24 September 2008

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih
________________________________________

Ketiga: Ulama` pengarang kitab-kitab hadith tidak memasukkan hadith ini di dalam bab berkenaan qiyam Ramadhan lebih-lebih lagi sembahyang tarawih. Ini menunjukkan bahawa mereka memahami hadith ini bukan termasuk di dalam bab berkenaan tarawih. Antaranya:

Imam Malik meletakkan hadith ini di dalam ‘Bab Berkenaan Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Witir’ dan beliau tidak memasukkannya di dalam ‘Bab Apa Yang Datang Dari Nabi s.a.w. Berkenaan Qiyam Ramadhan’.

Imam Muslim memasukkan hadith ini di dalam ‘Bab Berkenaan Sembahyang Malam Dan Bilangan Rakaat Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Waktu Malam’ dan tidak memasukkannya di dalam ‘Bab Galakan Qiyam Ramadhan’.

Imam Abu Daud memasukkan hadith ini di dalam ‘Bab Berkenaan Sembahyang Malam’ dan tidak meletakkannya di dalam ‘Bab Berkenaan Qiyam Di Bulan Ramadhan’.

Imam Termizi meletakkan hadith ini di dalam ‘Bab Riwayat Yang Datang Di Dalam Mensifatkan Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Waktu Malam’ dan tidak meletakkannya di dalam ‘Bab Riwayat Yang Datang Berkenaan Qiyam Di Bulan Ramadhan’.

Begitu juga Imam Nasaie meletakkan hadith ini di dalam ‘Kitab Beribadat Pada Waktu Malam Dan Sunat Pada Waktu Siang’ serta tidak memasukkannya ke dalam ‘Bab Berkenaan Beribadat Malam Bulan Ramadhan’.

Tetapi di dalam Jami’ Bukhari ada perbezaan pada naskhahnya. Di dalam naskhah mengikut riwayat Mustamli hadith ini terletak di bawah “bab kelebihan qiyam Ramadhan” dan bab tersebut terletak di bawah “kitab sembahyang tarawih”. Namun begitu ianya hanya terdapat di dalam naskhah melalui riwayat Abu Ishak al-Mustamli sahaja tidak pada naskhah-naskhah melalui riwayat selainnya daripada Muhammad bin Yusof al-Firabri[i]. Di dalam naskhah yang lain tidak terdapat pemisahan “bab kelebihan qiyam Ramadhan” di bawah “kitab sembahyang tarawih” sebaliknya ianya terletak di bawah “kitab berkenaan puasa”.

Kalau dinilai naskhah Mustamli yang mengadakan satu “Bab” atau “Kitab” iaitu “Kitab Berkenaan Sembahyang Tarawih” dengan mengasingkannya daripada “Kitab Berkenaan Puasa” lalu diletakkan di bawahnya bab-bab seperti “Bab Kelebihan Beribadat Pada Malam Ramadhan, Bab Kelebihan Lailatul Qadar, Bab Mencari Lailatul Qadar, Bab Mencarinya Pada Malam Ganjil, Bab Diangkat Pengetahuan Tentang Lailatul Qadar dan seterusnya Bab Beramal Pada Sepuluh Akhir Ramadhan dengan naskhah-naskhah yang lain yang tidak mengasingkan bab-bab tersebut daripada “Kitab Berkenaan Puasa” tetapi sebaliknya meletakkan semua bab tersebut di bawahnya maka kesimpulan yang dapat difahami ialah:

Naskhah yang mengasingkan bab-bab tersebut dari kitab puasa dengan meletakkannya di bawah “Bab” atau “Kitab Sembahyang Tarawih” akan menunjukkan seolah-olah ibadat pada malam Ramadhan, lailatul qadar dan sepuluh akhir Ramadhan hanyalah sembahyang tarawih sahaja kerana ianya terletak di bawah “Kitab” tersebut tetapi sebaliknya naskhah yang tidak mengasingkan bab-bab tersebut dari “Kitab Puasa” menunjukkan ibadat pada malam Ramadhan, lailatul qadar dan sepuluh akhir Ramadhan adalah umum dengan boleh melakukan apa jua ibadat.

Namun begitu bagi pensyarah hadith yang mengatakan maksud “qiyam” pada “Bab Kelebihan Qiyam Ramadhan” yang diadakan oleh Imam Bukhari dengan makna “sembahyang tarawih” maka ada sedikit ruang untuk mengatakan Imam Bukhari maksudkan hadith tersebut berkenaan sembahyang tarawih walaupun mereka tidak menyatakan dengan jelas sedemikian. Tetapi bagi pensyarah yang mengatakan maksud “qiyam” dalam bab yang diadakan oleh Imam Bukhari ini adalah dengan makna umum iaitu mana-mana ibadat di dalam bulan Ramadhan maka lebih jelaslah bagi mereka bahawa Imam Bukhari tidak maksudkan hadith tersebut sebagai sembahyang tarawih.
Keempat: Pertanyaan Abu Salamah kepada ‘Aisyah r.a. adalah tentang suatu amalan yang biasa dilakukan oleh Nabi s.a.w. bukannya amalan yang jarang serta tidak biasa dilakukan oleh Baginda s.a.w.. Adapun sembahyang yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. bersama sahabat-sahabat-Nya selama tiga malam itu adalah suatu sembahyang yang jarang dilakukan serta berlainan daripada yang biasa dilakukan. Ini dapat dibuktikan dengan perbuatan sahabat-sahabat yang saling bercerita berkenaan sembahyang tersebut pada keesokan paginya dan semakin bertambah bilangan mereka untuk bukan sekadar sama-sama hadir tetapi menyaksikan sembahyang tersebut yang berlainan dari apa yang biasa dilakukan-Nya s.a.w.[ii]. Begitu juga kalaulah yang ditanya adalah berkenaan sembahyang yang yang dipanggil tarawih maka tak perlu ditujukan persoalan tersebut kepada ‘Aisyah r.a. kerana Nabi s.a.w. bersembahyang bersama sahabat-sahabat-Nya sebagaimana yang terdapat di dalam hadith. Sudah pastilah sahabat-sahabat sudah mengetahui bilangan rakaat tarawih atau qiyam Ramadhan yang dilakukan Nabi s.aw. atau bagi yang tak hadir bersama Nabi s.a.w. memadai dia bertanyakan kepada sahabat yang hadir.
Kelima: Sebagai tambahan dari penulis (mungkin ada kebenarannya) iaitu kalau begitu benarlah pegangan golongan Syi’ah bahawa tiada sebarang tambahan (sembahyang tarawih) dari Nabi s.a.w. dari segi ibadat sembahyang pada malam Ramadhan kerana Nabi s.a.w. tidak menambahkan walaupun satu rakaat di bulan Ramadhan lebih dari bulan yang lain.
Demikianlah beberapa alasan golongan yang berpendapat bahawa hadith ‘Aisyah r.a. tersebut bukan berkaitan dengan tarawih.

Hadith keempat iaitu berkenaan tarawih yang dilakukan di zaman Sayyidina Umar r.a.
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ يُوسُفَ عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ أَنَّهُ قَالَ أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً قَالَ وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ

Daripada Muhammad bin Yusuf daripada Saib bin Yazid bahawa dia berkata: “Umar bin al-Khattab r.a. memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari supaya mengimamkan orang ramai dengan sembahyang sebanyak sebelas rakaat. Dia (Saib) berkata lagi: “Imam membaca sebanyak dua ratus ayat sehingga kami bertongkat di atas tongkat kerana lama berdiri dan kami selesai ketika hampir menjelang fajar”.[iii]

Riwayat yang sama juga dinukilkan oleh al-Firyabi di dalam kitabnya:

حدثنا قتيبة ، عن مالك بن أنس ، عن محمد بن يوسف ، عن السائب بن يزيد ، أنه قال : « أمر عمر بن الخطاب أبي بن كعب وتميما الداري أن يقوما ، للناس ، بإحدى عشرة ركعة قال : فكان القارئ يقرأ المائتين حتى كنا نعتمد على العصي من طول القيام ، وما كنا ننصرف إلا في فروع الفجر »

Qutaibah menceritakan kepada kami daripada Malik bin Anas daripada Muhammad bin Yusuf daripada Saib bin Yazid bahawa dia berkata: “Umar bin al-Khattab r.a. memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari supaya mengimamkan orang ramai dengan sembahyang sebanyak sebelas rakaat.” Dia (Saib) berkata lagi: “Imam membaca sebanyak dua ratus ayat sehingga kami bertongkat di atas tongkat kerana lama berdiri dan kami selesai ketika hampir menjelang fajar”.[iv]

Riwayat ini juga terdapat di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan lafaz kurang daripada riwayat di atas:

عن محمد بن يوسف أن السائب أخبره أن عمر جمع الناس على أبي وتميم فكانا يصليان إحدى عشرة ركعة يقرآن بالمئين يعني في رمضان.

Daripada Muhammad bin Yusof bahawa Saib menceritakan kepadanya bahawa Umar menghimpunkan orang ramai mengikut Ubay dan Tamim (di dalam sembahyang tarawih). Mereka berdua bersembahyang sebanyak sebelas rakaat membaca dua ratus (ayat) di bulan Ramadhan.[v]

Kesemua riwayat tersebut dan juga riwayat yang terdapat di dalam Sunan Sa’id bin Mansur berpunca dari orang yang sama walaupun melalui beberapa jalan iaitu melalui Muhammad bin Yusof daripada Saib bin Yazid. Tetapi riwayat-riwayat tersebut bercanggah pula dengan apa yang dikemukakan oleh Abdul Razzak di dalam musannafnya iaitu,

عبد الرزاق عن داود بن قيس وغيره عن محمد بن يوسف عن السائب بن يزيد : أن عمر جمع الناس في رمضان على أبي بن كعب ، على تميم الداري ، على إحدى وعشرين ركعة ، يقروون بالمئين وينصرفون عند فروع الفجر

Abdul Razzak daripada Daud bin Qais dan selainnya daripada Muhammad bin Yusuf daripada Saib bin Yazid bahawa Sayydidina Umar r.a. menghimpunkan orang ramai di dalam bulan Ramadhan mengikut Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari dengan sembahyang sebanyak dua puluh satu rakaat, mereka membaca sebanyak dua ratus ayat dan selesai ketika ketika hampir menjelang fajar.[vi]

Namun begitu riwayat ini dipertikaikan. Alasan yang diberikan adalah kitab as-siyam (kitab berkenaan puasa) yang terdapat di dalam Musannaf ini diriwayatkan oleh Ishak bin Ibrahim ad-Dabaree.[vii] Dan ad-Dabaree yang merupakan salah seorang periwayat Musannaf Abdul Razzak adalah merupakan seorang yang banyak melakukan kesilapan ketika mengambil riwayat daripada Abdul Razzak. Beliau bukan sahaja meriwayatkan kitab as-siyam daripada Abdul Razzak tetapi keseluruhan Musannaf ketika akhir umur Abdul Razzak di samping terdapat riwayat beliau yang bercanggah daripada apa yang diriwayatkan oleh orang lain daripada Abdul Razzak.[viii]

Syeikh Nasiruddini al-Albani juga menolak riwayat tersebut dengan alasan bahawa berlaku kecelaruan kepada Abdul Razzak di akhir hayatnya.[ix] Namun begitu beliau tidak dapat membuktikan bahawa hadith yang menyebutkan berkenaan sembahyang tarawih sebanyak dua puluh rakaat ini adalah di antara yang diriwayatkan oleh Abdul Razzak selepas kecelaruannya.
Bila penulis merujuk kepada naskhah Musannaf yang terdapat di dalam maktabah sebuah sekolah Arab di kawasan Kota Bharu ini maka penulis mendapatinya memang ianya adalah naskhah berdasarkan riwayat Ishak bin Ibrahim ad-Dabaree. Kitab as-siyam pula diriwayat oleh penyalin daripada Abu Sa’id Ahmad bin Muhammad bin Ziyad daripada ad-Dabaree. Naskhah dengan cetakan tersebut juga di tahkik oleh pentahkik HabiburRahman A’zhomi. Pentahkik mentahkik dan memberikan komentar kepada mana-mana riwayat yang bercanggah dengan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang lain serta mana-mana riwayat yang terdapat padanya kekeliruan atau kesilapan daripada ad-Dabaree. Tetapi pada riwayat berkenaan rakaat tarawih dua puluh satu ini tidak ada sebarang komen oleh pentahkik.[x] Tiadanya sebarang komen daripada pentahkik terhadap riwayat tersebut menunjukkan kemungkinan ianya tidak termasuk dari kalangan hadith yang diriwayatkan berdasarkan kekeliruan oleh al-Dabaree.
Tetapi riwayat melalui jalan Muhammad bin Yusof yang menyebutkan dua puluh satu rakaat ini mempunyai penyokong melalui jalan periwayatan selain beliau tidak sebagaimana riwayat yang menyebutkan sebelas rakaat yang hanya diriwayatkan melalui-Nya sahaja. Bahkan Imam Malik sendiri yang merupakan penghimpun hadith yang mengemukakan riwayat (sebelas rakaat) tersebut tidak berpegang dengan riwayat itu.
Riwayat yang terdapat di dalam Musannaf ini disokong pula oleh riwayat melalui jalan Yazid bin Khusaifah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Muhammad bin Nasr al-Marwazi iaitu:
عن يزيد بن خصيفة عن السائب بن يزيد قال كانوا يقومون على عهد عمر بن الخطاب رضى الله عنها في شهر رمضان بعشرين ركعة قال وكانوا يقرؤن بالمئين وكانوا يتوكؤن على عصيهم في عهد عثمان بن عفان رضى الله عنه من شدة القيام

Daripada Yazid bin Khusaifah daripada Saib bin Yazid katanya: “Mereka (sahabat) sembahyang (tarawih) di zaman Umar bin al-Khattab r.a. di bulan Ramadhan sebanyak dua puluh rakaat”. Dia (Saib) berkata lagi, “mereka membaca dua ratus ayat dan mereka bertongkat di atas tongkat-tongkat mereka di zaman Uthman bin ‘Affan r.a. kerana lama berdiri”

nota# risalah kedua

Tiada ulasan: