “ Ini halal, itu haram. Sebaliknya mereka berkata: Saya tidak suka ini, saya berpendapat begini ”. Dalam menentukan hukum, kita seharusnya juga mengambil kira dari sudut kepentingan dan kemaslahatan dakwah. Lebih-lebih lagi dalam keadaan masyarakat kita pada hari ini yang kelihatan hampir sudah sebati dengan bentuk hiburan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Janganlah kerana sesuatu keputusan hukum yang diambil itu boleh menyempitkan ruang dan peluang menyelamatkan masyarakat daripada keadaan tersebut. Di samping itu kita tidak lupa bahawa apa yang dikatakan keseronokan, hiburan dan seumpamanya merupakan satu sifat kehendak naluri manusia semulajadi yang tidak boleh kita hapuskan. Persoalannya bagaimana kita hendak ketengahkan bentuk hiburan yang diizinkan syarak atau alternatif kepada hiburan yang ada pada hari ini tanpa kita menafikan kehendak naluri manusia itu.

c) Melihat kepada senario industri muzik pada hari ini, khususnya yang melibatkan artis-artis wanita tanah air atau yang diimport dari negara-negara luar, maka penulis tidak-tidak teragak-agak untuk menghukum haram ke atasnya. Ini kerana jelas kepada kita keadaan mereka yang mendedahkan aurat secara terbuka, mengenakan solekan yang agak keterlaluan, menari berlenggang lenggok di atas pentas dengan pakaian menjolok mata, pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, lirik lagu yang memuja cinta dan manusia dengan suara yang lunak dan memukau para penonton, melalai dan mengkhayalkan anak-anak muda sehingga kadang-kadang sampai kelarut malam sepertimana persembahan yang pernah berlaku di Dataran Merdeka atau Bukit Jalil yang kelihatan penuh dengan sampah-sampah terdiri daripada kondom, botol-botol arak dan seumpamanya, dan…..dan…begitulah seterusnya. Inilah perancangan musuh khususnya Yahudi Laknatullahi ‘Alaihim dan sekutunya-sekutunya termasuk golongan yang bertopengkan Islam bagi tujuan menjauhkan anak-anak muda daripada Islam. Pendek kata, keadaan dan bentuk hiburan di tanah air kita pada hari ini telah jauh menyimpang daripada batas-batas syariat. Bukan kerana alat-alat muzik yang dimainkan kerana ia masih terdapat kekhilafan di kalangan ulamak tetapi bentuk perlaksanaan dan persembahan itu yang sememangnya disepakati atau ijmak para ulamak akan pengharamannya apabila berlaku keadaan yang disebutkan di atas. Bagi golongan ulamak yang mengharuskan alat-alat muzik, bermain dan menggunakan alat muzik dalam majlis yang haram atau untuk perkara-perkara yang haram atau yang boleh membawa kepada kemungkaran maka hukum bermain dan menggunakannya juga adalah haram. Jika tidak, maka hukumnya adalah harus.

iv) Perselisihan pendapat di kalangan ulamak mengenai hukum mendengar atau menggunakan alat-alat muzik ini khususnya apabila terdapat pendapat yang mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu, tidak seharusnya diambil kesempatan untuk mengambil sikap bermudah-mudah dengannya atau memandang ringan terhadap penggunaan alat-alat muzik tersebut. Pandangan atau kenyataan yang sering mengaitkan alat-alat muzik dengan kelalaian, kefoya-foyaan, budaya lepak dan membuang masa, kekhayalan yang ke semua itu akhirnya mungkin menjebakkan seseorang ke lembah maksiat tidak boleh dipandang ringan atau dinafikan begitu sahaja. Barangkali pandangan atau kenyataan tersebut ada kebenarannya, terutamanya apabila melihatkan keadaan masyarakat yang terlalu lemah iman khususnya generasi muda yang mudah terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat dan hanyut dengan keseronokan dunia pada hari ini. Oleh itu penulis berpendapat bahawa walaupun mungkin kita bersetuju dengan pendapat golongan ulamak yang kedua ini, ia tidaklah bermakna kita boleh mendengar atau menggunakannya semahu-mahunya. Kalau boleh dielakkan daripadanya maka itulah sebaik-baiknya, kerana mengambil jalan ihtiyathi – إحتياطي- iaitu mengambil sikap berwaspada dan berhati-hati agar lebih selamat – itu adalah sangat digalakkan dalam Islam. Sekiranya hendak menggunakannya juga maka biarlah dengan sebab yang kukuh dan munasabah serta wujud keperluannya. Sekali sekala mendengar atau menggunakannya untuk mengetuk pintu kesunyian maka itu barangkali tidaklah menjadi halangan. Asalkan ia tidak menjadi kelaziman dan kebiasaan kerana kita bimbang ia mungkin boleh melalaikan hati yang menyebabkan lemahnya iman kita yang sememangnya sudah sedia lemah ini. Pendek kata, walaupun ia harus pada setengah pandangan ulamak tetapi kita juga di waktu yang sama hendaklah berhati-hati dengannya.

والله أعلم بالصواب وهو حسبنا ونعم الوكيل وإليه المآب

RUJUKAN

1- Al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi; Idhohu al Dilalat fi Sama’i al Alat. Cetakan I, 1401H / 1981M. Dar al Fikr al Mu’asir, Beirut.

2- Al Imam al Syaukani; Nailu al Awtor. Juzuk 8. Dar al Jail, Beirut.

3- Al Ustaz Mustofa Ahmad al Zarqa; Fatawa Mustofa al Zarqa. Cetakan I, 1420H / 1999M. Dar al Basyir, Jeddah.

4- Al Syeikh Ja-du al Haq Ali Ja-du al Haq. Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mua’sirah. Juzuk 5. Al Azhar al Syarif. Mesir.

5- Dr.Yusuf al Qardhowi; Malamih al Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyiduhu. Cetakan I, 1414H / 1993M. Maktabah Wahbah, Kaherah.

6- Dr.Yusuf al Qardhowi; al Halal Wa al Haram Fi al Islam.Terjemahan Muammal Hamidy. Cetakan ke IV, 1987. Pustaka Nasional, Singapura.

7- Dr. Ahmad al Syarbasi; Yas’alunaka fi al Din wa al Hayat. t.th. Dar al Jail, Beirut.

8- Dr. Abdul Fattah Mahmud Idris; Hukmu al Ghina’ wa al Ma’azif fi al Fiqh al Islami. Cetakan II, 1415H / 1994M. Universiti al Azhar al Syarif, Mesir.

9- Pehin Datu Seri Maharaja Ust. Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Islam Dan Muzik: Fatwa Mufti Kerajaan Brunei. Cetakan II, 2001.MR Prind Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.

Jiwa seseorang itu akan tenang sekiranya kusyuk dalam solat


Dalam al-Quran ada lebih 25 tempat ayat yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat manakala perkataan solat itu sendiri lebih 70 kali disebut, menunjukkan betapa pentingnya ibadat berkenaan.“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa': 103)
Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana boleh dikatakan semua tahu bersolat, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.Tinggal lagi, kadang-kadang solat yang dilakukan tidak khusyuk, malah terlewat waktu dan tertinggal disebabkan alpa dengan urusan masing-masing dan kurang prihatin terhadap tuntutan agama.Mungkin disebabkan jahil mengenai hikmah dan keistimewaan solat membuatkan sesetengah pihak memandang ringan tuntutan pelaksanaan ibadat itu, kurang tertarik terhadapnya.Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad, berkata solat sangat dituntut dalam Islam, kerana menjadi tiang agama dan ia membezakan di antara Muslim dan kafir. Malah, ibadat itu amalan pertama disoal di alam kubur dan sekiranya individu itu dapat menjawab dengan baik persoalan solat, dipermudahkan lagi persoalan lain.Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)Syeikh Ismail menegaskan, banyak keistimewaan mereka yang memelihara solat, umpamanya terasa seperti berada dekat dengan Allah dan disayangi-Nya, malah dipermudahkan segala dihajati walaupun tidak dikabulkan segera.“Orang yang mengerjakan solat bukan saja diberikan ganjaran baik, malah mendapat keberkatan dalam kehidupan, berasa lapang dan jika ada isteri, tidak memberikan masalah, malah anak-anak berkelakuan baik.“Tetapi bagi yang tidak solat hati tidak tenteram, diri berasa seperti berhutang, kerana tidak melaksanakan tuntutan Allah,” katanya.Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”Katanya, Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ia sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati. Solat sebenarnya ibadat paling agung yang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah, sebagaimana dijelaskan dalam surah Thaaha, ayat 14, bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”Ibadat itu juga dapat menghapuskan dosa, sebagaimana difahami dalam satu hadis bermaksud: “Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim) Syaikh Ismail berkata, solat dilakukan dengan khusyuk juga mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran. “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45) Katanya, untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.“Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat,” katanya.Beliau menjelaskan, sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.“Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah,” katanya. Katanya, solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.“Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya,” katanya.Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
SOLAT MEMBEZAKAN ORG KAFIR
Saidina Umar, sesiapa memelihara solat dan tetap mengerjakannya bererti dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia-siakannya ia mensia-siakan kewajipan agama yang lain.Solat adalah tiang agama dan semulia-mulia rukun Islam yang lima selepas dua kalimah syahadah. Tanpa solat runtuh agama seseorang itu.
Jika diibaratkan dengan jasad manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak berkepala tidak akan hidup, demikian juga tidak akan hidup agama bagi orang yang tidak mengerjakan solat.Dalam kitab at-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata’illah berkata: Solat amatlah besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat. Kerana itu Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” Rasulullah s.a.w ketika ditanya mengenai amalan paling mulia, katanya: “(Semulia-mulia amal) ialah solat yang dikerjakan pada waktunya.”Baginda juga bersabda maksudnya: “Orang yang mengerjakan solat adalah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya.”Perintah terhadap solat dan gesaan supaya memeliharanya banyak dijelaskan dalam al-Quran. Sudah pasti dengan perintah itu, tiada sesiapa dapat menyangkal kewajipan mengerjakannya, walau dalam keadaan apa sekalipun.Antaranya terkandung dalam surah al-Baqarah, maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu, khasnya solat Wusta (solat Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” (al-Baqarah:238)Solat lima waktu mesti dikerjakan setiap Muslim yang cukup syaratnya, baik lelaki mahupun perempuan, tua dan muda. Tidak mampu berdiri kerana uzur, dikerjakan dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu lagi, dalam keadaan baring, malah jika masih tidak mampu dengan isyarat.Penegasan ini menunjukkan solat adalah perkara yang besar, tidak boleh diringankan, jauh sekali meninggalkannya. Malah, solat juga adalah syiar yang membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Syiar Islam dengan sendirinya terpancar apabila umat Islam mengerjakan solat, lebih-lebih lagi dengan solat berjemaah di masjid.Kita harus berwaspada dengan sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengerjakan solat. Oleh itu sesiapa yang tidak solat, sesungguhnya termasuklah dia dalam hukum orang kafir.”Al-Quran turut memberikan amaran terhadap mereka yang meninggalkan solat, seperti dalam surah Maryam, maksudnya: “Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab di dalam neraka. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.” (Maryam: 59-60)Ibn Abbas berkata, seperti yang disebutkan as-Syams az-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: “Mencuaikan solat yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka meninggalkan solat sama sekali, tetapi maksudnya, mereka mentakhirkan (melengahkan) solat sehingga keluar waktunya.”Perkara itu dijelaskan Said bin Musayib, dengan menyatakan: “Orang itu tidak solat Zuhur melainkan selepas masuk waktu Asar (dan seterusnya mengenai waktu lain).Justeru, sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan dia tidak bertaubat, balasan ditetapkan baginya azab seksa di neraka.“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, mereka itulah orang yang rugi.” (al-Munafiqun:9)Menurut sesetengah ahli tafsir, mengingati Allah (zikir kepada Allah) di sini ialah solat lima waktu. Sesiapa yang cuai kerana harta benda, anak pinak dan segala urusan hidupnya, jadilah dia orang yang rugi.Menjadi tanggungjawab bagi Muslim juga mengambil berat terhadap ahli keluarganya, mengajar dan menyuruh mereka mengerjakan solat, malah menasihati mereka supaya sentiasa memelihara solat fardu yang lima.“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun sabar menunaikannya....” (Taha:132)Nabi sendiri sentiasa mengambil berat dan mengawasi keluarganya khusus berkaitan solat. Baginda dan keluarga apabila menghadapi kesukaran, lazimnya mengerjakan solat sebanyak-banyaknya.Cara seperti ini juga sebenarnya menjadi amalan nabi sebelum Baginda dan ia sewajarnya menjadi sunnah ikutan kita kerana banyak kelebihannya, malah menjadi sebab yang membawa rahmat, murah rezeki dan menolak bala bencana.
: Perkecil solat, iman binasa


GERABAK kehidupan kita akan terbabas tanpa rel. Syariat agama dalam kehidupan ibarat rel kepada kereta api dan tanpanya kereta api tidak akan sampai ke destinasi. Tuhan mengurniakan kepada umat manusia landasan atau rel hidup yang kukuh iaitu al-Quran dan sunnah. Ia dua pusaka penting yang ditinggalkan nabi kepada umat Islam. Al-Quran dan hadis melahirkan peraturan hidup yang dinamakan syariat.
Nabi s.a.w bersabda maksudnya: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh padanya kamu tidak akan sesat selamanya iaitu kitab Allah dan sunnahku."Untuk berada di rel atau landasan hidup yang betul, kita perlu kepada ilmu dan menjadi individu celik syariat, tahu apa suruhan dan larangan Allah, kenal apa itu ibadat, prihatin apa yang terbaik dan utama bagi seorang Muslim dalam kehidupan.Dalam surah Thoha ayat 123 Allah berfirman, maksudnya: "Jika datang kepadamu petunjuk dari-Ku (Allah), sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta."Untuk berjaya dan cemerlang, umat Islam perlu beribadat, malah dalam perancangan hidup, ibadat yang perlu diberikan keutamaan.Ibadat adalah latihan merangkumi minda, hati dan jasad manusia. Disiplin yang ada dalam ibadat menjadikan seseorang itu cemerlang dalam hidupnya. Antara ibadat penting dalam kehidupan seharian umat Islam ialah solat. Untuk berjaya dalam hidup, solat tidak boleh diabaikan sama sekali.Ibadat solat adalah ibarat "tiang" dalam Islam. Sehingga di dalam peperangan pun tidak boleh tinggal solat. Selagi hayat dikandung badan selagi itu mesti solat. Mengerjakan solat dengan berdiri dan jika tidak mampu berdiri, boleh duduk dan jika tidak mampu duduk, boleh dengan cara baring. Jika tidak mampu lagi, terlentang dan tidak mampu lagi, boleh mengiring. Sekiranya masih tiada daya juga dengan isyarat mata dan masih tidak boleh juga, lakukan dengan isyarat hati. Jika tidak dapat juga, sudahlah! Mari kita yang mengerjakan solat pada dia. Matilah tu dan solat itu namanya solat jenazahlah.Hari ini ramai remaja dan segelintir golongan dewasa memperkecilkan solat. Tidak hairanlah timbulnya pelbagai masalah sosial. Gejala dadah, arak, persundalan, penderhakaan kepada ibu bapa, ponteng sekolah, kes bunuh yang menjadi-jadi, ragut, pecah rumah dan kereta, "free sex" dan seribu satu macam masalah sosial. Semua itu berpunca daripada tidak solat. Jika solat pun tidak tahu sah atau batal. Tidak masuk lagi soal khusyuk. Mengenai bacaan dan tajwid semuanya itu memberi erti solat yang tidak sempurna. Apabila solat tidak sempurna, tidak sempurnalah akhlak dan perangai.Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 59, maksudnya: "Maka datanglah selepas mereka yang mensia-siakan solat serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menjadi sesat." Abdullah bin Abbas menyatakan maksud mencuaikan solat bukannya meninggalkan solat tetapi juga melewatkan daripada waktunya.Solat bukan saja menghapuskan dosa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Solat menghapuskan dosa antara satu solat dengan satu solat yang lain kecuali dosa besar.”Imam Abu Aaliayah berkata: "Solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini maka solat itu tidak sempurna dan tidak boleh mencegah dosa. Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas membuatkan seseorang melakukan perkara baik, khusyuk akan mencegah perbuatan jahat, manakala zikrullah (ingat Allah) pula mencegah mungkar (kejahatan) dan menanam makruf (kebaikan).Sesetengah ulama dulu apabila tiba saat hendak menghembuskan nafas terakhir, masih sempat meminta pertolongan orang mengambilkan wuduk untuknya supaya dapat mengerjakan solat. Malah, ada yang minta diusungkan ke masjid kerana hendak mati di tempat solat.Justeru itu, janganlah kita mengabaikan solat dan jadikanlah ia rutin hidup kita. Setiap kali solat, anggaplah mungkin itu adalah solat yang terakhir.
Ibadat fardu usah tunggu usia tua

DI sebalik keajaiban peristiwa Israk Mikraj, tersingkap seribu satu pengertian yang sewajarnya direnung dan diambil pengajaran supaya dapat memperteguhkan lagi keimanan, memupuk ketakwaan dan memotivasikan diri beribadat.Penceramah bebas, Ustaz Daud Che Ngah, berkata peristiwa itu sendiri antara lain memperlihatkan kepada umat Islam mengenai penghijrahan roh.
“Roh pertamanya berada di dalam simpanan Allah, kemudian di dalam rahim ibu dan apabila cukup tempohnya di dalam satu jasad dan lahirlah ke dunia.“Ini menunjukkan badan (jasad) mesti mengikut roh. Jadi, apabila mengucap kalimah syahadah iaitu mengaku diri orang Islam kenalah ikut seperti diakui, melakukan amalan yang difardukannya,” katanya dalam satu siri ceramah di surau The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.Firman Allah dalam surah az-Dzariyaat, ayat 56, bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.” Menurut Daud, ayat itu sangat jelas merujuk kepada tanggungjawab utama manusia iaitu beribadat kepada Allah. “Selepas mengaku Muslim, solat kemudian berpuasa, malam juga digalakkan banyak mengerjakan solat, disuruh bayar zakat, haji dan umrah,” katanya sambil menegaskan kepentingan ibadat solat.“Solat diperintahkan Allah kepada Rasulullah s.a.w melalui Israk Mikraj untuk dilakukan seisi umat Islam, daripada 50 waktu tinggal saja lima waktu, tetapi ganjarannya tetap berganda.“Ibadat solat adalah paling penting bagi Muslim dan janganlah kita meninggalkannya dengan sewenang-wenangnya, kerana bukan mudah untuk menggantikannya, malah amat rugi usia berlalu sia-sia saja.“Apabila sampai umur iaitu baligh, laksanakanlah amal ibadat seperti difardukan, jangan tunggu usia tua atau bagi sesetengah orang sehingga umur 40 tahun baru mahu berubah menjadi rajin,” katanya.Menurutnya, beribadat kepada Allah perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati yang ikhlas, bukannya secara sambil lewa serta bermusim saja kerana semuanya akan dihitung.“Janganlah apabila sudah terlambat baru mahu menyesal dan sedar, ingin melakukan amal ibadat,” katanya.“Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman.” (as-Sajdah: 12)

kepentingan Solat dalam kehidupan setiap Muslim



Solat atau sembahyang adalah rukun kedua yang menjadi asas terbinanya Islam. Solat juga merupakan tiang agama dan ibadat wajib ke atas setiap umat Islam yang akil baligh. Dalam al-Quran terdapat lebih 25 tempat ayat 'AQAMA' yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan/mendirikan solat dan terdapat lebih 70 kali perkataan 'AS-SOLAH' atau SEMBAHYANG diulang dan disebut dalam al-Quran, antaranya firman Allah S.WYang bermaksud: "...maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.".Umat Islam, sama ada remaja, muda-mudi, dewasa, lelaki mahupun perempuan hendaklah memerhati, memahami dan menghalusi sehalus-halusnya perintah solat ini. Sebab itu, Baginda Nabi s.a.w. telah berpesan kepada umat Islam sejak 1428 tahun lalu supaya ibubapa mengajar dan menyuruh anak-anak tentang ibadah sembahyang sejak umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka jika enggan sembahyang ketika berumur 10 tahun .Sembahyang juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah S.W.T. atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Firman-Nya:Yang bermaksud:”Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengurniakan kepadamu nikmat yang melimpah ruah. Kerana itu, dirikanlah sembahyang dan berkorbanlah dengan ikhlas kerana Tuhanmu”.(S. Al-Kautsar:1-2).Sembahyang juga Mencegah Perbuatan Keji dan Mungkar Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:”dan dirikanlah sembahyang,sesungguhnya sembah-yang itu mencegah daripada perbuatan keji dan kemungkaran”.(S. Al-Ankabuut: 45).Inilah kesan kebaikan kepada orang yang benar-benar taat mendirikan sembahyang, ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala, bahawa sembahyang itu menjadi benteng diri dari perbuatan keji, jahat, maksiat dan kemungkaran.selain dapat memantap jiwa dan sifat tawaduk.Kesan kebaikan sembahyang seterusnya dapat dilihat dan dirasakan dalam hati, jiwa dan dalam diri seseorang yang mendirikan sembahyang dengan ikhlas kerana Allah semata-mata,Sembahyang juga dapat membentuk peribadi yang berdisiplin, tegas, tetap hati, berprinsip, bersifat tawaduk (rendah diri dan hati) dan sifat tadarru’ (merendah diri berdoa kepada Allah). Dengan lain perkataan, sembahyang akan membentuk sifat dan akhlak mulia dalam diri orang-orang yang bersembahyang. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:”Bahawasanya sembahyang itu adalah penetapan hati (tegas dan berprinsip), (menyuburkan) sifat tawaduk serta tadarru’ (dalam hati dan diri seseorang)”(HR At-Tirmizi dan An-Nasa’i).Berkat hidup dan berbahagia kehidupan, aman damai dan tenang dan jiwa dipenuhi rasa yakin berjaya dan maju. Tiada keluh kesah, bimbang, runsing, takut dan gundah dalam diri. Inilah kesan dari ibadah sembahyang. Ia hanya akan dirasakan oleh orang-orang yang taat, khusyuk dan ikhlas mengerjakan sembahyang sepanjang hayatnya.Kerana itu, sebagai umat Islam marilah kita ambil berat perintah solat ini dalam diri, keluarga, masyarakat dan kehidupan. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang dijanjikan oleh Allah sebagai golongan berbahagia dan berjaya yang akan memperolehi kebahagiaan di dunia berupa kejayaan, ke-amanan dan keberkatan hidup, dan nikmat kehidupan akhirat yang kekal, sebagaimana firman Allah dalam al-Qur'an yang bermaksud:"Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya". (S. Al-Mukminuun: 9-11).Demikianlah, betapa besar pengaruh dan fungsi sembahyang dalam menyuburkan nilai-nilai baik dalam kehidupan umat Islam. Jelas menunjukkan bahawa sembahyang yang sempurna dengan segala rukun serta syaratnya dapat memberi kesan dalam hati, jiwa, akal, amalan dan tindakan sese-orang. Dan orang yang tetap istiqamah mendirikan sembahyang juga dapat mengubah dirinya daripada seorang berkelakuan jahat kepada berkelakuan baik, daripada mengerjakan perkara jahat atau maksiat kepada meninggalkannya dan daripada baik kepada yang lebih baik dan terbaik.



sumber:hmetro.com.my

BERAMAL DAN BERIBADAH PERLUKAN KEIKHLASAN

Allah menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya. Ini jelas dari firman Allah s.w.t. yang bermaksud "Tidak aku menjadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku".
Keikhlasan beribadah seseorang kepada Allah adalah bertolak dari niat seseorang itu mengerjakan ibadah tersebut. Ini jelas sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah di dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan".
Di antara ibadah yang wajib kita lakukannya, bulan yang mulia penoh dengan keberkatan ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan.
Ibadat puasa perlu kepada keikhlasan sebagaimana ibadat-ibadat lain yang dikerjakan kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah adalah menjadi syarat penerimaan ibdah itu oleh Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu." Dengan ini jelas Allah meliaht hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya.
Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredaanNya"
Ia juga merupakan landasan yang kukuh di atas mana-mana orang yang melaksanakan bermacam-macam amal dan tugas kebaikan dan sifat keikhlasan itulah pokok segala kebahagiaan. Sesuatu kerja yang tidak keluar dari hati yang ikhlas nescaya tidak menghasilkan buah bahkan mungkin akan merugikan kepada diri sendiri. Orang yang bekerja tanpa keikhlasan dia bekerja hanya untuk lahir sahaja lupa kepada tujuan dan matlamat dia bekerja sedang tiap-tiap amal tanpa ikhlas pasti tidak menghasilkan pahala di sisi Allah.
Tegasnya sidang pendengar sekelian orang yang tidak mempunyai keikhlasan hati bererti tidak yang berdiri di tempat gelap tidak mempunyai lampu cahaya untuk meneranginya, tidak mempunyai sayap untuk terbang tinggi, dia bekerja hanya untuk dorongan hawa nafsu sahaja. Cara yang demikian menjatuhkan tuannya ke lembah kebinasaan dan kehinaan. Tuhan memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran, sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Araf
Maksudnya: "Hadapkanlah muka kamu dengan lurus, tulus dan ikhlas tiap-tiap mengerjakan sembahyang dan serulah Tuhanmu sambil mengikhlaskan diri kepadaNya"
Dalam surah yang lain Allah menerangkan maksudnya: "Tidaklah mereka diperintahkan kecuali untuk berbakti memperhambakan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan"
Sidang Pendengar Sekelian,
Dari ayat di atas kita dapat memahami bahawa Allah memerintahkan kita semua supaya mengabdikan diri kita kepadaNya dengan tulus ikhlas dengan erti kata kita kerjakan sesuatu amalan, sesuatu kerja kerana Allah bukan sekali-kali kerana sesuatu atau seseorang yang lain lebih-lebih lagi kerana sesuatu ganjaran kebendaan.
Syeikh Al Khushairi seorang pengasas Tasauf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin memperdekatkan diri kepada Allah s.w.t. bukan kerana untuk mencari kesayangan orang atau sesuatu hal yang lain selain daripada mengtakarufkan diri kepada Allah Tuhan yang menjadikan kita.
Sifat keikhlasan hati itulah yang menjadi pedoman kepada seseorang di dalam pekerjaan atau perkhidmatan. Ianya merupakan alat yang menyampaikan cita-cita yang mulia. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan hatinya tentunya tidak mudah patah atau putus harapan di tengah jalan. Tidak mudah putus asa, dia tidak akan puas hati sebelum pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Mereka di dalam bekerja teguh pendirian kuat hemah dan kemahuan, dia tidak akan tersinggung hati lantaraan celaan dan kritikan orang lain. Tidak sombong kerana menerima pujian, tidak bangga kerana dinaikkan pangkat atau mendapat harta yang banyak dan kedudukan yang baik malahan orang yang bekerja dengan ikhlas tetap terus berusaha hingga tercapai yang dicita-citakan dan tidak akan memberhentikan kerja itu walaupun akan menghadapi rintangan, halangan dan menempuh pengorbanan yang besar kerana mereka mengharapkan keredaan Allah yang tidak ada batasannya.
Dalam hubungan ini Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata : "Manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk"
Demikian caranya Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat yang ikhlas itu dan kita harus yakin bahawa suatu amal yang dikerjakan dengan ikhlas ujudnya akan kukuh dan mestipun amal itu terpaksa juga tumbang kerana dilanda zaman tetapi kesannya tetap abadi. Oleh kerana itu sifat ikhlas di dalam beribadah amat penting dan dia merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan sebagaimana firman Allah s.w.t.
Maksudnya: "Iblis berkata wahai tuhanku oleh sebab engkau telah memutuskan aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang perbuatan baik di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka kecuali hamba-hambaMu yang mengerjakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.
Untuk dijadikan contoh mengenai ikhlas ini marilah kita meninjau satu riwayat cerita di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah bererti:
"Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nekmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka.
Adapun yang menuntut ilmu dan telah mengajar pula serta menjadi pembaca Al-Quran, orang ini dibawa ke pengadilan Tuhan di hari kiamat sedang dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Dihadapan Tuhan ditanya apa amalmu jawabnya "aku banyak membaca Al Quran" Berfirman Allah kepadanya engkau bohong! Engkau menuntut ilmu itu agar dikatakan orang engkau seorang yang alim, engkau membaca Al-Quran itu supaya dikatakan orang seorang Qari dan yang demikian itu telah engkau dikatakan orang kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam neraka.
Adapun seorang lelaki yang telah mendapat kelapangan rezeki sebahagian hartanya dibahagikan kepada orang lain kemudian orang itu pun dibawa menghadap Allah untuk dibicarakan dan dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Di hadapan Allah dia ditanya apa kerjamu dia menjawab "aku telah membelanjakan hartaku kepada jalan yang engaku redai dan itu telah aku kerjakan kerana engkau". Allah telah berfirman kepadanya engkau berbohong engkau berbuat demikian itu adalah supaya dikatakan orang engkau seorang pemurah sedangkan yang demikian itu telah dikatakan orang kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam api neraka. Demikianlah riwayat hadis tiga jenis orang beramal tidak ikhlas. Amalan mereka ditolak tidak diterima oleh Allah dan akibatnya mereka dicampakkan ke dalam api neraka.
Kesimpulan apa yang telah diperkatakan tadi ialah bahawa beramal dan beribadah perlu kepada keikhlasan dan kejujuran dan untuk menjadikan amalan itu agar kekal abadi sempurna lahir dan batin perlulah kita lakukan segala amalan dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah Taala khususnya kita sedang berada di dalam bulan Ramadhan yang mulia, bulan untuk kita meningkatkan amal kebajikan kita jadi hendaklah segala amalan kebajikan yang kita lakukan di bulan ini dapat dilakukan dengan seikhlas-ikhlasnya supaya ianya benar-benar dapat diterima oleh Allah s.w.t. dan dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya.