24 September 2008

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih

Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih
________________________________________

Pertama: Perselisihan pendapat ulama` yang disebutkan oleh Imam Termizi selepas mengemukakan hadith berkenaan qiyam Ramadhan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. iaitu:

وَاخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي قِيَامِ رَمَضَانَ فَرَأَى بَعْضُهُمْ أَنْ يُصَلِّيَ إِحْدَى وَأَرْبَعِينَ رَكْعَةً مَعَ الْوِتْرِ وَهُوَ قَوْلُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَهُمْ بِالْمَدِينَةِ وَأَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ عَلَى مَا رُوِيَ عَنْ عُمَرَ وَعَلِيٍّ وَغَيْرِهِمَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِشْرِينَ رَكْعَةً وَهُوَ قَوْلُ الثَّوْرِيِّ وَابْنِ الْمُبَارَكِ وَالشَّافِعِيِّ و قَالَ الشَّافِعِيُّ وَهَكَذَا أَدْرَكْتُ بِبَلَدِنَا بِمَكَّةَ يُصَلُّونَ عِشْرِينَ رَكْعَةً

Ahli ilmu berselisih pendapat tentang sembahyang tarawih di bulan Ramadhan. Sebahagian mereka berpendapat bahawa seseorang boleh bersembahyang sebanyak empat puluh satu rakaat bersama witir dan ia adalah pendapat penduduk Madinah. Amal beginilah di sisi mereka di Madinah. Kebanyakan ahli ilmu berpegang kepada apa yang diriwayatkan daripada Umar dan ‘Ali r.a. dan sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang lain iaitu sebanyak dua puluh rakaat dan ianya adalah pendapat Thauri, Ibnu Mubarak dan Syafie. Imam Syafie berkata: “Demikianlah kami dapati di negeri kami di Mekah mereka bersembahyang sebanyak dua puluh rakaat.
Imam Termizi menyebutkan bahawa kebanyakan ahli ilmu berpendapat bahawa rakaat sembahyang tarawih adalah sebanyak dua puluh rakaat. Adapun penggunaan lafaz “ruwiya” (diriwayatkan) dengan bina’ majhul bukan bermakna Imam Termizi mahu mengatakan bahawa riwayat dua puluh rakaat daripada sahabat-sahabat r.a. adalah riwayat yang lemah tetapi penggunaan majhul dengan tidak disebutkan fa’il (pelaku) walaupun biasa digunakan untuk menunjukkan lemah tetapi tidak semestinya demikian. Tetapi penggunaan demikian juga digunakan dengan maksud untuk meringkaskan atau disebabkan perkara tersebut sudah diketahui dengan meluas maka tidak perlu lagi untuk menyebutkan pelakunya (periwayatnya).

Kedua: Pendapat Imam Syafi’e sebagaimana yang terdapat di kitab al-Umm:
فأما قيام شهر رمضان فصلاة المنفرد أحب إلى منه ورأيتهم بالمدينة يقومون بتسع وثلاثين وأحب إلى عشرون لانه روى عن عمر وكذلك يقومون بمكة ويوترون بثلاث
Adapun sembahyang tarawih di bulan Ramadhan maka sembahyang secara bersendiri adalah lebih disukai olehku dan aku lihat di Madinah mereka melakukan sebanyak tiga puluh sembilan rakaat dan yang lebih disukai olehku adalah sebanyak dua puluh rakaat kerana ianya diriwayatkan daripada Umar r.a. Demikian jugalah yang mereka amalkan di Makkah dan mereka melakukan sembahyang witir sebanyak tiga rakaat.

Ketiga: Pendapat di dalam mazhab Imam Abu Hanifah:
( الْفَصْلُ الْأَوَّلُ فِي عَدَدِ الرَّكَعَاتِ ) فَإِنَّهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً سِوَى الْوِتْرِ عِنْدِنَا وَقَالَ مَالِكٌ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى السُّنَّةُ فِيهَا سِتَّةٌ وَثَلَاثُونَ
Fasal pertama berkenaan bilangan rakaat, sesungguhnya ianya adalah sebanyak dua puluh rakaat selain witir di sisi kita. Imam Malik berkata, sunnah adalah sebanyak tiga puluh enam rakaat.

Keempat: Di dalam kitab fiqh mazhab Imam Ahmad menyebutkan:
فَصْلٌ : وَالْمُخْتَارُ عِنْدَ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ ، رَحِمَهُ اللَّهُ ، فِيهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً . وَبِهَذَا قَالَ الثَّوْرِيُّ ، وَأَبُو حَنِيفَةَ ، وَالشَّافِعِيُّ . وَقَالَ مَالِكٌ : سِتَّةٌ وَثَلَاثُونَ . وَزَعَمَ أَنَّهُ الْأَمْرُ الْقَدِيمُ ، وَتَعَلَّقَ بِفِعْلِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ ، فَإِنَّ صَالِحًا مَوْلَى التَّوْأَمَةِ ، قَالَ : أَدْرَكْتُ النَّاسَ يَقُومُونَ بِإِحْدَى وَأَرْبَعِينَ رَكْعَةً ، يُوتِرُونَ مِنْهَا بِخَمْسٍ . وَلَنَا ، أَنَّ عُمَرَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَمَّا جَمَعَ النَّاسَ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ، وَكَانَ يُصَلِّي لَهُمْ عِشْرِينَ رَكْعَةً

Ini satu fasal: Pendapat yang terpilih di sisi Abi Abdillah adalah dua puluh rakaat. Pendapat ini juga adalah merupakan pendapat Imam Thauri, Abu Hanifah dan as-Syafie. Imam Malik berkata, tiga puluh enam rakaat.
Kelima: Pengarang Bidayah al-Mujtahid yang merupakan antara kitab rujukan di dalam mazhab Imam Malik menukilkan pendapat ulama` sebagaimana berikut:
واختلفوا في المختار من عدد الركعات التي يقوم بها الناس في رمضان، فاختار مالك في أحد قوليه، وأبو حنيفة، والشافعي، وأحمد، وداود، القيام بعشرين ركعة سوى الوتر.وذكر ابن القاسم عن مالك أنه كان يستحسن ستا وثلاثين ركعة، والوتر ثلاث.

Mereka berselisih pendapat berkenaan pendapat yang terpilih tentang bilangan rakaat yang dilakukan oleh orang ramai di dalam bulan Ramadhan. Imam Malik di dalam salah satu daripada dua pendapatnya, Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad dan Daud memilih dua puluh rakaat selain witir. Ibnul qasim menyebutkan daripada Imam Malik bahawa dia menganggap elok tiga puluh enam rakaat selain witir.

Apa yang dikemukakan di atas daripada kitab-kitab fiqh empat mazhab yang paling meluas pengikutnya di kalangan umat Islam adalah merupakan sebahagian kecil sahaja daripada pendapat ulama` terutamanya ulama` salaf. Bahkan kalaulah diteliti di dalam kitab-kitab yang lain juga inilah pendapat ulama` yang sering dimuatkan iaitu pendapat mereka serta apa yang disaksikan oleh mereka adalah rakaat tarawih sebanyak dua puluh rakaat atau lebih. Berkenaan Imam Malik yang berpegang kepada amal Ahli Madinah iaitu sebanyak tiga puluh enam rakaat, ianya adalah berasal daripada dua puluh rakaat juga.

Tetapi disebabkan mereka tidak dapat melakukan sebagaimana yang diamalkan oleh penduduk Mekah iaitu tawaf setiap kali tarwihah (rehat di dalam setiap empat rakaat) maka mereka menggantikan setiap satu tawaf penduduk Mekah dengan empat rakaat. Kerana itulah jumlah rakaat yang diamalkan mereka menjadi tiga puluh enam.

Beberapa kesimpulan yang dapat dikeluarkan adalah seperti berikut:
Pertama: Tidak ada walaupun satu riwayat daripada Nabi s.a.w. yang jelas serta tidak dapat diperselisihkan berkenaan rakaat tarawih. Adapun hadith ‘Aaisyah r.a. ianya tidak dapat membuktikan bahawa yang dimaksudkan adalah sembahyang tarawih. Penjelasan telahpun diberikan sebelum ini.

Kedua: Terdapat kepelbagaian riwayat yang sahih daripada Sayyidina Umar r.a. Ada yang menyebutkan sebelas, tiga belas,dua puluh satu dan dua puluh tiga rakaat. Namun sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini riwayat rakaat tarawih sebanyak dua puluh mempunyai beberapa jalan periwayatan yang saling menguatkan antara satu sama lain tidak sebagaimana riwayat berkenaan bilangan rakaat yang lain.
Ketiga: Kesaksian daripada tabi’en di zaman Sayyidina Umar, Uthman, Ali r.a. dan seterusnya serta amalan mereka mengimamkan orang ramai di zaman mereka adalah dua puluh sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini. Amalan yang dilakukan oleh mereka adalah kerana mereka mengikut generasi sebelum mereka iaitu generasi sahabat r.a. dan seterusnya sahabat-sahabat r.a. sudah pastinya mengambil sunnah tersebut daripada Nabi s.a.w.

Keempat: Pendapat imam-imam mazhab dan imam-imam yang lain juga apa yang disaksikan oleh mereka pada zaman masing-masing adalah dua puluh bahkan lebih daripada itu. Daripada apa yang telah dikemukakan di atas menunjukkan ianya berterusan daripada zaman sahabat-sahabat r.a. sehingga ke zaman seterusnya umat Islam di zaman tersebut melakukan sebanyak dua puluh rakaat bahkan lebih. Setakat ini penulis tidak menemui pendapat daripada ulama` salaf yang condong kepada pendapat rakaat adalah lapan sebagaimana pendapat dua puluh rakaat. Mungkin ianya kerana kecuaian penulis.
Kelima: Perkataan tarawih itu sendiri menunjukkan kepada lebih daripada lapan rakaat. Perkataan tarawih adalah jamak (plural) kepada perkataan tarwihah atau tarwih yang pada asalnya memberi makna duduk. Kemudian ianya dijadikan istilah duduk rehat selepas setiap kali empat rakaat sembahyang tarawih. Andaikata sembahyang tarawih adalah sebanyak lapan rakaat sahaja maka masa rehatnya adalah sekali atau dua kali sahaja. Maka nama yang sesuai untuknya adalah tarwihah atau tarwihatan. Jadi perkataan tarawih menunjukkan duduk rehat yang tidak kurang dari tiga kali. Dan sudah tentunya ianya sesuai dengan dua puluh rakaat bukan lapan rakaat.

Berdasarkan kepada apa yang telah dikemukakan maka penulis memilih pendapat rakaat tarawih yang paling kuat dan lebih menepati sunnah adalah dua puluh rakaat. Namun bagi yang mahu berpegang kepada pendapat bahawa ianya adalah lapan rakaat adalah tidak salah kerana hujah bagi mereka tetap ada walaupun bagi penulis ianya tidaklah sekuat riwayat-riwayat serta amalan sebanyak dua puluh rakaat yang diwarisi dari salaf. Beginilah perselisihan di dalam masalah furu’ walaupun berlaku perselisihan namun kita mestilah sentiasa hormat menghormati serta tidak akan meruntuhkan apa yang telah dilakukan oleh orang lain sebagaimana yang berlaku dalam perselisihan mazhab-mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Namun begitu bagi orang yang ingin berada di atas landasan sunnah sebaiknya bagi mereka memilih mana yang terkuat berdasarkan nas serta dalil.

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Tiadalah aku akan beroleh taufik melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. (Surah Hud ayat 88)

nota# risalah terakhir
________________________________________
rujukan
.Jami’ Termizi, bab riwayat yang datang berkenaan qiyam bulan Ramadhan.
Al-Umm j. 1 hal. 167
.Al-Mabsuth Imam Sarakhsi j. 3 hal. 170
.Al-Mughni Ibnu Qudamah j. 3 hal. 388
.Bidayah al-Mujtahid j. 1 hal. 167

Tiada ulasan: